Thursday, December 31, 2015

DATANGLAH SOLAT BERJEMAAH KERANA ANDA BELUM BUTA DAN TIDAK DIANCAM BUNUH

DATANGLAH SOLAT BERJEMAAH KERANA ANDA BELUM BUTA DAN TIDAK DIANCAM BUNUH.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan bersabar mengajar aku membaca al-Quran. Aku pernah dimarahi seorang Ustaz lain kerana aku tak fasih membaca al-Quran. Apa nak buat, kami lama hidup dalam jajahan Komunis. Ibu bapa aku hanya mampu ajar aku baca al-Fatihah sahaja. Hidup kami sebagai Muslim di sana cukup sukar. Usahkan solat berjemaah di Masjid, mana-mana Muslim yang dilihat bersolat akan terus ditembak.”

Cerita pelajar saya yang berasal dari sebuah negara kecil jajahan Komunis ini sangat menginsafkan jiwa. Setelah menyambung pelajarannya di UIAM, beliau sangat komited belajar al-Quran. Setiap minggu beliau datang ke bilik saya mengusung al-Quran. Beliau juga komited solat berjemaah dalam Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seakan mahu dilepaskan giannya untuk solat berjemaah setelah sekian lama dihalang oleh pemerintah negaranya. Saya pun malu dengan kegigihannya.

Solat berjemaah di surau atau Masjid bukan perkara enteng. Ia sangat ditekan agama. Usahkan zaman tenang tanpa gelora, suasana gawat ketika diancam musuh sekalipun tidak menggugurkan kewajipan solat berjemaah. Lihat sahaja kisah Bani Isra’il, walau gawat diburu Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka bersolat secara berjemaah:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (87)

Ertinya: Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, DAN JADIKANLAH RUMAH KAMU TEMPAT SEMBAHYANG, SERTA DIRIKANLAH SEMBAHYANG (SECARA BERJEMAAH) DI DALAMNYA; DAN SAMPAIKANLAH BERITA GEMBIRA KEPADA ORANG YANG BERIMAN (BAHAWA MEREKA AKAN DISELAMATKAN DARI KEZALIMAN FIRAUN DAN KAUMNYA)" (Yunus [10:87]).

Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, setelah Bani Isra’il dihalang solat berjemaah secara terbuka dan diancam bunuh oleh Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka solat berjemaah secara tertutup dalam rumah mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Bukan setakat itu, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap diarahkan solat berjemaah ketika gawat berhadapan dengan pihak musuh:

وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ...

Ertinya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada bersama mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersamamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersamamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing…. (al-Nisa’ [4:102]).

Aduhai! Jika semasa gawat berhadapan musuh pun, Allah mengarahkan baginda solat berjemaah, maka bayangkan bagaimanakah hukum solat berjemaah ketika aman sentosa? Oleh kerana itu, sebahagian ulama mengatakan “SOLAT BERJEMAAH ITU WAJIB” berdasarkan arahan Allah dalam ayat ini.

Dalam sebuah hadith disebut permintaan seorang sahabat nabi yang buta agar tidak perlu ke masjid berjemaah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ فَرَخَّصَ لَهُ فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ فَقَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَأَجِبْ

Ertinya:  Abu Hurayrah menceritakan seorang lelaki  buta datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tiada siapa yang boleh membawaku ke masjid (untuk solat berjemaah).” Beliau kemudiannya meminta agar diberi kelonggaran untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Rasulullah SAW membenarkannya, namun setelah beliau berpaling mahu pulang Rasulullah memanggilnya dan bertanya: “Adakah kamu mendengar laungan azan?” Beliau menjawab: “Ya!” Rasulullah kemudiannya berkata: “Maka hendaklah kamu menyahut seruan itu (dan datang solat berjemaah)” (Sahih Muslim).

Hadith ini dibincangkan oleh para ulama dengan kesimpulan orang uzur seperti si buta dalam hadith ini diberikan kelonggaran untuk tidak berjemaah di Masjid. Pun begitu, Rasulullah masih memintanya datang berjemaah. Alhamdulillah! Kita belum buta.

Mari pula kita ikuti kisah seorang remaja yang buta dari United Kingdom. Namanya Mahomed Khatri. Walaupun buta, beliau tetap datang solat berjemaah di Masjid dengan ditemani anjingnya yang bernama Vargo. Kesungguhannya datang solat berjemaah mendorong pihak masjid untuk menyediakan sangkar khusus untuk anjingnya. Kisahnya boleh ditonton di sini:

https://www.youtube.com/watch?v=GPX-74-KRdc

Subhanallah! Alangkah malunya sesetengah kita yang celik mata zahir, tapi rabun mata hati kerana malas datang solat berjemaah ke Masjid.

Solat berjemaah adalah syiar atau lambang kemuliaan Islam. Kalau bukan kita yang menegakkan syiar ini siapa lagi? Saya pasti negara kita belum berperang. Kita juga tidak diancam bunuh seperti Bani Isra’il. Kita juga belum buta mata sehingga perlu dipimpin si anjing ke Masjid. Oleh itu, ambillah peluang ketika aman dan sihat segar bugar ini untuk menjayakan Sunnah Rasulullah SAW ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

BAHAYA ZALIM BERBANDING SYIRIK

BAHAYA ZALIM BERBANDING SYIRIK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:117]) pada 30 Disember 2015. Antara isunya adalah bahaya kezaliman yang mudah mengundang azab Allah.

