Wednesday, December 2, 2015

FIR'AWN MENGETUAI PERBARISAN KAUMNYA KE NERAKA

FIR’AWN MENGETUAI PERBARISAN KAUMNYA KE NERAKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Isnin (Hud [11:96-98]) pada  30 November 2015. Antara isunya adalah Fir’awn akan mengetuai pengikutnya dihumban ke neraka.

Mustahil si jahat bergerak seorang diri melakukan kemusnahan pada alam ini. Gerak lakunya mesti bersokong. Mesti ada belakang tempat dia bersandar. Mesti ada "balaci, macai atau algojo" yang menjalankan segala arahan jahatnya. Pendek kata, setiap manusia zalim mesti ada pengikut bodoh yang menyimpan beku akal kurniaan Allah pada mereka demi sedikit kedudukan di sini si zalim. Golongan ini dicaci agama sebagai sabda Rasulullah SAW:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ  وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Terjemahan hadith diambil dari Syarh Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi, ertinya: 2 golongan ahli neraka yang belum aku temui iaitu, (1) kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya, juga (2) wanita  yang berpakaian tetapi bertelanjang (berpakaian jarang, ketat sehingga menampakkan susuk tubuh),  mereka juga menyimpang daripada ketaatan (kepada Allah kerana tidak menjaga kehormatan diri), cenderung (kepada kaum lelaki dan menarik perhatian lelaki dengan lenggok jalan dan pergerakan bahunya). Kepala mereka bersanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak berpeluang mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dihidu dalam tempoh perjalanan sekian dan sekian (jauh dan lamanya) (Sahih Muslim).

Dosa mereka sebagai "anjing pekerja si zalim" memang besar, namun dosa ketua mereka jauh lebih besar berganda. Firman Allah:


وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آَمَنُوا اتَّبِعُوا سَبِيلَنَا وَلْنَحْمِلْ خَطَايَاكُمْ وَمَا هُمْ بِحَامِلِينَ مِنْ خَطَايَاهُمْ مِنْ شَيْءٍ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ (12) وَلَيَحْمِلُنَّ أَثْقَالَهُمْ وَأَثْقَالًا مَعَ أَثْقَالِهِمْ وَلَيُسْأَلُنَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَمَّا كَانُوا يَفْتَرُونَ (13)

Ertinya: Dan berkata pula orang yang kufur ingkar kepada orang yang beriman: "Ikutlah jalan ugama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan kamu (kalau kamu mengira perbuatan itu salah)". Padahal mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang yang bersalah itu sedikitpun, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta. Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban dosa mereka dan beban (dosa orang yang mereka sesatkan) bersama dengan beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu (al-‘Ankabut [29:12-13]).

Antara manusia zalim yang "menduduki carta tertinggi penzalim" sepanjang zaman adalah Fir’awn bapa angkat nabi Musa AS. Kejahatannya tak terbayang dek fikiran manusia yang waras. Jika diberitahu binatang sekalipun, binatang pun pasti terkejut besar dengan senarai panjang  jenayah Fir’awn. Bahana jenayahnya menyebabkan Fir’awn berada pada saf paling depan ketika melangkah ke neraka kelak. Firman Allah:

  وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآَيَاتِنَا وَسُلْطَانٍ مُبِينٍ (96) إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاتَّبَعُوا أَمْرَ فِرْعَوْنَ وَمَا أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍ (97)  يَقْدُمُ قَوْمَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَوْرَدَهُمُ النَّارَ وَبِئْسَ الْوِرْدُ الْمَوْرُودُ (98)

Ertinya: Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata: Kepada Firaun dan kaumnya; “LALU KAUM FIRAUN MENURUT PERINTAH FIRAUN, SEDANG PERINTAHNYA ITU BUKANLAH PERINTAH YANG BETUL. FIRAUN AKAN MENGETUAI KAUMNYA PADA HARI KIAMAT” kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka (Hud [11:96-98]).

Dalam ayat lain, sekali lagi Allah menyebut ketua dan kepala penjahat seperti Fir’awn akan terlebih dahulu disentap ubun-ubunnya untuk dihumban ke neraka:

فَوَرَبِّكَ لَنَحْشُرَنَّهُمْ وَالشَّيَاطِينَ ثُمَّ لَنُحْضِرَنَّهُمْ حَوْلَ جَهَنَّمَ جِثِيًّا (68) ثُمَّ لَنَنْزِعَنَّ مِنْ كُلِّ شِيعَةٍ أَيُّهُمْ أَشَدُّ عَلَى الرَّحْمَنِ عِتِيًّا (69) ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِالَّذِينَ هُمْ أَوْلَى بِهَا صِلِيًّا (70)

Ertinya: Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta para syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam. “SESUDAH ITU, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN CABUT DARI SETIAP GOLONGAN, ORANG YANG SANGAT DERHAKA KEPADA (ALLAH) AR-RAHMAN, DI ANTARA MEREKA.” Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka itu (Maryam [19:68-70]).

Bagi pengikut Fir’awn pula, mereka turut mendapat pendahuluan azab sejurus mereka dicabut nyawa dan menempati barzakh. Firman Allah:

فَوَقَاهُ اللَّهُ سَيِّئَاتِ مَا مَكَرُوا وَحَاقَ بِآَلِ فِرْعَوْنَ سُوءُ الْعَذَابِ (45) النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آَلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ (46)

Ertinya: (Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya, Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (secara berterusan semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Ghafir [40:45-46]).

Kisah malang Fir’awn dan para pengikutnya ini wajib menjadi pedoman kepada kita agar tidak membuta tuli mengikut mana-mana ketua yang bakal menarik kuat kita bersama mereka ke dalam neraka kelak. Jadilah manusia yang bijak dengan memilih pemimpin yang betul agar kita bahagia di dunia dan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...