Friday, October 9, 2015

PAHALA MUDAH DENGAN MEMBERI AIR

PAHALA MUDAH DENGAN MEMBERI AIR.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

8 Oktober 2015 di Hadapan Kaabah,  Masjidil Haram, Mekah.

Kagum saya melihat kegigihan seorang remaja Arab ini. Ketika hampir Isyak beliau bergerak berulang alik di hadapan Ka'abah membawa sejumlah cawan plastik dan sebuah bekas air besar lalu diagihkan kepada para jemaah. Khidmat yang mudah seperti ini adalah penyebab pahala yang mudah dan salah satu latihan akhlak mulia yang sangat bagus.

Akhlak adalah buah dan haruman bunga dari pokok Islam. Buah dan bunga dari sebatang pokok ada yang tumbuhnya meliar dan ada yang muncul hasil daripada belaian petani. Petani yang cakna hasil tanamannya, akan senantiasa membelai pokok dengan baja serta siraman yang baik demi mendapat buah dan bunga yang baik. Begitulah perumpamaan bagi akhlak yang mulia. Ia perlu dilatih dan dibelai.

Walau nampak mudah dan remeh pada sesetengah pihak, memberi minum air kepada orang atau makhluk Allah mempunyai nilai yang sangat tinggi pada Allah. Lihat sabda Rasulullah SAW ini:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ ، وَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ ، فَقَالَ : لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبُ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلَ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي ، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقَى فَسَقَى الْكَلْبَ ، فَشَكَرَ اللَّهَ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ " . قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ لأَجْرًا ؟ قَالَ : " فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Ertinya: Ketika seorang lelaki berjalan pada sebuah jalan dia berasa sangat dahaga. Dia menemui sebuah perigi lalu turun ke dalamnya dan minum. Setelah keluar dari perigi itu dia mendapati ada seekor anjing sedang terjelir sambil memakan tanah basah kerana dahaga yang amat sangat. Lelaki itu berkata anjing itu berasa terlalu dahaga seperti apa yang pernah aku rasai. Dia pun turun ke dalam perigi, mengisi kasutnya dengan air lalu menggigit (kasut itu) dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas dan "MEMBERI MINUM" (air itu) kepada si anjing. Allah memuji lelaki itu (kepada para malaikat) dan mengampunkan dosanya. Para sahabat lalu bertanya: "Wahai Rasulullah adakah pada binatang pun ada peluang bagi kami mendapat pahala?" Rasulullah menjawab: "(Kebaikan) kepada setiap makhluk yang mempunyai hati yang basah (setiap makhluk hidup) memiliki ganjaran (pahala)" (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW juga mengulang sebut kelebihan memberi minum kepada sahabatnya Sa'ad bin 'Ubadah:

عن سعد بن عبادة قال: قلت: يا رسول الله إن أمي ماتت، أفأتصدق عنها؟ قال: نعم، قلت: فأي الصدقة أفضل؟ قال: سقي الماء.

Ertinya: Sa'ad bin 'Ubadah menceritakan, aku berkata: "Wahai Rasulullah! Ibuku sudah meninggal dunia, bolehkah aku bersedekah bagi pihaknya?: Baginda menjawab: "Ya (boleh)." Aku bertanya lagi: "Sedekah apakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Memberi (orang) minum air" (Musnad Ahmad).

Rupanya berbuat baik dengan memberi air minuman ini pernah ditunjukkan oleh nabi Musa AS. Kisahnya setelah diburu bangsa Fir'awn, Musa lari sehelai sepinggang membelah padang pasir ke negeri Madyan. Perjalanannya yang lama tanpa bekal makan dan minum sangat mencabar. Apabila sampai ke Madyan, kebajikan pertama yang baginda lakukan adalah "memberi minum" kepada ternakan 2 gadis walaupun baginda sendiri sangat letih, haus dan kelaparan:

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Ertinya: Ketika dia (Musa AS) sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak mereka), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing mereka (berdua). Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak boleh memberi minum (kambing kami) sehingga pengembala itu membawa balik binatang ternak mereka; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maka Musa pun memberi minum kepada binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas [28:23-24]).

Abdullah Ibn 'Abbas pernah ditanya apakah amal kebajikan paling utama dilakukan? Beliau menjawab: "Memberi air (minuman) kepada orang. Mengapa? Tidakkah kamu membaca bagaimana ahli neraka pun mengharapkan curahan air dari ahli syurga" (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Qurtubi). Kata-kata beliau itu dipetik dari firman Allah:

وَنَادَىٰ أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ ۚ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ

Ertinya; (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka (ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya kepada orang kafir" (al-A'raf [7:50]).

Saya dan anda semua mungkin sudah tahu kelebihan memberikan air (minuman) kepada orang, namun hati masih bakhil untuk memaksa tubuh melaksanakan amalan ini. Sungguh, tindakan remaja Arab ini membuka mata hati saya.

Budaya Melayu yang biasa menghidangkan air kepada tetamu rupanya suatu amalan terpuji yang disaran Islam. Selepas ini jika tetamu mengelak dari menerima walau seteguk air dari kita, sebutlah: "Saya mahu pahala ini kerana ia adalah Sunnah Rasulullah SAW." Cuma pastikan air yang mahu dihidang tidak pula membawa musibah penyakit kepada tetamu anda dengan gula berlebihan. Selamat beramal!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...