Syirik sudah dahsyat dosanya kerana ia langsung tiada ampun dari Allah. Pun begitu kita sering tertanya mengapa bukan semua pelaku syirik dimusnah terus oleh Allah? Seakan mereka masih diberi tangguh. Rupanya ayat ini menjawab soalan itu:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Ertinya: Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri (Hud [11:117]).

Perkataan – بظلم   - “yang bermaksud dengan zalim” dalam ayat ini ditafsirkan dengan 2 makna iaitu:

1) Allah tidak akan membinasakan sesebuah negeri SECARA ZALIM tanpa sebab kukuh, selagi penduduknya tidak berlaku zalim sesama sendiri.

2) Allah tidak akan membinasakan sesebuah negeri YANG BERLAKU ZALIM DENGAN MENSYIRIKKAN ALLAH selagi penduduknya tidak berlaku zalim sesama sendiri.

Fokus nota ini adalah tafsiran kedua. Dalam sesetengah keadaan perkataan zalim ditafsirkan dengan syirik seperti nasihat Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), “SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR" (Luqman [31:13]).

Kita mungkin terfikir mengapa sesetengah negara Barat yang tidak bertuhankan Allah masih teguh berdiri sedangkan sesetengah negara Islam pula tak kunjung padam ditimpa konflik. Rupanya pakej pemusnahan Allah kepada umat lampau berpunca dari 2 sebab iaitu (1) kejahatan penduduk sesebuah negeri dan (2) akidah mereka yang syirik.

Lihat sahaja umat lampau, jenayah syirik semata belum cukup kuat untuk menjadi sebab bagi kemusnahan mereka. Kaum Nuh AS yang mensyirikkan Allah dimusnahkan setelah mereka berlaku zalim kepada nabi Nuh AS:

قَالُوا لَئِنْ لَمْ تَنْتَهِ يَا نُوحُ لَتَكُونَنَّ مِنَ الْمَرْجُومِينَ

Ertinya: Mereka (mengugut dengan) berkata: "Jika engkau tidak mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang direjam!" (al-Syu’ara’ [26:116]).

Begitu juga kaum ‘Ad, kemusnahan mereka berlaku setelah mereka zalim kepada orang lain. Firman Allah:

وَإِذَا بَطَشْتُمْ بَطَشْتُمْ جَبَّارِينَ

Ertinya: (Nabi Hud AS menegur kaumnya) "Dan apabila kamu (wahai kaum ‘Ad) memukul atau menyeksa (tawanan atau banduan kamu), kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? (al-Syu’ara’[26:130]).

Sama juga kaum Thamud. Negeri mereka dikuasai oleh 9 jahanam yang licik merancang:

وَكَانَ فِي الْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (48) قَالُوا تَقَاسَمُوا بِاللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُ وَأَهْلَهُ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ (49)

Ertinya: Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ADA 9 ORANG YANG HANYA TAHU MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI MAKSIAT) DAN LANGSUNG TIDAK MELAKUKAN KEBAIKAN SEDIKITPUN. MEREKA BERKATA (SESAMA SENDIRI): "HENDAKLAH KAMU SEMUA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KITA AKAN MEMBUNUH SOLEH DAN PENGIKUTNYA SECARA MENGEJUT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN KITA AKAN BERKATA KEPADA WARISNYA: ` KAMI TIDAK HADIR (DI TEMPAT) PEMBUNUHAN (SOLEH APALAGI MEMBUNUHNYA ATAU MEMBUNUH) PENGIKUTNYA, DAN SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH BERKATA BENAR “(al-Naml [27:48-49]).

Kaum Madyan juga bukan dimusnahkan Allah semata-mata kerana syirik tetapi kerana kezaliman mereka menindas orang lain dalam perniagaan serta kegiatan melanun:

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ قَدْ جَاءَتْكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ فَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (85) وَلَا تَقْعُدُوا بِكُلِّ صِرَاطٍ تُوعِدُونَ وَتَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آَمَنَ بِهِ وَتَبْغُونَهَا عِوَجًا وَاذْكُرُوا إِذْ كُنْتُمْ قَلِيلًا فَكَثَّرَكُمْ وَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ (86)

Ertinya: Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. Dia berkata: "Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, “SEMPURNAKANLAH SUKATAN DAN TIMBANGAN, DAN JANGANLAH KAMU KURANGKAN BAGI MANUSIA AKAN BENDA-BENDA DAN PERKARA-PERKARA YANG MENJADI HAKNYA; DAN JANGANLAH KAMU BERBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI SESUDAH ALLAH MENJADIKANNYA (MAKMUR TERATUR) DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.” Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman. "DAN JANGANLAH KAMU DUDUK PADA SETIAP JALAN LALU-LALANG, DENGAN MENAKUT-NAKUTKAN DAN MENGHALANGI ORANG YANG BERIMAN DARI MELALUI JALAN ALLAH,” dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang yang berbuat kerosakan (al-A’raf [7:85-86]).

