Saturday, December 26, 2015

CERITA JARI RETAK DAN KUASA DOA

CERITA JARI RETAK DAN KUASA DOA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Saya terkejut besar! Resah tak tertanggung apabila pihak sekolah menyatakan anak kedua saya Asma Sofiah mengalami kemalangan kecil semasa bermain netball di sekolah. Tanpa tunggu saya terus bergegas ke sekolahnya. Tiada apa yang paling saya takut melainkan sebarang petaka menimpa anak-anak.

Akibat dari kemalangan kecil itu, jari tengah tangan kirinya “retak” dihentam bola. Selepas itu, 2 minggu lamanya tangan kiri Asma Sofiah terpaksa dibalut kemas. Selepas beberapa ketika, baru saya sedar kemalangan yang menimpa anak kedua saya ini berkait rapat dengan doa. Bagaimana?

Biasanya saya yang menghantar anak-anak ke sekolah setiap pagi. Format wajib bagi saya dengan anak-anak ketika dalam perjalanan ke sekolah adalah mengingatkan mereka agar membaca doa penghindar musibah yang diajar oleh Rasulullah SAW setiap pagi:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Pada hari kejadian saya tidak menghantar anak-anak ke sekolah kerana perlu berpagi ke Hospital Selayang untuk temujanji kesihatan. Pagi itu isteri saya menghantar mereka. Format isteri saya sedikit berbeza, dia biasa mengisi waktu perjalanan pergi ke sekolah dengan nasihat ibu anak. Pagi itu Asma Sofiah tidak membaca doa yang biasa dibacanya kerana saya tiada bersamanya untuk menekan butang penggera harian. Masya Allah! Sungguh besar impak sebuah doa.

Pun begitu, saya kira Allah masih menjaga anak-anak saya kerana saya sendiri mewajibkan doa keselamatan untuk kami sekeluarga setiap pagi. Kunci doa keselamatan saya untuk keluarga tersirat pada patah akhir ayat Kursi. “SAYA BERMOHON, JIKA ALLAH MAMPU MENJAGA SELUAS ALAM SEMESTA, MAKA SANGAT REMEH UNTUK ALLAH MENJAGA SAYA, ISTERI, KELUARGA, IBU, SAUDARA MARA DAN SELURUH UMAT MANUSIA”:

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). “LUASNYA KURSI ALLAH (ILMUNYA DAN KEKUASAANNYA) MELIPUTI LANGIT DAN BUMI; DAN TIADALAH MENJADI KEBERATAN KEPADA ALLAH MENJAGA SERTA MEMELIHARA KEDUANYA.” Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (al-Baqarah [2:255]).

Seolah doa kami semua ada 2 lapis, selapis dibaca sendiri oleh anak-anak, manakala selapis lagi doa saya untuk mereka. Saya percaya jika kami berdua saling berdoa seperti biasa pagi itu, takdir yang ditulis Allah semuanya selamat. Tiada yang patah atau retak. Jika kami berdua langsung tidak berdoa, tangan Asma Sofiah barangkali ditulis patah dalam kemalangan kecil itu. Walaupun Asma Sofiah lupa membaca doa keselamatan untuk dirinya pagi itu, takdir patah diringankan menjadi retak kerana rutin doa peribadi saya untuk keselamatan anak-anak setiap hari. Doa ibu bapa yang tulus mencintai anak-anak memang senang dimakbulkan Allah. Bukan saya kata, tetapi ia sabda Rasul junjungan:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Ertinya: 3 jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), “IAITU DOA (IBU) BAPA KEPADA ANAKNYA (SAMA ADA DOA YANG BAIK ATAU BURUK)”, doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi (Sunan Abu Dawud).

Kesimpulannya, jangan dipandang enteng doa. Tambahan pula doa yang dibuat secara konsisten. Sebut saja doa secara konsisten, saya teringat rahsia penerimaan doa nabi Yunus AS semasa ditelan oleh ikan paus. Rahsia penerimaan doa baginda direkodkan al-Quran:

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (144)

Ertinya: Maka kalaulah dia (Yunus AS) bukan dari orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan doa, zikir dan tasbih), Tentulah dia akan tinggal dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur (al-Saffat [37:143-144]).

Rupanya doa nabi Yunus AS semasa kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah kerana baginda selalu berdoa dan beramal soleh kepada Allah semasa baginda senang (Tafsir Ibn Kathir).

Murnikan cinta kita semua kepada anak-anak dengan memohon agar Allah senantiasa menjaga mereka di dunia dan di akhirat. Siapa lagi yang lebih mampu menjaga keselamatan mereka selain Allah?

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...