Monday, March 14, 2016

APABILA MATAHARI BERSUJUD

APABILA MATAHARI BERSUJUD

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sudah hampir seminggu sang matahari mengkagumkan seluruh penduduk bumi dengan fenomena gerhana yang berlaku pada Rabu lepas (9 Mac 2016). Gerhana matahari yang baru berlaku berfungsi menyedarkan manusia tentang kehebatan kuasa Allah yang mampu melakukan apa sahaja. Sang matahari tidak gerhana kerana kelahiran atau kematian seseorang. Kepercayaan ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW selepas kewafatan bayi baginda yang bernama Ibrahim. Tanpa tunggu, baginda terus memancung tuntas akidah karut itu:

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ فَقَالَ النَّاسُ كَسَفَتْ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ

Ertinya: al-Mughirah bin Syu’bah RA menceritakan telah berlaku gerhana matahari  pada hari kewafatan bayi Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim. Orang ramai berbicara mengatakan matahari sedang gerhana kerana kewafatan Ibrahim. (Menafikan kepercayaan ini) Rasulullah SAW lantas bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. (Tetapi keduanya adalah tanda kebesaran Allah). Apabila kamu semua melihat keduanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat (Sahih al-Bukhari).


Inilah kehebatan Rasulullah SAW yang meletakkan segala perkara di bawah lembayung Tawhid yang mengembalikan segala perkara kepada Allah satu-satuNya Tuhan yang paling berkuasa di alam ini. Atas semangat ini, Islam mengiktiraf fenomena alam sebagai sains yang dikawal selia oleh Allah. Allah akan senantiasa berdiri di sebalik semua keajaiban alam. Semakin banyak mengkaji alam, semakin dalam iman dan yakin seorang Muslim kepada Allah. Prinsip inilah yang wajib menjadi “roh” tamadun Islam.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW menyatakan setiap hari selepas terbenam menjelang tibanya malam, sang matahari akan bersujud kepada Allah:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَوْمًا أَتَدْرُونَ أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ الشَّمْسُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ إِنَّ هَذِهِ تَجْرِي حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ فَتَخِرُّ سَاجِدَةً فَلَا تَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُقَالَ لَهَا ارْتَفِعِي ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ فَتَرْجِعُ فَتُصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلِعِهَا ثُمَّ تَجْرِي حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا تَحْتَ الْعَرْشِ فَتَخِرُّ سَاجِدَةً وَلَا تَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُقَالَ لَهَا ارْتَفِعِي ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ فَتَرْجِعُ فَتُصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَطْلِعِهَا ثُمَّ تَجْرِي لَا يَسْتَنْكِرُ النَّاسَ مِنْهَا شَيْئًا حَتَّى تَنْتَهِيَ إِلَى مُسْتَقَرِّهَا ذَاكَ تَحْتَ الْعَرْشِ فَيُقَالُ لَهَا ارْتَفِعِي أَصْبِحِي طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِكِ فَتُصْبِحُ طَالِعَةً مِنْ مَغْرِبِهَا

Ertinya: Pada suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat (ketika matahari mulai terbenam): “Tahukah kamu semua, ke manakah matahari itu pergi?" Para sahabat menjawab: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Baginda menyambung: "Ia beredar sampai ke perhentiannya di bawah 'Arasy, lalu ia sujud. Ia berterusan sujud sampai datang perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula! Ia pun pergi dan terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian Ia beredar lagi hingga sampai pula di tempatnya di bawah 'Arasy, lalu ia sujud sampai datang pula perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula. Ia pun pergi dan terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian ia beredar lagi, tidak pernah mungkir sedikit jua pun hingga ia sampai pula kembali di tempatnya di bawah 'Arasy. Tiba-tiba ia mendapat perintah: Bangkitlah, dan muncullah di tempat engkau biasa tenggelam. Maka terbitlah ia di Barat." (Setelah itu kiamat pun berlaku) (Sahih Muslim).

Matahari sujud kepada Allah setiap malam? Apa yang nyata kepada kita, matahari tetap wujud pada paksinya ketika malam menjelma. Sebelah bahagian bumi mengalami malam kerana permukaannya tidak dijamah oleh cahaya matahari. Jika benar matahari sudah meninggalkan paksinya dan bersujud kepada Allah, pastinya keseluruhan bumi menjadi gelap ditimpa malam.

