Saturday, September 26, 2015

MENGHAFAZ DAN MEMEGANG GELAR AL-HAFIZ DATANG DENGAN TANGGUNG JAWAB SEUMUR HIDUP

MENGHAFAZ DAN MEMEGANG GELAR AL-HAFIZ DATANG DENGAN TANGGUNG JAWAB SEUMUR HIDUP.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

(20 Januari 2015).

Bergelar al-Hafiz atau pelajar Tahfiz memang "Gah". Gelar ini seakan "magnet" yang mampu menarik penghormatan manusia dan menarik rezeki kepada pemegangnya.

Akan tetapi ramai yang tidak sedar dan tidak tahu "cerita dalaman" seorang al-Hafiz atau pelajar Tahfiz. Cerita mereka sangat berliku sebenarnya.  Pilihan menghafaz al-Quran secara automatik mengubah laras kehidupan mereka sehingga mati.

Pernah suatu ketika tahun lepas, anak sulung saya yang menghafaz al-Quran di  Maahad Integrasi Tahfiz Turath Selangor (MITTS) kehilangan motivasi dek sukar dan banyaknya sukatan menghafaz. Ditambah pula tuntutan mengulang kaji hafazan yang semakin berganda saban hari.

Dalam telefon, suara Ahmad Mujtaba jelas keresahan. Beliau mengadu kehilangan motivasi dan berasa serba tak kena. Di kala "rasa putus asa" sebegini menyerang, pelajar Tahfiz yang kurang perkasa mentalnya akan mengalah dan meninggalkan alam tahfiz. Habislah riwayatnya sebagai pelajar tahfiz.

Selepas meminta izin dengan pengetua, saya memandu ke sekolahnya di Sabak Bernam dan mengisi kuliah maghrib dengan perkongsian pengalaman sebagai seorang abang  hafiz senior yang sudah hampir 21 tahun bergelumang dengan al-Quran.

Antara isi penting adalah:

Pesan saya kepada al-Hafiz dan AL-HABISS. ...

"Apabila sudah melangkah ke alam tahfiz....hidupmu sudah berubah. Engkau bukan lagi manusia biasa tetapi pemikul panji al-Quran sehingga akhir hayatmu."

"Kamu wajib selalu mengulang kaji hafazan.  Kamu terpilih menghafaz al-Quran adalah suatu ni'mat...tetapi TERPILIH UNTUK  KEKAL MENJAGA HAFAZAN SEHINGGA AKHIR HAYAT ADALAH NI'MAT YANG JAUH LEBIH BESAR. BAHKAN JIKA ANDA TERPILIH (HASIL USAHA KERAS ANDA), IA TETAP BUKAN MILIK ANDA KERANA ALLAH MAMPU MELAKUKAN APA SAHAJA..".

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada YANG  MENDAHULUI (ORANG LAIN) DALAM BERBUAT KEBAIKAN DENGAN IZIN ALLAH. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (Fatir [35:32]).

Selepas motivasi singkat itu, semangat mereka pulih. Rasa sebegini juga selalu saya rasa sepanjang 21 tahun bersama al-Quran. Apabila malas dan resah melanda, saya akan berdamping dan melihat kepada "kerajinan dan istiqamah" teman Hafiz yang jauh lebih berkualiti dari saya. Alhamdulillah, resipi ini memang berkesan melonjakkan kembali semangat untuk berdamping dengan al-Quran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...