Melihat kepada hakikat ini, ternyata zalim dan jahat sangat bahaya. Kita tidak katakan sesetengah negara Barat sangat adil dan mulia, tetapi integriti, kebersihan serta keadilan sistem mereka kelihatan lebih tinggi dari sesetengah negara Islam sehingga Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata:

“I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam.”

Umat Islam sudah memiliki Tawhid tetapi hilang sesetengah nilai Islam sehingga kucar kacir dan cacat integirti sesetengah negara Islam seakan memfitnah Islam. Sudah samai masanya kita buktikan kepada semua bahawa Islam adalah agama terbaik dan bukan hanya bernostalgia dengan tamadun Islam silam. Kembalilah kepada Islam sebenar nescaya kita akan gemilang.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Wednesday, December 30, 2015

ORANG BERILMU DAN KAKI SOLAT MUDAH MENERIMA PERINGATAN

ORANG BERILMU DAN KAKI SOLAT MUDAH MENERIMA PERINGATAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:18]) pada 29 Disember 2015. Antara isunya adalah kelembutan hati orang berilmu dan bersolat dalam menerima teguran.

“Sedap hati nak menegur aku! Macamlah kamu tu baik sangat?”

Manusia memang sukar menerima teguran. Seakan maruah diri jatuh merudum jika ada sesiapa yang berani menegur, sedangkan teguran itu boleh menjadi ubat yang mujarab walau pahit pada hati nurani. Manusia yang tulus lagi bersih hatinya bersikap positif menerima teguran orang. Teguran orang terhadap kita menjadi tanda prihatin dan sayangnya si penegur kepada kita. Si penegur risau kita akan tenggelam dalam kesilapan yang boleh memangsakan diri sendiri atau orang lain.

Bagaimana caranya mendidik hati agar mudah menerima teguran orang? Biar Allah yang mengajar kita. Ia disebut secara halus pada bahagian kedua firman Allah ini:

إِنَّمَا تُنْذِرُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَمَنْ تَزَكَّى فَإِنَّمَا يَتَزَكَّى لِنَفْسِهِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Ertinya: …….. “SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HANYALAH MEMBERI PERINGATAN KEPADA ORANG-ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR HUKUM-HUKUM) TUHAN SEMASA MEREKA TIDAK DILIHAT ORANG DAN SEMASA MEREKA TIDAK MELIHAT AZAB TUHAN, SERTA MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG.” Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali (Fatir [35:18]).

Menurut ayat ini, ada 2 jenis manusia yang mudah diberi peringatan atau mudah menerima teguran:

1) Orang berilmu yang gerunkan Allah sama ada ketika dia berseorangan atau dalam keadaan mata zahirnya tidak dapat melihat Allah. Walaupun Allah ghaib pada mata zahir, orang beriman melihat Allah dengan mata hatinya.

Gerun kepada kehebatan dan azab Allah hanya mampu dicapai dengan ilmu pengetahuan sebagaimana kata-kata Abdullah ibn Mas’ud:

"لَيْسَ الْعِلْمَ مِنْ كَثْرَةِ الْحَدِيثِ، وَلَكِنَّ الْعِلْمَ مِنَ الْخَشْيَةِ".

Ertinya: Ilmu itu bukan diukur pada banyaknya bicara tetapi ilmu sebenar dinilai pada rasa gerun (kepada Allah) (al-Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Benar sungguh kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud ini, ilmu yang dihayati secara mendalam mampu menjadi kenderaan mencapai rasa gerun kepada Allah:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Ertinya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hambaNya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun (Fatir [35:28]).

2) Orang yang senantiasa mendirikan solat. Solat yang didirikan dengan sempurna rukun zahir dan batinnya mampu mendekatkan seorang hamba dengan Allah. Ia berupaya mencegah seseorang dari melakukan doa:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan “DIRIKANLAH SEMBAHYANG (DENGAN TEKUN); SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR;” dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29:45]).

Manusia yang culas solat sukar menerima teguran kerana jiwanya tidak dilatih sujud patuh kepada Allah. Tambah parah lagi, manusia yang enggan bersujud kepada Allah mudah menjadi buas untuk mengikut nafsunya:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Ertinya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang “MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT);” maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (Maryam[19:59]).

Kita adalah manusia yang tidak sempurna dan sering melakukan kesilapan. Kita juga tidak mampu melihat wajah sendiri yang mungkin terpalit kotoran tanpa bantuan cermin. Seeloknya kita buka minda untuk menerima teguran orang lain yang mungkin diutus Allah sebagai CERMIN UNTUK MENUNJUKKAN WAJAH KITA YANG SEBENARNYA DIHINGGAP HABUK ATAU DOSA.

Pada akhir ayat di atas Allah menegaskan faedah menyucikan diri akan diperolehi oleh empunya jiwa, bukannya orang lain:

وَمَنْ تَزَكَّى فَإِنَّمَا يَتَزَكَّى لِنَفْسِهِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali (Fatir [35:18]).

