Wednesday, October 7, 2015

CONTOHILAH AHLI QURAN DARI ALGERIA INI JIKA MAHU HAFAZANMU MANTAP

CONTOHILAH AHLI QURAN DARI ALGERIA INI JIKA MAHU HAFAZANMU MANTAP

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

5 Oktober 2015 di Hadapan Ka'abah, Masjidil Haram, Mekah.

Orangnya kelihatan sangat biasa. Jubahnya lusuh, duduk pun tidak beralas sejadah. Cepatnya Allah makbulkan doa saya ketika meminum air zam-zam. Benar sekali sabda Rasulullah SAW itu:

مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ له

Ertinya: Air zam-zam itu (mengkabulkan apa sahaja hajat) pada apa orang yang meminumnya  (Musnad Ahmad dan Sunan Ibn Majah).

Lantas Allah meletakkan beliau duduk bersebelahan saya selepas maghrib untuk "mengajar" saya sesuatu, iaitu "JIKA KAMU MAHU BENAR-BENAR MEMANTAPKAN HAFAZANMU,  MAKA IKUTLAH JALAN LELAKI ALGERIA INI!"

Kami datang awal ke Masjidil Haram demi mendapat tempat yang strategik dan alhamdulillah saya dapat duduk betul-betul di hadapan Ka'abah. Ketika duduk sambil minum air zam-zam saya banyak berdoa kerana ia amalan para ulama'. Salah satu doanya:

"Ya Allah! Bantulah aku untuk berterusan menjaga hafazan al-Quranku ini sehingga akhir hayatku. Biarlah ayatnya yang berjumlah 6236 itu mengalir deras dalam darahku seperti lancarnya surah Al-Fatihah."

Sedang saya duduk membaca surah Taha, saya perasan ada seorang lelaki Arab di sebelah kanan saya yang asyik berzikir. Berbagai zikir dan selawat dibacanya. Kira-kira 30 minit sebelum masuk Isyak kedengaran beliau membaca al-Quran tanpa memegang Mushaf. Lancar dan laju sekali bacaan. Setelah diamati rupanya beliau sedang membaca surah Fatir dari juzuk 22.

Tanpa menunggu saya menegurnya. Ringkasnya beliau bernama Ahmad dari Algeria. Usianya sudah 50 tahun dan mulai menghafaz al-Quran semenjak kecil. Apa yang sangat menarik dan menjadi "TAMPARAN KERAS" ke hati saya yang pemalas ini  adalah jumlah ulangkaji al-Quran yang dibacanya setiap hari "5 JUZUK SEHARI."

Subhanallah! Kalau diandaikan beliau menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun, bermakna beliau sudah mengulangkaji al-Quran selama 40 tahun.
Jika 5 juzuk sehari didarab 365 hari setahun lantas dibahagi dengan 30 juzuk. Secara kasarnya beliau khatam al-Quran sebanyak 60 kali setahun. Selepas 40 tahun, beliau sudah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 2400 kali.

Astaghfirullah! Cuba bandingkan kiraan ini dengan kemalasan saya? Walaupun sudah hampir 22 bersama hafazan al-Quran, saya masih merangkak dengan segala kemalasan. Sungguh Ahmad tergolong dari manusia pilihan Allah yang disebut dalam ayat ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula "ADA YANG MENDAHULUI (ORANG LAIN) DALAM BERBUAT KEBAIKAN DENGAN IZIN ALLAH. YANG DEMIKIAN ITU IALAH LIMPAH KURNIA YANG BESAR (DARI ALLAH SEMATA-MATA)" (Fatir [35:32]).

Sebelum menunaikan Isyak saya minta Ahmad mendoakan saya kerana dia adalah ahli al-Quran yang sebenar. Saya percaya dia juga seorang lelaki yang soleh kerana "lidahnya jauh lebih banyak melagukan kalam Allah" berbanding saya. Meminta orang soleh mendoakan kita pengampunan (Allah) dan kesejahteraan hidup adalah Sunnah Rasulullah SAW.  Ia tergolong dalam bertawassul (menjadikan sesuatu sebagai perantara antara kita dan Allah) dengan orang soleh.

Contohnya Rasulullah SAW pernah berpesan kepada 'Umar bin al-Khattab RA agar meminta Uways bin 'Amir atau lebih dikenali sebagai Uways al-Qarni mendoakan pengampunan untuknya jika Umar terjumpa Uways (Sahih Muslim & Musnad Ahmad).

Anak nabi Ya'qub AS juga meminta baginda mendoakan pengampunan Allah untuk mereka sebagai pengukuhan taubat mereka setelah bertemu kembali dengan Yusuf AS di akhir kisah mereka:

قَالُوا يَا أَبَانَا اسْتَغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا إِنَّا كُنَّا خَاطِئِينَ

Ertinya: Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah" (Yusuf [12:97]).

Sedegil kaum Fir'awn pun mereka tetap meminta "berkat doa" nabi Musa AS setelah buntu dihujani azab bertimpa dari Allah kerana melawan nabi Musa AS:

وَقَالُوا يَا أَيُّهَ السَّاحِرُ ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِنْدَكَ إِنَّنَا لَمُهْتَدُونَ

Ertinya: (apabila bala bencana itu menimpa mereka), mereka merayu kepada Nabi Musa dengan berkata: "Wahai orang yang bijak pandai, pohonkanlah kepada Tuhanmu keselamatan untuk kami dengan (kemuliaan) pangkat Nabi yang diberikan kepadamu; sesungguhnya kami (sesudah itu) akan patuh beriman" (al-Zukhruf [43:49]).

Semoga pertemuan dan kisah yang saya kongsikan ini menjadi sumber inspirasi kepada diri saya dan semua orang yang sedang, sudah dan "PERNAH" menghafaz al-Quran di luar sana. Jika tak mampu mengulangkaji hafazan sebanyak 5 juzuk sehari atau lebih sekalipun, cubalah sedaya mampu bergelumang dengan ulang kaji al-Quran sepanjang masa kerana hafazan al-Quran itu seumpama unta yang liar:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti pemilik unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Ya Allah! Berikan kami kekuatan untuk membaca, menghafaz dan menjaga hafazan al-Quran kami sehingga akhir hayat kami.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...