Friday, February 19, 2016

KISAH KECAKNAAN 2 LELAKI DALAM SURAH YASIN DAN AL-QASAS

KISAH KECAKNAAN 2 LELAKI DALAM SURAH YASIN DAN AL-QASAS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Yasin [36:20-21]) pada  16 Februari 2016. Antara isunya adalah kisah persamaan Antara 2 lelaki beriman dalam surah Yasin dan surah al-Qasas.

Kedua lelaki ini pastinya insan istimewa. Apa tidaknya, bukan semua orang
bertuah disebut kisahnya dalam al-Quran. Bila ia dipahat dalam al-Quran, bermakna kisah dan sifat mereka perlu dicontohi atau dijauhi oleh semua manusia sampai akhir zaman. Sikap cakna 2 lelaki yang bakal dibincangkan ini wajib dicontohi semua.

Surah Yasin menceritakan kisah 3 orang utusan nabi Isa AS yang dihantar berdakwah kepada penduduk Antakiyah (ayat 13-17). Setelah lama berdakwah, seruan Tawhid yang mereka bawa ditolak keras, bahkan mereka turut diancam bunuh (ayat 18). Di tengah kegawatan ini dakwah mereka disokong oleh seorang lelaki Antakiyah yang digambarkan oleh ayat berikut:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21)

Ertinya: Dan (semasa para Rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Ikutlah para Rasul itu. "Ikutlah orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang mendapat hidayah petunjuk" (Yasin [36:20-21]).

Lelaki ini datang dari hujung bandar secara berlari. Menurut para ulama Tafsir, lelaki ini bernama Habib dan profesyennya adalah tukang kayu (Tafsir Ibn Kathir). Oleh itu dia digelar sebagai Habib al-Najjar iaitu Habib si tukang kayu. Mengapa pula perlu Habib bergegas datang ke tengah Bandar membantu dakwah para utusan nabi Isa AS ini? Kelihatannya Habib risaukan keselamatan wakil nabi Isa itu yang diancam bunuh oleh kaumnya. Itulah sebabnya Habib dating bergegas menyokong dakwah mereka dengan segala logiknya. Logik Habib kepada kebenaran para utusan nabi Isa dan ketuhanan Allah dapat dilihat pada ayat (21-25). Subhanallah! Ini sikap cakna yang sangat baik untuk dicontohi. Apabila nyawa saudara Muslim lain terancam, kita perlu segera tampil menyelamatkan mereka.

Rupanya bukan sekali kisah cakna orang beriman yang dikisahkan al-Quran. Kisah seperti ini pernah berlaku kepada nabi Musa AS ketika baginda masih muda belia. Kisahnya, ketika meleraikan pergaduhan antara seorang Qibti (bangsa Fir’awn) dan lelaki Bani Isra’il, nabi Musa  AS telah menumbuk mati tanpa sengaja lelaki Qibti tersebut (surah al-Qasas [28:15-17]). Setelah kisah ini diketahui bangsa Fir’awn, arahan bunuh segera dikeluarkan dan nyawa nabi Musa AS terancam.  Di tengah kegawatan ini seorang lelaki beriman dari bangsa Fir’awn turut bergegas menemui Musa AS. Ia direkodkan al-Quran:

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَى قَالَ يَا مُوسَى إِنَّ الْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ (20) فَخَرَجَ مِنْهَا خَائِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (21)

Ertinya: Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu". Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim " (al-Qasas[28:20-21]).

Menurut para ulama Tafsir, lelaki yang memberi amaran kepada Musa AS ini adalah lelaki beriman dari bangsa Fir’awn sendiri yang sudah beriman kepada Allah secara rahsia (Tafsir al-Tabari). Beliau risaukan keselamatan Musa yang segama dengannya. Beliau tahu benar betapa Fir’awn adalah manusia kejam. Jika Musa ditangkap pasti padah bakal menimpa. Bagi Fir’awn, kematian orang lain adalah “halwa mata” baginya.

Dalam Islam, hubungan iman mengatasi hubungan darah. Ketika bertembung antara saudara sedarah yang memusuhi Islam dan saudara iman yang mencintai Islam, maka kuasa iman mengatasi segalanya. Firman Allah:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آَبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ

Ertinya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa mereka, atau anak mereka, atau saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; (al-Mujadalah [58:22]).

Persamaan yang ketara antara kedua watak ini adalah, keduanya disifatkan Allah “BERGEGAS-GEGAS ATAU BERLARI” dalam menyampaikan maksud keselamatan kepada teman seagama dengan mereka. Pengajaran bagi kita, apabila perlu menyelamatkan saudara kita dari musibah dunia dan agama, biarlah kesungguhan kita bagai berlarinya kedua lelaki beriman ini. Inilah sikap mukmin sejati. Semoga kecaknaan kita terhadap saudara seagama menjadi sebab limpahan rahmat Allah kepada kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...