Monday, October 12, 2015

KEBANGSAAN MENJADI LEBUR DI TANAH SUCI MEKAH

KEBANGSAAN MENJADI LEBUR DI TANAH SUCI MEKAH.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

10 Oktober 2015 di hadapan Ka'abah, Masjidil Haram, Mekah.

Sedang kami bersiap menyusun saf berhampiran Ka'abah untuk solat Isyak, saya disapa seorang lelaki Cina yang tidak sempurna fizikalnya. Ibrahim namanya. Dia hanya memiliki sebelah tangan yang turut kurang sempurna jarinya. Walaupun kurang fizikalnya,  pada saya Ibrahim sangat istimewa kerana terpilih secara khusus sebagai tetamu Allah di sini dari jutaan insan seluruh dunia.

Tanpa malu dia meminta saya mengambil gambarnya berdiri di hadapan Ka'abah seolah Ka'abah yang usianya mencecah ribuan tahun itu menjadi saksi bahawa agama ini adalah agama yang "TIDAK BERWARNA DAN TIDAK BERBANGSA." Siapa sahaja boleh memilih agama ini dan lebih penting "SIAPA SAHAJA BOLEH DIJEMPUT MENCINTAI AGAMA INI."

Nun jauh di Malaysia isu bangsa atau rasis seakan tak pernah reda. Ada sahaja cubaan menyalakan api perkauman seolah ia mampu menjadi penyelesaian terbaik kepada isu yang dihadapi. Sedangkan ia seumpama mencurah minyak ke dalam api. Api tak kunjung padam, silap langkah yang mencurah minyak akan turut hangus disambar api. Tambah parah apabila kejahilan bangsa memalitkan lumpur fitnah kepada Islam. Lalu berkatalah bangsa lain "JANGAN MASUK AGAMA MELAYU, NANTI NAMA KELUARGA PUN WAJIB DITUKAR MENJADI MELAYU. NANTI AGAMA MELAYU MERAMPAS BUDAYA ASAL BANGSA KITA."

Bangsa, keturunan dan warna adalah takdir Allah yang tak mampu dicorak oleh manusia. Sepatutnya ia dilihat sebagai suatu "AYAT atau TANDA KEKUASAAN ALLAH" di alam ini:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

Ertinya: Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, "DAN PERBEZAAN BAHASA KAMU DAN WARNA KULIT KAMU." Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan (Al-Rum  [30:22]).

Ibadah haji mengandungi semangat kesatuan ummah tanpa warna yang sangat tinggi. Saya kira kisah Haji Malik Shabbaz atau Malcolm X yang asalnya sangat fanatik dengan perjuangan orang kulit hitam di Amerika perlu dijadikan contoh pedoman. Beliau yang asalnya sangat fanatik dengan perjuangan warna kaumnya langsung bercerai talak 3 dari fahamannya itu setelah pergi menunaikan haji.

Allah menjelaskan Muslim yang menunaikan Haji bakal melihat banyak manafaat rohani dan fizikal:

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya: "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin (al-Hajj [22:28]).

Salah satu manafaat terbesar adalah "ibadah haji menyerlahkan sifat Islam yang universal" lagi bebas warna dan bangsa. Tanpa pertemuan dalam ibadah haji, realisasi firman Allah ini sukar dilaksanakan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI JADIKAN KAMU BERBAGAI BANGSA DAN BERSUKU PUAK, SUPAYA KAMU SALING MENGENAL (DAN BERAMAH MESRA ANTARA SATU SAMA LAIN). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (Al-Hujurat  [49:13]).

"Orang Melayu Islam" di Malaysia yang masih terkurung dalam penjara minda rasisme perlu "dihajikan" secara hakiki dalam semangat keluasan Islam. Islam adalah agama semua dan bukan hanya milik ekslusif sesuatu bangsa sahaja. Tidak cukup  hanya berdaftar dengan Tabung Haji dan menunggu giliran kouta hajinya tiba. Jika pejuang ultra bangsa itu sudah bergelar haji, mereka perlu dipanggil kembali oleh Tabung Haji untuk disuntik semula dengan "ubat dakwah dan universaliti Islam."

Pejuang rasis di Malaysia perlu menukar kaca mata "bangsa" kepada kaca mata "dakwah." Jangan hanya mahu bangsa kita sahaja  berada dalam syurga kelak kerana Islam adalah milik semua. Ajaklah sekali bangsa lain di Malaysia menghuni syurga dengan kenderaan dakwah. Contohilah Rasulullah SAW. Isterinya Safiyyah binti Huyayy berbangsa Yahudi, Bilal si muazzin berbangsa Habsyah, Zayd bin Harithah anak angkatnya berkulit hitam, Suhayb pula berbangsa Romawi, Salman pula berbangsa Farsi.

Rasulullah SAW juga menegaskan:

يا أيها الناس ألا  إن ربكم واحد وإن أباكم واحد ألا لا فضل لعربي على أعجمي ولا  لعجمي على عربي ولا لأحمر على أسود ولا أسود على أحمر إلا بالتقوى.

Ertinya: Wahai sekelian manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu itu satu, dan bapa kamu (Adam) pun satu. Ketahuilah bahawa tiada apa kelebihan bagi orang Arab berbanding dengan bukan Arab, tidak juga (ada kelebihan) pada orang berkulit merah berbanding orang berkulit hitam dan tidak juga  (ada kelebihan) pada orang berkulit hitam berbanding orang berkulit merah melainkan dengan (sifat) taqwa (Musnad Ahmad).

Mungkin yang berbangsa Melayu Islam berkata bangsa lain yang kafir tidak tahu diuntung, tidak kenal siapa tuan tanah dan pantang lepa ada sahaja bangsa Melayu menjadi mangsa penipuan mereka. Insya Allah semua masalah itu boleh diselesaikan dengan Islam. Sejauh mana sudah kita memperkenalkan Islam kepada mereka? Parahnya, Islam menjadi huduh kerana kelemahan dan kejahilan kita.

Oleh itu, langkah permulaan yang boleh diambil adalah dengan mengubah label panggilan kita kepada mereka. Mereka bukan orang kafir atau orang bukan Islam, tetapi mereka masih "BELUM ISLAM." Apabila mereka belum menerima Islam, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membawa mereka kepada Islam. Ubahlah cara kita,  usahlah fanatik dengan bangsa kerana tiket kita ke syurga kelak adalah ISLAM YANG TIDAK BERBANGSA.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...