Saturday, October 3, 2015

EXPEDISI GUA HIRA: BUKIT DAN WAHYU

EKSPEDISI GUA HIRA': BUKIT DAN WAHYU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

1 Oktober 2015 @ Kaki gua Hira' bukit Nur, Mekah.

"Tidak seorang pun sahabat Rasulullah SAW menziarahi Gua Hira' atau mana tempat pun di sekitar Mekah."

Tampak tegas sekali notis yang terpampang di kaki bukit Nur yang menempatkan di atas puncaknya Gua Hira' tempat kali pertama wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW. Notis itu tidak lain ingin membendung perbuatan sesetengah pihak yang menganggap pendakian ke Gua Hira'sebagai ibadah.

Saya mendaki bukan kerana ingin bersolat dalam gua tersebut tetapi demi mencari sedikit pengajaran di sebalik tempat bersejarah ini. Ustaz Ahmad Husni yang membimbing kami dalam pendakian membuka celotehnya selepas kami turun dengan "IPED" atau "Ibrah  (pengajaran) Pendek."

Menurutnya perumpamaan  bukit pernah digunakan oleh Rasulullah SAW ketika mengajar para sahabat, antaranya:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ . قِيلَ : وَمَا الْقِيرَاطَانِ ؟ قَالَ : مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Ertinya: Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga mendirikan solat, maka baginya pahala satu "Qirat", sesiapa yang menyaksikannya sehingga dikebumikan maka baginya pahala sebanyak "2 Qirat." Lalu ditanyakan apakah 2 Qirat itu? Rasulullah menjawab: Ia seperti 2 buah "BUKIT" yang besar (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadith lain Rasulullah SAW menyebut:

إن المؤمن يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبل يخاف أن يقع عليه وإن الفاجر يرى ذنوبه كذباب مر على أنفه

Ertinya: Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah "BUKIT" yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya  (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Tirmdhi).

Bukan setakat Rasulullah SAW, nabi Musa AS juga menerima wahyu Tawrat di atas Gunung Tur Sinai. Ia dijelaskan al-Quran:

وَمَا كُنْتَ بِجَانِبِ الطُّورِ إِذْ نَادَيْنَا وَلَٰكِنْ رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Ertinya: Engkau (wahai Muhammad) juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran (serta insaf mematuhinya) (al-Qasas [28:46]).

Juga firman Allah:

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنْظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَنْ تَرَانِي وَلَٰكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)(al-A'raf [7:143]).

Secara strateginya, Rasulullah SAW memilih Gua Hira' kerana ia adalah lokasi strategik. Dari kemuncaknya kita dapat melihat Ka'abah dan Mekah dengan terang. Walau baginda mengasingkan diri, mata dan jiwa baginda senantiasa memerhati keadaan Mekah dari jauh. Sikap cakna masyarakat sebegini wajar dicontohi oleh umat baginda walau di mana pun kita berada.

Soalan yang dibangkitkan Ustaz Husni ketika memberi "IPED" memang menarik.

"Mengapa mesti nabi Musa AS dan Rasulullah SAW mendaki ke tempat tinggi untuk menerima wahyu?"

"Mengapa wahyu pertama kepada baginda SAW dimulakan dengan arahan "BACA" nun di atas bukit yang tinggi?"

"Apa pula yang mahu dibaca sedang al-Quran belum pun sempurna penurunannya?"

Pemilihan tanah tinggi sebagai tempat mula wahyu secara signifikannya menunjukkan wahyu itu "TINGGI" sifatnya.  Bukan boleh diabaikan begitu sahaja. Mengabaikan arahan dari "KUASA YANG TINGGI" bakal mengundang padah di dunia dan akhirat.

Mendaki ke bukit atau gunung juga bukan kerja mudah. Banyak keringat dan tenaga diperlukan. Seakan Allah mahu mengajar kita, jika mahu menegakkan  agama Allah sudah pasti memerlukan keringat, tenaga, pengorbanan dan keazaman yang tinggi.

Setelah sampai ke kemuncak kita tidak akan kekal di atas sana. Kesudahannya kita akan turun juga ke bawah. Itu signifikan lain walau sehebat mana sekalipun seorang manusia, akhirnya dia terpaksa tunduk  merendah diri di hadapan Allah.

Arahan "BACA" kepada Rasulullah di tempat yang tinggi seakan mengajar umat baginda agar berfikiran tinggi dalam memilih bahan bacaan. Membaca ilmu yang tinggi bakal menjadikan umat Islam tinggi darjat iman dan tamadunnya.

Pada saya tazkirah pendek Ustaz Husni itu adalah pandangan hikmah beliau yang boleh diterima akal. Ia mengingatkan saya kepada beberapa ayat berkaitan amanah Islam dan al-Quran yang dibandingkan dengan gunung atau bukit:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Ertinya: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta "GUNUNG-GANANG" (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (al-Ahzab [33:72]).

Juga firman Allah:

لَوْ أَنْزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas "SEBUAH GUNUNG, NESCAYA ENGKAU MELIHAT GUNUNG ITU KHUSYUK SERTA PECAH BELAH" kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya (al-Hasyr [59:21])

Semoga pendakian ke Gua Hira' dan tazkirah berkaitan bukit serta gunung  ini menjadi sebab untuk kita terus membuka hati "MENINGGIKAN" kalimah Allah  dan melihat betapa kerdilnya diri.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...