Tuesday, December 15, 2015

ALLAH PUJI ORANG MUDA

ALLAH PUJI ORANG MUDA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ulang siar tazkirah lama yang pernah disampaikan di Masjid Pusat Islam HUSM dalam program Tahfiz untuk anak-anak remaja staff HUSM (11 Dec 2014).

Orang muda banyak untung. Tambah beruntung jika usia muda mereka dimanafaatkan dengan bijak untuk ilmu dan taqwa. Sifat ini banyak dipuji Allah dalam al-Quran.

Kisah mereka diabadikan dalam al-Quran dan menjadi bacaan pujian yang kekal sampai kiamat. Sebutan kisah mereka bukan sekadar penghias dada lembaran al-Quran tetapi mengandungi tauladan yang wajib diikuti oleh semua anak muda.

Allah puji mereka dalam al-Quran dengan "LAFAZ - فتى - atau ORANG MUDA." Lihat pujian Allah kepada nabi Ibrahim AS dalam kisah pemusnahan berhala kaumnya:

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

Ertinya: (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang ANAK MUDA bernama Ibrahim, mencacinya (mencaci berhala kaum)" (al-Anbiya'[21:60]).

Juga pujian kepada murid Nabi Musa AS yang mengiringi baginda dalam pengembaraan mencari Khidir:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada ANAK MUDANYA   (muridnya yang disebut sebagai Yusyak bin Nun): "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun" (al-Kahfi [28:60]).

Orang muda perlu cerdik dan jangan jadi pak turut. Kisah nabi Ibrahim yang kritis, tidak mengikut kaumnya yang membabi buta menganut berbagai agama sangat bagus dijadikan tauladan bagi orang muda.

Hebatnya minda muda baginda, di kala kaumnya rencam menyembah bintang, bulan, matahari dan berhala (al-An'am [6:74-82]), hanya kerana ianya warisan nenek moyang, Nabi Ibrahim mampu berfikir dengan logik betapa semua sembahan kaumnya tidak layak dianggap TUHAN.

Sama juga cerdiknya 7 pemuda gua yang kritis mengkritik kaumnya yang menyembah berhala kaku:

هَٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً ۖ لَوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ ۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Ertinya: (Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang yang berdusta terhadap Allah (al-Kahfi [18:15]).

Dalam perang Badar kisah 2 remaja yang baru meniti usia baligh sangat mengujakan perasaan. Mereka berjasa besar membunuh Fir’awn zaman nabi Muhammad iaitu Abu Jahal.

Kisahnya ketika Abdul Rahman Ibn ‘Awf bersiap siaga pada saf hadapan menanti gendang perang dipalu, beliau disapa 2 remaja Ansar yang kelihatan sedang membuak-buak semangat juangnya:

يَا عَمِّ هَلْ تَعْرِفُ أَبَا جَهْلٍ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ وَمَا حَاجَتُكَ إِلَيْهِ يَا ابْنَ أَخِي قَالَ أُخْبِرْتُ أَنَّهُ يَسُبُّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَئِنْ رَأَيْتُهُ لَا يُفَارِقُ سَوَادِي سَوَادَهُ حَتَّى يَمُوتَ الْأَعْجَلُ مِنَّا

Ertinya: “Wahai Pak Cik, adakah Pak Cik kenal si Abu Jahal?” Abdul Rahman menjawab: “Ya! Mengapakah kamu bertanya tentang perihalnya?” Remaja itu menjawab: “Kami dengar dia selalu mencaci Rasulullah SAW, demi (Allah) yang jiwaku berada pada tanganNya, jika aku mendapatinya sudah pasti aku tidak akan melepaskannya sehinggalah dia mati terlebih dahulu daripada kami.”

Setelah perang tercetus, Abdul Rahman mengerling 2 remaja itu lalu menunjukkan kepada mereka berdua yang mana satu Abu Jahal. Memang nahas sedang menunggu si Abu Jahal seperti ayam yang sedang menunggu untuk dikeronyok oleh si tukang sembelih. Sejurus itu juga 2 remaja Ansar itu menerkam Abu Jahal dengan pantas lagi ganas seakan 2 helang menerkam si arnab yang terkapai-kapai mencari perlindungan.

Memalukan sekali nasib si Abu Jahal, dahulu di Mekah sombong mengutuk serta menindas Rasulullah SAW, tetapi siapa tahu bahawa takdir ajalnya diprogramkan Allah semenjak azali jatuh pada tangan 2 remaja beriman dari kabilah Ansar. 2 pahlawan muda itu adalah Mu’adh ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Mu’adh atau Mu’awwidh ibn ‘Afra’ (Sahih Muslim dalam Kitab al-Jihad Wa al-Siyar).

Dengan mata sayang kepada anak muda seperti peserta kem tahfiz anjuran Pusat Islam HUSM saya berpesan:

"Adik-adik sebagai anak muda perlu cerdik, bijak menilai. Jika kawan kita ajak merempit, merokok, berpakaian tak senonoh (bagi remaja perempuan), kita sebagai ANAK MUDA YANG CERDIK perlu contohi nabi Ibrahim dan 7 pemuda gua. Jangan dengan bodoh mengikut membabi buta."

"Kalau Adik-adik mahu jadi hebat di usia tua, rebutlah peluang yang SEKALI INI di usia muda."

Tokoh hebat seperti orang yang disebut di atas bukan muncul secara ajaib di usia tua, tetapi tumbuh dengan siraman ilmu dan baja iman di usia muda. Ayuh persiapkan anak muda kita agar mereka menjadi manusia hebat berjasa pada agama pada kemudian hari.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...