Hadith ini sukar difahami, oleh itu kita perlu merujuk kepada huraian para ulama’ hadith bagi memahaminya secara tepat. Maksud sujud matahari dalam hadith ini bukan sujud hakiki seperti sujud manusia yang menyungkurkan dahinya ke lantai, tetapi merujuk kepada kepatuhannya yang mutlak kepada sistem aturan Allah di alam ini (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Kepatuhan matahari dalam kiasan “sujud dan tasbih” kepada sistem alam diulang sebut dalam banyak ayat:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud (patuh) kepada Allah dan (antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya (al-Hajj [22:18]).

Juga firman Allah:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Ertinya: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun (al-Isra’[17:44]).

Lalu bagaimanakah aktiviti sujud atau kepatuhan matahari berlaku? Ayuh kita lihat bersama dengan suluhan mata hati:

1) Berputar atas paksinya secara konsisten saban hari yang mewujudkan siang dan malam:

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Ertinya: Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu (Ibrahim [14:33]).

2) Terbit saban hari bagi mengejutkan manusia untuk mencari rezeki. Matahari pagi turut menyegarkan manusia dengan bekalan vitamin D. Di samping itu, Allah bersumpah dengan waktu Dhuha yang penuh dengan keberkatan rezeki. Tanpa adanya sang matahari yang terbit, maka waktu Dhuha tidak akan akan lahir sama sekali.

3) Bergerak tanpa gagal sejak dari pagi sehingga petang bagi memudahkan manusia mengukur bayang dan mengetahui waktu solat:

أَلَمْ تَرَ إِلَى رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا (45)
ثُمَّ قَبَضْنَاهُ إِلَيْنَا قَبْضًا يَسِيرًا (46)

Ertinya: Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Dia kehendaki tentulah Dia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami JADIKAN MATAHARI SEBAGAI TANDA YANG MENUNJUKKAN PERUBAHAN bayang itu; Kemudian Kami tarik balik bayang itu kepada Kami, secara beransur-ansur (al-Furqan [25:45-46]).

Firman Allah:

أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآَنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآَنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Ertinya: Dirikanlah olehmu sembahyang ketika GELINCIR MATAHARI hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya) (al-Isra’ [17:78]).

Juga firman Allah:

فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آَنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَى

Ertinya: Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu SEBELUM MATAHARI TERBIT DAN SEBELUM TERBENAMNYA; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan) (Taha[20:130]).

4) Membantu manusia mengira usia yang sudah dilalui dalam kalendar tahunan:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Ertinya: Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar (sebagai sumber cahaya) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat (tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya) (Yunus [10:5]).

5) Membantu makhluk bumi hidup selesa dengan kepanasan, suluhan cahaya, penghasilan klorofil dan sebagainya. Bayangkan apa akan jadi jika matahari dipecat Allah dari jawatannya, lalu malam menguasai bumi sampai kiamat? Pasti bumi tidak sesuai didiami. Ia menjadi sejuk beku dan tidak membangun. Manusia juga akan mengalami krisis tenaga yang kronik. Renungkan firman Allah:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ اللَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَاءٍ أَفَلَا تَسْمَعُونَ

Ertinya: Katakanlah: "Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?" (al-Qasas[28:71]).


Matahari sangat patuh pada Allah dengan melebarkan kuasanya hanya pada waktu siang. Inilah sasaran kerja sang matahari yang tidak dimungkirinya sebagaimana firman Allah:

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Ertinya: (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana setiap satunya beredar terapung pada tempat edarannya masing-masing (Yasin[36:40]).

Matahari tidak mudah untuk mengejar bulan kerana keduanya memiliki kerajaan tersendiri pada waktu malam dan siang. Pun begitu, apabila Allah mengarahkan keduanya bertembung, maka berlakulah fenomena gerhana seperti yang baru kita saksikan pada Rabu lepas.

Akhirnya, jika anda kagum dengan matahari yang begitu banyak fungsinya kepada alam, sewajibnya anda mesti mengkagumi dan menyembah Penciptanya. Firman Allah:

وَمِنْ آَيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Ertinya: Dan antara tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah (Fussilat [41:37]).

Selepas ini sematkan di hati bahawa kita tidak sendirian di alam semesta berdiri di bawah keagungan Allah. Jika makhluk sehebat matahari, langit, bumi, bulan, gunung dan sebagainya sanggup tunduk kepada Allah tanpa engkar, pastinya kita yang serba kerdil lagi hina ini lebih patut merembas dahi kita ke lantai kepada Allah. Semoga cara ini dapat membantu kita mengenal diri sebagai HAMBA dan mencapai kelazatan sujud dan tasbih kepada Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...