Menanamkan rasa gerun kepada Allah dengan mendalami ilmu agama serta menjaga solat seumpama sabun rohani penyuci jiwa insan. Perhatikan kiasan Rasulullah SAW ini:

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا

Ertinya: (Rasulullah bertanya) Apa pandangan kamu semua jika ada sebuah sungai di pintu rumah seorang manusia yang digunakan untuk mandi 5 kali sehari. Adakah kotoran pada dirinya masih ada? Para sahabat menjawab: (Pastinya) tiada lagi kotoran padanya. Rasulullah menyambung: Itulah perumpamaan solat 5 waktu yang menjadi sebab Allah menghapuskan segala dosa (manusia) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Ayuh! Marilah kita menambah ilmu dan mendirikan solat agar keduanya mampu menimbulkan rasa gerun kepada Allah. Semoga ia menjadi sebab limpahan rahmat Allah pada kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

RAHSIA PENERIMAAN DOA NABI YUNUS YANG JARANG DIKETAHUI

RAHSIA PENERIMAAN DOA NABI YUNUS YANG JARANG DIKETAHUI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (al-Saffat [37:139-143-144]) pada 29 Disember 2016. Antara isunya adalah rahsia penerimaan doa

Jangan bermusim dalam mengingati Allah! Itu adalah “rukun hidup” yang wajib difahami oleh semua Muslim yang bertuhankan Allah. Ada sesetengah manusia hanya mencari Allah ketika susah. Apabila hidup dilanda resah, solatnya menjadi khusyuk luar biasa mengalahkan para wali. Apabila masalahnya hilang, solatnya langsung hanyut ke laut. Ini sikap manusia yang tidak mengenang budi dan jasa Allah.

Kewajipan mengingati Allah secara konsisten terangkum dalam arahan solat 5 waktu. Dalam solat yang 5 ini, Muslim mengatur munajat kepada Allah dalam setiap lafaz bacaan solat. Tambah menarik jarak yang sedikit jauh antara solat Subuh dan Zohor ditampung oleh solat Dhuha, manakala jarak panjang antara Isyak dan Subuh juga dipendekkan dengan saranan solat Tahajjud. Dengan kitaran ini, hubungan dan ingatan seorang hamba kepada Allah berlangsung hampir 24 jam.

Nabi Yunus AS adalah contoh terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah kerana baginda senantiasa mengingati Allah ketika senang. Ramai yang beranggapan rahsia bantuan Allah kepadanya berpunca hanya dari doa ini:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ (88)

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri". Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami) (al-Anbiya’ [21:87-88]).

Memang tidak dinafikan, lafaz yang indah memainkan peranannya tersendiri dalam menjamin penerimaan sesuatu doa. Bagi lafaz di atas Rasulullah SAW mengakuinya:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Ertinya: Doa nabi Yunus yang dibacanya ketika dalam perut ikan iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam orang yang berlaku zalim” (adalah lafaz doa yang sangat istimewa), tiada seorang pun Muslim yang menggunakan lafaz doa ini melainkan akan dimakbulkan Allah baginya (Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad).

Pun begitu, kisah nabi Yunus dan doanya “ADA SEJARAH AWAL YANG JARANG DIKETAHUI” iaitu baginda AS ketika waktu senangnya senantiasa mengingati Allah secara konsisten dan agresif. Rupanya inilah punca utama mengapa doa baginda AS tatkala kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah. Perhatikan firman Allah ini:

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)

Ertinya: Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari para Rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang terpaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu jadilah dia dari orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditegur. MAKA KALAULAH DIA (DAHULUNYA KETIKA SENANG) BUKAN DARI ORANG YANG SENTIASA MENGINGATI ALLAH (DENGAN ZIKIR DAN TASBIH),  SUDAH PASTI DIA AKAN TINGGAL (BERKUBUR) DALAM PERUT IKAN ITU HINGGA KE HARI MANUSIA DIBANGKITKAN KELUAR DARI KUBUR (al-Saffat[37:139-144]).

Kisah baginda ini direkod kekal oleh Allah dalam al-Quran agar menjadi panduan umat Islam sehingga kiamat. Kunci penerimaan doa seseorang hamba adalah sejauh mana kesungguhan serta konsistennya dia mengingati Allah ketika senang. Abdullah Ibn ‘Abbas menceritakan Rasulullah SAW pernah berpesan kepadanya dalam sabda baginda:

تَعَرَّفْ إِلَى اللَّهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ

Ertinya: Kenalilah (ingatilah) Allah ketika senang, pastinya Dia akan mengenalimu ketika sukar (al-Mu’jam al-Kabir Li Imam al-Tabrani).

Kisah doa nabi Yunus boleh dianalogikan dengan tabiat suka menyimpan ketika senang oleh seorang yang bijak. Apabila tiba waktu genting atau zaman kemelesetan ekonomi, dia tak risaukan kemiskinan atau kesusahan kerana simpanan hartanya selalu ada.

