Sunday, October 4, 2015

ISTIQAMAH SELEPAS HAJI

ISTIQAMAH SELEPAS HAJI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Catatan 2 Oktober 2015 (4.20 pagi) di hadapan Ka'abah. Petikan dari Tazkirah "Istiqamah  selepas Haji" oleh Tuan Guru Dr. Abdul Basit pada 30 September 2015.

Ringan pada lidah tapi berat pada perlaksanan dan rindakan. Itulah penangan istiqamah atau konsisten dalam kebaikan, lebih-lebih lagi selepas pulang dari haji. Walaupun sukar ia tetap menjadi kewajipan bersesuaian dengan firman Allah:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud [11:112]).

Sukar memang sukar, namun ia mampu dilakukan kerana Allah tidak menyuruh sesuatu yang  mustahil.

Istiqamah paling utama selepas haji adalah Istiqamah dalam Tawhid. Lihat pesanan baginda SAW kepada sepupunya Abdullah bin 'Abbas yang masih kecil ini:

يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

Ertinya: Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan menjagamu. Jagalah hak Allah, pastinya Allah akan membantumu. Jika engkau mahu meminta sesuatu maka mintalah dari Allah.  Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan darinya. Percayalah bahawa jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manafaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali)  memberikanmu manafaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudharatkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali)  memudharatkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Pena taqdir sudah diangkat dan kertas taqdirmu juga sudah kering! (Taqdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah) (Sunan al-Tirmidhi).

Syiar Talbiah dalam Haji terkandung padanya prinsip Tawhid. Muslim sanggup berhabis harta, tenaga dan masa hanya kerana menyahut seruan Allah. "Hanya kerana Allah! Tidak yang lain!"  Inilah prinsip Tawhid dalam ibadah haji.

Tawhid dalam haji bukan pemula hidup muslim tetapi suatu "PEMUGARAN SEMULA" seumpama pokok yang  dibugarkan dengan siraman air. Penanaman Tawhid sudah bermula seawal kelahiran manusia ketika mereka diazan dengan Kalimah Tawhid. Apabila usia mencecah 7 tahun, seorang anak diajar solat kerana dalam solat juga terkandung intisari Tawhid.

Selepas pulang haji, apa tandanya cahaya Tawhid mulai meresap masuk ke dalam diri? Dr Abdul Basit menyebut ia berkait dengan hati. Hati yang soleh dan mengenal Tawhid berasa tenang dengan Islam, manakala hati yang berkarat berasa sempit apabila mendengar perkataan Islam. Ayat ini menjadi indikator terbaik:

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman (Al-An'am  [6:125]).

Tuan Guru Dr Abdul Basit mencadangkan beberapa panduan yang perlu dikat erat pada hati semua jemaah pakej haji ASH-HAR travel demi menjaga Istiqamah (konsisten dalam kesolehan) selepas Haji sehingga kita dijemput Allah:

1) Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi segala lubang syirik kerana syirik adalah "KEZALIMAN TERBESAR::

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, JANGANLAH ENGKAU MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), SESUNGGUHNYA PERBUATAN SYIRIK ITU ADALAH SATU KEZALIMAN YANG BESAR" (Luqman [31:13]).

2) Menjaga solat 5 waktu (merangkumi solat sunat rawatib 12 rakaat setiap hari bersama zikir pagi dan petang) dan jangan berlagak seperti "lembu kenyang" yang buta hati tidak mempedulikan seruan azan.

3) Melazimi pakaian taqwa yang berbentuk zahir (tidak ketat menyeksa dan tidak nipis menggoda), juga pakaian taqwa berbentuk batin (akhlak mulia).  Bagi merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar tidak lulus syariah dalam media sosial  "WAJIB SEGERA DIHENTI DAN DIPADAMKAN."

Dr Abdul Basit menegaskan "MEDIA SOSIAL YANG SENANG MENELANJANGKAN" umat Islam adalah fitnah terbesar akhir zaman yang disebut sebagai  "FITNAH AL-DUHAYMA' iaitu fitnah yang "menampar semua manusia tanpa kecuali" sehingga sudah tidak dapat dibezakan antara seorang mukmin dan munafik (Sunan Abu Dawud, Musnad Ahmad dan Mustadrak al-Hakim).


