Saturday, December 12, 2015

JANGAN BUTA HATI DARI MENSYUKURI NI'MAT SIANG DAN MALAM

JANGAN BUTA  HATI DARI MENSYUKURI NI’MAT SIANG DAN MALAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas [28:71-72]) pada 8 Disember 2015. Antara isunya adalah kelangsungan ni’mat siang dan malam yang sering manusia lupa.

Bayangkan apa akan terjadi jika malam berterusan sampai kiamat? Tiada langsung proses fotosintesis oleh pokok, lalu nipislah oksigen untuk haiwan dan manusia. Baju dijemur tak kunjung kering lalu bau hapak akan menyelubungi bumi. Pembangunan bumi pasti terbantut. Kemalangan jalan raya berlaku dengan kerap. Bumi akan sejuk berselimut salji sehingga menusuk tulang hitam. Paling menakutkan, manusia akan mengalami krisis makanan dan sumber tenaga. Sudahnya, umur manusia pasti pendek seperti kitaran hidup sesetengah serangga. Aduh! Banyak sekali masalah yang bakal manusia hadapi jika Allah mengunci mati sang matahari sehingga kiamat. Renungkan firman Allah ini:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ اللَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِضِيَاءٍ أَفَلَا تَسْمَعُونَ

Ertinya: Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?(al-Qasas[28:71]).

Begitu juga sebaliknya, jika siang menjadi pakaian bumi secara berterusan sehingga kiamat, manusia akan merana kepanasan. Warna bumi hanya kuning diselaputi gurun pasir. Manusia akan keletihan kerana tidak mendapat rehat yang cukup. Tidur siang pastinya tidak sama dengan tidur pada waktu malam yang dingin lagi nyaman berselimut gelap. Pendek kata umur manusia juga akan menjadi pendek kerana kekeringan dan kehausan tenaga. Besar sungguh rupanya ni’mat malam yang diberi percuma oleh Allah ini:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Ertinya: katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?" (al-Qasas[28:72]).

Oleh itu, manusia perlu bersyukur dengan semua ni’mat Allah walau ianya kita anggap sekecil siang yang berguna untuk beraktiviti atau malam yang berguna untuk berehat. Benarlah firman Allah:

وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya:Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur (al-Qasas[28:73]).

Walau sekadar siang atau malam, ia mampu memberikan impak yang sangat besar pada kehidupan manusia. Oleh itu, 2 ni'mat ini diingatkan secara khusus oleh Allah dalam banyak ayat. Antaranya:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآَيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ (190) الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (191)

Ertinya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka (Ali 'Imran [3:190-191]). 

Syukurilah segala ni’mat Allah walaupun sekadar mata yang terpejam meni’mati nyamannya berselimut dingin tidur pada waktu malam. Atau sekadar senangnya berkerja mencari sesuap rezeki pada waktu siang tanpa perlu memikirkan kesetiaan sang matahari menyuluh laluan kita ketika berkerja. Semoga nota ini membantu kita membuka luas mata hati memikirkan keagungan Allah pada silih bergantinya siang dan malam.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...