Sunday, September 6, 2015

IBADAT NABI DAWUD AS YANG SELALU JADI CONTOH

IBADAT NABI DAWUD AS YANG SELALU JADI CONTOH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir (Saba’ [34:11 & 13]) pada  1 September 2015. Antara isunya adalah kelebihan ibadat nabi Dawud AS yang selalu mendapat pujian dan ikutan.

Pokok berdoa agar diterima ibadahnya seperti nabi Dawud AS? Aneh dan pelik bunyinya, namun itulah kisah mimpi seorang sahabat Rasulullah SAW:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَأَيْتُنِي اللَّيْلَةَ وَأَنَا نَائِمٌ كَأَنِّي أُصَلِّي خَلْفَ شَجَرَةٍ فَسَجَدْتُ فَسَجَدَتْ الشَّجَرَةُ لِسُجُودِي فَسَمِعْتُهَا وَهِيَ تَقُولُ اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ …..قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَقَرَأَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجْدَةً ثُمَّ سَجَدَ قَالَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَسَمِعْتُهُ وَهُوَ يَقُولُ مِثْلَ مَا أَخْبَرَهُ الرَّجُلُ عَنْ قَوْلِ الشَّجَرَةِ

Ertinya: Seorang lelaki (Abu Sa’id al-Khudri RA) datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku bermimpi seakan aku sedang bersolat di belakang sebuah pokok kemudian aku bersujud, lalu pokok tersebut turut bersujud dan aku mendengar pokok itu berdoa “Ya Allah! Tuliskanlah bagiku dengan sujud ini pahala di sisiMu, dan hapuskan bagiku dengan sujud ini satu kesalahan, dan jadikan sujudku ini simpanan ganjaran di sisiMu, “DAN TERIMALAH IBADAHKU INI SEBAGAIMANA ENGKAU MENERIMA IBADAH HAMBAMU DAWUD AS.” Ibn ‘Abbas kemudiannya menyebut: Apabila Rasulullah SAW membaca ayat yang mempunyai tanda sujud (tilawah), baginda akan bersujud dan membaca doa yang sama dibaca oleh pokok  tersebut (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Pada mata zahir kita, pokok adalah makhluk Allah yang beku dan tidak berjiwa. Lain pula kata Allah, pokok adalah antara makhlukNya yang sangat patuh dan senantiasa bersujud kepada Allah dalam bahasanya tersendiri:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, “DAN POKOK-POKOK KAYU”, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya (al-Hajj [22:18]).

Mengapa agaknya nama nabi Dawud AS menjadi sebutan doa si pokok dalam mimpi di atas? Pastinya ibadah baginda begitu istimewa sehingga mendapat pengiktirafan makhluk beku seperti si pokok. Rupanya ketekunan nabi Dawud AS dalam ibadat dipuji secara khusus oleh Allah:

وَلَقَدْ آَتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ (10) أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (11)

Ertinya: (Saba [34.10] Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!" Dan juga telah melembutkan besi baginya;  (Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; DAN KERJAKANLAH KAMU (WAHAI DAUD DAN UMATMU) AMAL-AMAL YANG SOLEH, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan".

Ia juga diiktiraf oleh Rasulullah SAW dalam banyak sabda baginda. Pengiktirafan ini tidak lain bertujuan menggalakkan umat baginda agar mencontohi nabi Dawud AS:

أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللَّهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ

Ertinya: Ibadah puasa yang paling disukai Allah adalah puasa nabi Dawud, baginda berpuasa seharu dan berbuka sehari. Dan solat yang paling disukai Allah juga adalah solat nabi Dawud, baginda tidur ½ malam kemudian bangun bersolat pada 1/3 malam dan tidur kembali pada 1/6 yang berbaki (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Bukan setakat kualiti ibadat, kehebatan "DOA" nabi Dawud AS turut dipuji oleh Rasulullah SAW:

كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ الْمَاءِ الْبَارِدِ قَالَ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ دَاوُدَ يُحَدِّثُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَعْبَدَ الْبَشَرِ

Ertinya: Antara doa nabi  Dawud adalah: “Ya Allah! Aku mohon cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu dan amalan yang boleh menyampaikan aku kepada cintaMu. Ya Allah! Jadikan cintaMu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan dari "AIR YANG SANGAT SEJUK." Abu Darda’ juga menyebut: “Setiap kali menyebut perihal nabi Dawud, Rasulullah SAW akan mengatakan bahawa baginda (nabi Dawud) adalah manusia yang paling kuat beribadat (pada zamannya) (Sunan al-Tirmidhi).

Tambah manis, ketekunan tersebut turut menjadi budaya rumah tangga baginda AS:

اعْمَلُوا آَلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Ertinya: (SETELAH ITU KAMI PERINTAHKAN): "BERAMALLAH KAMU WAHAI KELUARGA DAUD UNTUK BERSYUKUR!" DAN SEMEMANGNYA SEDIKIT SEKALI DI ANTARA HAMBA-HAMBAKU YANG BERSYUKUR (Saba’[34:13]).

Ketekunan dan kerajinan ibadat baginda AS dan keluarganya tidak lain bertujuan menjiwai rasa syukur atas segala ni’mat kurniaan Allah kepada mereka. Marilah kita sama-sama mencontohi dan merindui kerajinan ibadah yang dipamerkan oleh nabi Dawud AS dan ahli keluarganya. Siapa tahu cinta kita itu bakal menjadi sebab kita dikumpulkan bersama mereka di akhirat kelak:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ  أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَتَى السَّاعَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَعْدَدْتَ لَهَا قَالَ مَا أَعْدَدْتُ لَهَا مِنْ كَثِيرِ صَلَاةٍ وَلَا صَوْمٍ وَلَا صَدَقَةٍ وَلَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ قَالَ أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

Ertinya: Anas bin Malik menceritakan (pada suatu hari) seorang lelaki bertanya kepada baginda SAW bilakah tarikh berlakunya kiamat. Baginda menyoalnya: “Apakah yang engkau sediakan untuk menghadapinya?” Lelaki itu menjawab: “ Aku tidak bersedia untuknya dengan banyak melakukan solat, puasa atau sedekah, akan tetapi aku sangat sayangkan Allah dan RasulNya.” Baginda bersabda: “KALAU BEGITU, ENGKAU PASTI AKAN BERSAMA DENGAN SIAPA YANG ENGKAU CINTAI.” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...