Thursday, October 22, 2015

SAYAP KAPAL TERBANG DAN SAYAP MALAIKAT

SAYAP KAPAL TERBANG DAN SAYAP MALAIKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

KLIA, Khamis 22 Oktober 2015, jam 2:45 petang.

Sampai akhirnya. Alhamdulillah! Ketika hampir mendarat mata saya terpaku kepada sayap pesawat SV 828. Hebat sekali otak manusia yang mampu mencipta kapal terbang yang mampu digerakkan dengan struktur fizikalnya yang unik. Pergerakan sejauh ribuan batu dikawal hanya dengan beberapa enjin dan 2 sayap. Lalu hati teringat kehebatan makhluk Allah yang jauh lebih banyak sayapnya iaitu para malaikat.

Anda pernah melihat malaikat? Anda percaya malaikat? Ya! Sudah pasti! Ia adalah salah satu rukun iman. Walau tidak kelihatan di mata, malaikat senantiasa dekat di hati manusia. Manusia kufur sejahat Fir’awn pun percaya wujudnya malaikat:

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

Ertinya: (Firawn berkata lagi)"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang MALAIKAT bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?" (al-Zukhruf[43:53]).

Bukan setakat itu, watak adiwira pembela manusia tertindas pun dikhayalkan sehebat malaikat. Mampu terbang, bergerak sepantas kilat dan melakukan yang mustahil. Dalam bicara al-Quran, malaikat adalah duta Allah kepada manusia:

الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, YANG MENJADIKAN MALAIKAT UTUSAN-UTUSAN YANG BERSAYAP: DUA, TIGA DAN EMPAT; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (Fatir [35:1]).

Rupanya malaikat juga dipanggil “RASUL” atau “UTUSAN ALLAH” dengan berbagai jawatan dan porfolionya:

اللَّهُ يَصْطَفِي مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ

Ertinya: Allah MEMILIH UTUSAN-UTUSANNYA DARI MALAIKAT DAN DARI MANUSIA; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (al-Hajj[22:75]).

Antara jawatan tetap “kerasulan” mereka adalah pencatat rekod amalan dan mengambil nyawa;

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Ertinya: Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; DAN IA MENGUTUSKAN KEPADA KAMU PENGAWAL-PENGAWAL (MALAIKAT YANG MENJAGA DAN MENULIS SEGALA YANG KAMU LAKUKAN), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, LALU DIAMBIL (NYAWANYA) OLEH UTUSAN-UTUSAN KAMI (MALAIKAT); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya) (al-An’am [6:61]).

Ayat surah Fatir di atas menyebut antara “spesifikasi utama” para malaikat adalah bersayap dan sayap mereka pula berbeza mengikut kehendak Allah. Samalah seperti dunia manusia, engin berbeza membawa kapasti dan kemampuan berbeza pada pesawat ciptaan manusia. Jibril AS diiktiraf antara malaikat terkuat yang sangat bijaksana:

عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6)

Ertinya: wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (MALAIKAT JIBRIL) YANG AMAT KUAT GAGAH, LAGI YANG MEMPUNYAI KEBIJAKSANAAN; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, (al-Najm[53:5-6]).

Kekuatannya pula ditambah pada sayapnya yang bukan 2, 3 atau 4 tetapi mencecah 600 buah sayap. Antara 2 sayapnya seluas timur dan barat (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Tambah menarik, para ulama Tafsir memanjangkan maksud firman Allah -  يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ  - “DIA MENAMBAH PADA BENTUK KEJADIAN MAKHLUK YANG DICIPTAKANNYA APA JUA YANG DIKEHENDAKINYA” kepada perbezaan bentuk rupa fizikal dan sifat manusia. Ada manusia yang cantik, tinggi, cerdik luar biasa, bersuara merdu dan sebagainya.

Segala kepelbagaian ini jelas menunjukkan Allah adalah Tuhan sebenar alam semesta yang mampu mencipta dalam berbagai rupa bentuk. Selepas ini jika anda berasa kagum dengan kehebatan malaikat, keindahan alam atau kehebatan manusia, segeralah ingat bahawa mereka semua “HANYALAH PANTULAN KEHEBATAN ALLAH DI ALAM INI.” Janganlah kita terpedaya pada kanvas sebaliknya kagumilah PENCIPTA atau PELUKIS kanvas tersebut.

Semoga musafir haji kali ini memberi pengajaran yang penting untuk hidup kita semua. Ya Allah, terimalah ibadah haji kami ini sebagai "Haji yang Mabrur" dan mengubah kami menjadi hambaMu yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan sehingga akhir hayat kami.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...