Pengajaran utama bagi kita, isilah waktu tenang dan senang kita dengan beribadat dan berdoa kepada Allah kerana ia akan mengundang kasih Allah kepada kita. Apabila Tuhan Pemilik semesta alam sukakan kita, maka semua masalah akan diuruskanNya sebaik mungkin.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Monday, December 28, 2015

TETAP BODOH WALAU DIGELAR SI BIJAK

TETAP BODOH WALAU DIGELAR SI BIJAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tazkirah Subuh ringkas (al-Ra’d[13:19-24]) pada Ahad 27 Disember 2015 di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B.

“Dahulu semasa cuti semester, aku pernah berkerja sebagai “caddy” di sebuah kelab golf. Pada suatu hari aku mengiringi seorang ternama yang berpangkat lagi intelek dengan deretan gelaran akademiknya. Orang ternama ini mulai melibas kayu golfnya bermula sebelum Asar sehingga masuk waktu maghrib. Aku mencuri masa untuk solat Asar dan maghrib, malangnya orang ternama ini berterusan melibas kayu golf sehingga solat 2 waktu terbuang. Aku sungguh terkejut apabila mengetahui dia tidak solat. Nampak tak cocok dengan namanya yang besar dalam dunia akademik tanah air.”

Pengalaman teman saya di atas memang terjadi di mana sahaja. Ada manusia yang memiliki gelaran dan sijil akademik yang sangat hebat dari university yang ternama. Mereka ini sangat dihormati dan digelar sebagai manusia intelek atau bijaksana. Manusia boleh terpaku kagum apabila patah perkataan keluar dari mulut mereka. Namun begitu, sesetengah mereka ini tidak mengenal Allah dan tidak mengenal solat. Benarkah mereka ini manusia cemerlang lagi bijaksana bagai disangka sesetengah orang?


Saya tidak mahu melabel atau berbicara panjang. Biarlah bicara Allah ini menerangkan kepada kita siapa sebenarnya manusia yang paling cemerlang dan bijaksana:

أَفَمَنْ يَعْلَمُ أَنَّمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَى إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ (19) الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلَا يَنْقُضُونَ الْمِيثَاقَ (20) وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ (21) وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (24)

Ertinya: Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? “SESUNGGUHNYA ORANG YANG MAHU MEMIKIRKAN HAL ITU HANYALAH ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.” Orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; - Dan orang yang menghubungkan perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); - Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari setiap pintu; - (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (al-Ra’d [13:19-24]).

Golongan intelek bijaksana, berakal sempurna atau ULUL ALBAB dalam ayat ini sangat mulia kerana diucapkan selamat secara khusus oleh para malaikat di akhirat kelak. Ringkasnya, mereka memiliki beberapa ciri iaitu:

1) Menyempurnakan perjanjiannya dengan Allah iaitu janji untuk hanya mempertuhankan Allah. Ia terangkum dalam intipati Tawhid yang sejati.

2) Menghubungkan silaturahim serta berbuat baik kepada kaum keluarga dan orang susah.

3) Senantiasa bimbang akan kemurkaan Allah dengan menghindari segala laranganNya.

4) Takut dengan kesukaran hisab pada hari kiamat. Rasa takut ini mendorong mereka agar senantiasa menjaga batasan agama Allah.

5) Sabar dalam mentaati Allah, sabar meninggalkan segala laranganNya dan sabar ketika menerima musibah.

6) Menjaga solat dan dermawan.

7) Berakhlak mulia  dengan menolak kejahatan secara baik lagi terhormat.

Sesiapa yang mampu menjiwai 7 perkara di atas adalah manusia yang paling bijaksana walaupun sijil persekolahannya hanya bertaraf rendah. Manakala manusia yang gelaran akademiknya berjela meleret ke lantai tetap “bodoh lagi dungu” sekiranya tidak mampu menjiwai segala ciri ayat di atas terutama sekali jika tidak mendirikan solat. Mengapa solat diutamakan? Tidak lain ia adalah tiang agama dan pembeza antara iman dan kufur.

Apalah gunanya mencapai gred “A” dalam peperiksaan aturan manusia jika grednya dalam neraca Allah masih corot dan gagal. Alangkah baik dan indahnya jika yang sijilnya meleret ke lantai dilengkapkan nilai dirinya dengan penghayatan ayat di atas. Ayuhlah kita mendidik diri dan anak-anak agar benar-benar menjadi manusia cemerlang bijaksana menurut piawaian Allah di dunia dan di akhirat.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

ORANG BERILMU MELIHAT BANYAK LANGKAH KE HADAPAN

ORANG BERILMU MELIHAT BANYAK LANGKAH KE HADAPAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (al-Qasas [28:79-82]) pada 22 Disember 2015. Antara isunya adalah kelebihan orang alim berbanding manusia jahil.

