Tuesday, December 1, 2015

CARA MENGENANG JASA BAPA MANUSIA MODEN YANG KEDUA

CARA MENGENANG JASA BAPA MANUSIA MODEN YANG KEDUA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis  (al-Saffat [37:77-79]) pada  19 November 2015. Antara isunya adalah zuriat manusia moden dikatakan semuanya berasal dari nabi Nuh AS.

Jasa Datuk kita yang kedua, nabi Nuh AS wajib dikenang. Bagaimana mengenang baginda? Dengan membina tugu peringatan? Menamakan jalan raya utama di negara umat Islam dengan nama nabi baginda? Menamakan anak umat Islam dengan nama baginda? Memperkenalkan baginda sebagai “CHEF ASAL RESIPI” bubur Asyura? Memperkenalkan baginda sebagai nabi pertama yang menemui kayu kokka yang ajaib untuk dijadikan bahan utama bahteranya?

Jangan buat tugu peringatan kerana ia dibenci baginda! Bahkan tujuan utama pengutusan baginda adalah membersihkan penyembahan berhala yang berasal dari 5 tugu peringatan orang sebelum baginda. Pada asalnya Wad, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasra adalah 5 sosok orang soleh yang ditugukan demi mengenang jasa mereka (Tafsir al-Tabari). Tugu mereka kemudiannya menjadi 5 berhala utama zaman sebelum baginda:

قَالَ نُوحٌ رَبِّ إِنَّهُمْ عَصَوْنِي وَاتَّبَعُوا مَنْ لَمْ يَزِدْهُ مَالُهُ وَوَلَدُهُ إِلَّا خَسَارًا (21) وَمَكَرُوا مَكْرًا كُبَّارًا (22) وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آَلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا (23)

Ertinya: Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak). "Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku). "Dan (ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr (Nuh [71:21-23]).

Perlu ditegaskan, bukan tugu, bukan nama jalan atau nama anak, bukan chef pemilik resipi bubur lagenda dan bukan juga cerita karut kayu kokka yang perlu diketengahkan untuk mengenang jasa nabi Nuh AS. Sebaliknya kenanglah baginda sebagai nabi yang memperjuangkan Tawhid:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?" (al-Mu’minun [23:23]).

Malang sungguh nasib umat Islam jika terpesong memahami inipati perjuangan dengan benda remeh seperti jenis kayu bahtera nabi Nuh yang ajaib lagi khurafat atau bubur lagenda sehingga lupa perjuangan Tawhid baginda yang bukan sekejap, tetapi mencecah 950 tahun:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama 950 tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka) (al-‘Ankabut [29:14]).

Jasa kedua baginda yang wajib dikenang adalah jasa menyelamatkan zuriat manusia dari bencana banjir. Tanpa usaha baginda itu, manusia pastinya sudah lama pupus ditelan banjir. Sebahagian ulama’ mengatakan generasi kedua umat manusia selepas zaman nabi Adam AS “HANYA” berasal dari 3 anak baginda iatu, Ham, Sam dan Yafith. Baki pengikut baginda yang bersama di atas kapal semuanya meninggal dunia tanpa meninggalkan zuriat. Ia difaham dari firman Allah:

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ (77) وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآَخِرِينَ (78) سَلَامٌ عَلَى نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ (79)

Ertinya: “DAN KAMI JADIKAN ZURIAT KETURUNANNYA (NABI NUH AS) SAHAJA ORANG-ORANG YANG TINGGAL HIDUP (SETELAH KAMI BINASAKAN KAUMNYA YANG INGKAR).” Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (al-Saffat [37:77-79]).

Ketika mengulas ayat ini para ulama menyebut zuriat berbagai bangsa manusia pada zaman seterusnya berasal dari 3 anak baginda. Sam bin Nuh adalah bapa kepada bangsa Arab, Farsi dan Rum. Yafith bin Nuh pula melahirkan bangsa Asia berkulit kuning seperti Ya’juj, Ma’juj dan sebagainya. Ham bin Nuh pula melahirkan bangsa kulit hitam (Tafsir Ibn Kathir). Allahu A’lam, hanya Allah yang paling mengetahui perkara ini.

Pun begitu, ada juga sebahagian ulama mengatakan zuriat manusia tidak hanya terbatas kepada 3 anak nabi Nuh itu sahaja, tetapi turut melibatkan para pengikut baginda yang berbaki di atas bahtera tersebut. Pendapat ini pula disandarkan pada umum ayat ini:

ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا

Ertinya: (Wahai) keturunan orang yang telah Kami bawa bersama dengan Nabi Nuh (dalam bahtera)! Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur (al-Isra’[17:3]).

Setelah kita tahu jasa baginda yang sangat besar ini, kita semua sebagai umat Islam wajib membalas jasa baginda dengan meneguhkan Tawhid dan HANYA bertuhankan Allah. Hindarilah segala syirik serta khurafat. Masuklah melalui pintu agama yang sebenar (iaitu kefahaman sebenar al-Quran dan al-Sunnah) dan bukannya melalui bumbung atau tingkap, barulah kisah para Rasul terdahulu mampu menjadikan kita semua hamba Allah yang sejati.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...