4) Berdamping dengan al-Quran seumur hidup kerana ia adalah tali penghubung antara kita dengan Allah dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi penolong setia kita di akhirat kelak:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Ertinya: Bacalah (fahami, hayati dan praktikkan) al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pembantu kepada pembacanya  (Sahih Muslim).

5) Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu. Pencarian ilmu pada zaman moden semakin mudah. Alasan malas atau tidak sempat sudah tidak relevan kerana ilmu boleh diakses di mana sahaja. Tampaknya semakin tinggi teknologi maka semakin tinggi hujah untuk Allah menyalahkan kemalasan kita di akhirat kelak. Pun begitu, majlis ilmu rasmi di surau masjid tetap perlu dihadiri bagi mendapat siraman 4 rahmat Allah sebagaimana hadith ini:

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلا حَفَّتْهُمُ الْمَلائِكَةُ , وَتَنَزَّلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَتَغَشَّتْهُمُ الرَّحْمَةُ , وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Ertinya: Tiadalah sesuatu kaum itu berkumpul bagi mengingati Allah  (menghadiri majlis ilmu) melainkan mereka (akan memperoleh 4 kelebihan, iaitu) (1) akan dinaungi para malaikat, (2) ketenangan akan turun kepada mereka, (3) rahmat akan melitupi mereka dan (4) Allah akan menyebut nama mereka dalam kumpulan orang yang dekat kepadaNya (Sahih Muslim).

7) Menjaga halal haram dalam muamalat. Hindari riba sejauh mungkin kerana ia antara wasiat utama khutbah wada' Rasulullah SAW (Sirah Ibn Hisyam). Berterusan dalam sistem riba seumpama mengisytiharkan "PERANG DENGAN ALLAH DAN RASULULLAH":

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa (al-Baqarah [2:279]).

8) Bersahabat dengan orang soleh terutama sekali kaki masjid dan surau kerana mereka "bersahabat dengan para malaikat" sebagaimana  pujian Rasulullah SAW:

إن للمساجد أوتادا هم أوتادها ، لهم جلساء من الملائكة ، فإن غابوا سألوا عنهم ، وإن كانوا مرضى عادوهم ، وإن كانوا في حاجة أعانوهم .

Ertinya: Sesungguhnya bagi masjid itu ada "tiang serinya", mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka (Mustadrak al-Hakim).

Kaki surau masjid boleh menjadi "radar pengesan dan pemberi peringatan" jika kita terlupa mengimarahkan rumah Allah.

9 ) Senantiasa berdoa dengan doa anjuran Rasulullah agar ditetapkan hati atas iman dan amal soleh:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Ertinya: (Ya Allah) Yang Berkuasa membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agamaMu  (Sunan al-Tirmidhi).

Juga firman Allah:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Ertinya: (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya (Ali 'Imran [3:8]).

Juga doa saranan Rasulullah SAW:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ

Ertinya: Ya Allah aku mohon perlindungan dari belot (terpesong) sesudah mendapat petunjuk  (Sunan al-Nasa'i).

Di akhir tazkirah Dr Abdul Basit menyimpulkan makna Haji Mabrur dengan katanya:

"Selepas pulang kita jangan mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap manusia yang terdedah kepada salah dan silap. Maksud mendapat Haji Mabrur adalah kita senantiasa cenderung ke arah kebaikan dan semakin menjauhi dosa dan maksiat. Jika berasa lesu dari kebaikan, carilah ustaz atau teman yang boleh "MEMUGARKAN KESOLEHAN" dalam diri sebagaimana kebiasaan para sahabat Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu:

اجْلِسْ بِنَا نُؤْمِنْ سَاعَةً

Ertinya: Duduklah bersama kami seketika untuk menambah iman (dengan sedikit peringatan agama) (Imam al-Bukhari menyebutnya tanpa sanad dalam Sahih al-Bukhari dan disebut juga dalam Musannaf Ibn Abi Syaybah).

Semoga perkongsian ini menjadi peringatan kepada kita semua untuk kekal ISTIQAMAH sehingga mati selepas pulang dari menunaikan haji.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...