Mata si jahil mudah terpukau dengan kilauan dunia. Mereka sangka timbunan harta menjadi lambang kemuliaan manusia. Mata hati si alim pula terang menembus alam akhirat. Mereka sedar harta adalah pinjaman serta amanah yang bakal diaudit ketat di akhirat kelak. Ketika si jahil mabuk dengan kemilau dunia sehingga menyangka ia adalah kilauan berlian, si alim sudah tahu bahawa itu hanyalah kilauan kaca. Kisah pengkagum harta dan manusia berilmu dalam cerita Qarun ini sangat bagus dijadikan pedoman setiap orang yang beriman dengan al-Quran:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (79) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ (80)

Ertinya: Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula “ORANG YANG DIBERI ILMU (DI ANTARA MEREKA): "JANGANLAH KAMU BERKATA DEMIKIAN, PAHALA DARI ALLAH LEBIH BAIK BAGI ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH; DAN TIDAK AKAN DAPAT MENERIMA (PAHALA YANG DEMIKIAN) ITU MELAINKAN ORANG YANG SABAR" (al-Qasas[28:79-80]).

Semua sedia maklum Qarun adalah manusia kaya yang sangat angkuh. Ketika dia keluar menayang segala kekayaannya, manusia jahil yang rabun akhirat lekas terpukau. Untung rugi pada mata dengan mereka hanyalah pada timbunan harta dan pengaruh. Lain pula mata hati orang berilmu. Mereka tahu mana kaca dan mana berlian. Ketika si jahil hanya melihat apa yang terhidang di hadapan mata, mata orang berilmu sudah nampak beberapa langkah ke hadapan sehingga mencecah alam akhirat.

Soalnya, siapakah yang betul antara dua kelompok pada ayat di atas? Biar ayat ini memberikan piala kebenaran kepada yang berhak:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِنْ فِئَةٍ يَنْصُرُونَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنْتَصِرِينَ (81) وَأَصْبَحَ الَّذِينَ تَمَنَّوْا مَكَانَهُ بِالْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَوْلَا أَنْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ (82)

Ertinya: Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah" dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. DAN ORANG YANG PADA MASA DAHULU BERCITA-CITA MENDAPAT KEKAYAAN SEPERTI QARUN - MULAI SEDAR SAMBIL BERKATA: "WAH! SESUNGGUHNYA ALLAH MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA, DAN DIA LAH JUGA YANG MENYEMPITKANNYA KALAU TIDAK KERANA ALLAH MEMBERI PERTOLONGAN KEPADA KITA TENTULAH KITA AKAN DIBINASAKAN DENGAN TERTIMBUS DI DALAM TANAH (SEPERTI QARUN). ADUHAI! SESUNGGUHNYA ORANG YANG KUFURKAN NIKMAT ALLAH ITU TIDAK AKAN BERJAYA!" (al-Qasas[28:81-82]).

Subhanallah! Ayat ini bukan sekadar cerita antara 2 kelompok manusia tetapi ia adalah penganugerahan "piala kebenaran" kepada orang berilmu. Manusia jahil hanya sedar kebodohan dan kejahilan mereka setelah melihat kemusnahan Qarun yang ditelan bumi. Jauh bezanya dengan orang berilmu yang sudah lama melihat betapa kekayaan Qarun hanyalah pinjaman yang boleh ditarik Allah pada bila-bila masa sahaja. Jika Qarun musnah ditelan puluhan tahun selepas dia keluar menayang kekayaannya, bermakna orang jahil begitu jauh ketinggalan dalam melihat hakikat kebenaran berbanding orang berilmu yang sudah sedar lama sebelum ia terjadi.

Inilah caranya al-Quran mendidik kita agar menjadi manusia berilmu. Rugi sekali jika kita masih terpaku kagum melihat timbunan harta tetapi culas dan liat untuk menghadiri majlis ilmu. Ketahuilah, harta adalah lambang kesombongan Qarun, manakala ilmu pula lambang kemulian para Rasul. Qarun ditelan bumi kerana hartanya, manakala nabi Musa AS ditinggikan darjatnya kerana ilmu. Pilihlah mana idaman hati.  Jika mahu kagum dengan si kaya atau si alim, ikutlah panduan sabda Rasulullah ini. Insya Allah kita semua selamat:

لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

Ertinya: Tidak boleh berhasad dengki, kecuali iri hati pada dua keadaan, iaitu; seorang lelaki yang dikurniai Allah (kemahiran & kefahaman) al-Quran, lalu dia menegakkannya (mengamal, mengajar, menghayati) sepanjang malam dan sepanjang siang, juga seorang lelaki yang dikurniai Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya (pada jalan kenaikan) sepanjang siang dan malam (Sahih al-Bukhari & Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

ISTIQAMAH ITU MEMUTIHKAN KEPALA

ISTIQAMAH ITU MEMUTIHKAN KEPALA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud[11:112]) pada  23 Disember 2015. Antara isunya adalah kepentingan dan kesukaran Istiqamah atau konsisten dalam melaksanakan arahan Allah.

Tidak semudah menutur di lidah, istiqamah atau senantiasa teguh dengan Islam memerlukan sesuatu yang sangat lebih. Lebih segalanya, lebih dari sudut akidah, akhlak dan amal soleh. Orang yang istiqamah akidahnya tetap bernafas dengan Tawhid. Walau apa datang melanda, Tuhannya hanya Allah. Akhlak senantiasa dijaga agar dirinya menjadi cermin Islam kepada yang lain. Amal solehnya juga konsisten walaupun tidak banyak. Dia tahu amal yang sedikit tetapi konsisten lebih baik dari amalan bertimbun tetapi bermusim. Sabda Rasulullah SAW ini dipegang dengan teguh:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ

Ertinya: ‘Aisyah RA menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang PALING DICINTAI ALLAH? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Arahan istiqamah bukan calang-calang! Ia ditegaskan khusus oleh Allah dalam al-Quran. Pastinya ayat yang mengarahkan istiqamah bukan untuk menjadi hiasan dinding tetapi perlu dipasak ke dalam hati:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud[11:112]).

Rasulullah SAW pun beruban apabila mengenangkan surah Hud:

شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Ertinya: (Isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban (Sunan al-Tirmidhi).

Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut. Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, ayat yang mengarahkan baginda agar senantiasa istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga seakan ia memutihkan kepala baginda SAW (Tafsir al-Razi).

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar turut istiqamah dalam imannya kepada Allah:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي أَمْرًا فِي الْإِسْلَامِ لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Ertinya: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya)   (Musnad Ahmad).

Bukan setakat Rasulullah SAW, nabi Musa dan Harun AS turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman Fir’awn:

قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; “OLEH ITU HENDAKLAH KAMU TETAP (MENJALANKAN PERINTAHKU SETERUSNYA)”, dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)" (Yunus [10:89]).

Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Ertinya: Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu (Fussilat [41:30])

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Saturday, December 26, 2015

DOA YANG DISIMPAN UNTUK MENGHADAPI UJIAN HAJI

DOA YANG DISIMPAN UNTUK MENGHADAPI UJIAN HAJI

https://mobile.facebook.com/abdullahbukhari.abdulrahim/posts/10205681856791084?refsrc=https%3A%2F%2Fm.facebook.com%2Fabdullahbukhari.abdulrahim%2Fposts%2F10205681856791084&_rdr

CERITA JARI RETAK DAN KUASA DOA

CERITA JARI RETAK DAN KUASA DOA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Saya terkejut besar! Resah tak tertanggung apabila pihak sekolah menyatakan anak kedua saya Asma Sofiah mengalami kemalangan kecil semasa bermain netball di sekolah. Tanpa tunggu saya terus bergegas ke sekolahnya. Tiada apa yang paling saya takut melainkan sebarang petaka menimpa anak-anak.

Akibat dari kemalangan kecil itu, jari tengah tangan kirinya “retak” dihentam bola. Selepas itu, 2 minggu lamanya tangan kiri Asma Sofiah terpaksa dibalut kemas. Selepas beberapa ketika, baru saya sedar kemalangan yang menimpa anak kedua saya ini berkait rapat dengan doa. Bagaimana?

Biasanya saya yang menghantar anak-anak ke sekolah setiap pagi. Format wajib bagi saya dengan anak-anak ketika dalam perjalanan ke sekolah adalah mengingatkan mereka agar membaca doa penghindar musibah yang diajar oleh Rasulullah SAW setiap pagi:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Pada hari kejadian saya tidak menghantar anak-anak ke sekolah kerana perlu berpagi ke Hospital Selayang untuk temujanji kesihatan. Pagi itu isteri saya menghantar mereka. Format isteri saya sedikit berbeza, dia biasa mengisi waktu perjalanan pergi ke sekolah dengan nasihat ibu anak. Pagi itu Asma Sofiah tidak membaca doa yang biasa dibacanya kerana saya tiada bersamanya untuk menekan butang penggera harian. Masya Allah! Sungguh besar impak sebuah doa.

Pun begitu, saya kira Allah masih menjaga anak-anak saya kerana saya sendiri mewajibkan doa keselamatan untuk kami sekeluarga setiap pagi. Kunci doa keselamatan saya untuk keluarga tersirat pada patah akhir ayat Kursi. “SAYA BERMOHON, JIKA ALLAH MAMPU MENJAGA SELUAS ALAM SEMESTA, MAKA SANGAT REMEH UNTUK ALLAH MENJAGA SAYA, ISTERI, KELUARGA, IBU, SAUDARA MARA DAN SELURUH UMAT MANUSIA”:

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). “LUASNYA KURSI ALLAH (ILMUNYA DAN KEKUASAANNYA) MELIPUTI LANGIT DAN BUMI; DAN TIADALAH MENJADI KEBERATAN KEPADA ALLAH MENJAGA SERTA MEMELIHARA KEDUANYA.” Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (al-Baqarah [2:255]).

Seolah doa kami semua ada 2 lapis, selapis dibaca sendiri oleh anak-anak, manakala selapis lagi doa saya untuk mereka. Saya percaya jika kami berdua saling berdoa seperti biasa pagi itu, takdir yang ditulis Allah semuanya selamat. Tiada yang patah atau retak. Jika kami berdua langsung tidak berdoa, tangan Asma Sofiah barangkali ditulis patah dalam kemalangan kecil itu. Walaupun Asma Sofiah lupa membaca doa keselamatan untuk dirinya pagi itu, takdir patah diringankan menjadi retak kerana rutin doa peribadi saya untuk keselamatan anak-anak setiap hari. Doa ibu bapa yang tulus mencintai anak-anak memang senang dimakbulkan Allah. Bukan saya kata, tetapi ia sabda Rasul junjungan:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Ertinya: 3 jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), “IAITU DOA (IBU) BAPA KEPADA ANAKNYA (SAMA ADA DOA YANG BAIK ATAU BURUK)”, doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi (Sunan Abu Dawud).

Kesimpulannya, jangan dipandang enteng doa. Tambahan pula doa yang dibuat secara konsisten. Sebut saja doa secara konsisten, saya teringat rahsia penerimaan doa nabi Yunus AS semasa ditelan oleh ikan paus. Rahsia penerimaan doa baginda direkodkan al-Quran:

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)

Ertinya: Maka kalaulah dia (Yunus AS) bukan dari orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan doa, zikir dan tasbih), Tentulah dia akan tinggal dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur (al-Saffat [37:143-144]).

Rupanya doa nabi Yunus AS semasa kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah kerana baginda selalu berdoa dan beramal soleh kepada Allah semasa baginda senang (Tafsir Ibn Kathir).

Murnikan cinta kita semua kepada anak-anak dengan memohon agar Allah senantiasa menjaga mereka di dunia dan di akhirat. Siapa lagi yang lebih mampu menjaga keselamatan mereka selain Allah?

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

HIDUPMU SINGKAT, ISILAH DENGAN ILMU DAN IMAN

HIDUPMU SINGKAT, ISILAH  DENGAN ILMU DAN IMAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Rum [30:55-57]) pada 17 Februari 2015. Antara isunya adalah gambaran betapa singkatnya hidup manusia dan peranan ilmu sebagai penyiram iman.

Menyesal, sedih dan gentar. Itulah perasaan para pesalah di padang mahsyar kelak. Pada saat itu barulah mereka sedar betapa singkatnya hidup mereka di dunia dahulu. Apakan daya, masa sudah habis, jam tidak mungkin kembali ke belakang:

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ كَذَلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ (55) وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (56) فَيَوْمَئِذٍ لَا يَنْفَعُ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَعْذِرَتُهُمْ وَلَا هُمْ يُسْتَعْتَبُونَ (57)

Ertinya: Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar). Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya)". Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah (al-Rum [30:55-57]).

Rasa terkejut mereka itu nampaknya cuba dijadikan alasan untuk memohon peluang kedua. Seakan dikata: “YA ALLAH! KAMI DIBERIKAN PELUANG HIDUP YANG SANGAT SINGKAT SEMASA DI DUNIA DAHULU. SUDILAH KIRANYA ENGKAU BERIKAN KAMI HIDUP SEKALI LAGI UNTUK KAMI TEBUS SEGALA KEKHILAFAN DAHULU.” Auta mereka dipancung tuntas oleh Allah:

وَلَوْ تَرَى إِذْ وُقِفُوا عَلَى النَّارِ فَقَالُوا يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلَا نُكَذِّبَ بِآَيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (27) بَلْ بَدَا لَهُمْ مَا كَانُوا يُخْفُونَ مِنْ قَبْلُ وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (28) وَقَالُوا إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ (29)

Ertinya: Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman". (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati" (al-An’am [6:27-29]).

Ketika cemas melanda, manusia jahat tampil memberikan berbagai alasan bodoh. Lain pula halnya dengan orang berilmu yang beriman. Mereka tahu benar bahawa peluang yang sekali di dunia ini wajib digenggam sekuatnya. Tidaklah kelak menyesal tak sudah di akhirat. Apa yang sangat menarik dalam ayat surah al-Rum ini adalah bagaimana Allah menggandingkan secara ekslusif antara “ILMU dan IMAN pada ayat 56 di atas:

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ

Ertinya: (Setelah mendengar keluhan para pendosa), berkatalah orang yang dikurniai ILMU dan IMAN (al-Rum[30:56]).

Gandingan ini jelas menunjukkan ilmu adalah gerbang iman. Tanpa ilmu masakan iman boleh datang. Oleh itu, jika mahu iman bertambah dalamilah ilmu agama. Malang sekali orang yang mengaku beriman tapi malas mendalami ilmu agama. Lebih malang orang yang sibuk dengan kesenangan dunia sehingga lupa membajai imannya. Semoga Allah jadikan kita hambaNya yang senantiasa menyuburkan iman dengan siraman ilmu.

Menutup bicara ini, saya mahu kongsi sebuah hadith yang Insya Allah bakal menyedarkan kita agar mengambil segala peluang yang ada sebaiknya tanpa bertangguh. Sabda Rasulullah SAW:

يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

Ertinya: Pada hari kiamat, dibawakan orang kafir yang paling hebat ni’matnya di dunia (kaya) lalu dicelupnya dalam dengan celupan neraka sahaja, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)? Lalu si kafir menjawab: Tidak sama sekali wahai Tuhanku. Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu, lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam ni’mat syurga, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)? Lalu dijawabnya: Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali (Sahih Muslim & Musnad Ahmad).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...