Tuesday, August 25, 2015

RAHIB NASRANI -DALAM PUJI ADA AMARAN

RAHIB NASRANI – DALAM PUJI ADA AMARAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:82-88]) pada 20 Ogos 2015. Antara isunya adalah amaran Allah kepada orang beriman agar tidak terikut sepenuhnya dengan sikap melampau dalam aspek kerohanian Nasrani walau mereka dipuji Allah.

Dendam Yahudi dan Musyrikin pada zaman Rasulullah SAW bukan lagi membara tetapi menjulang apinya. Jika ada Muslim berdekatan, gelojak api kemarahan 2 golongan ini pasti menyambar ganas. Matlamat hidup mereka adalah memastikan Islam musnah bersama Rasulullah SAW tanpa nisan. Berbeza pula dengan penganut agama Nasrani. Mereka sangat lunak dan penyayang. Lihat sahaja, al-Najasyi si raja Habsyah, Heraclius maharaja Rom dan Muqawqis raja Qibti Mesir. Mereka sangat mesra Islam dan tidak menampakkan permusuhan ketika menerima seruan Islam. Sikap ini mendapat pujian Allah:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آَمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آَمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Ertinya: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong (al-Ma’idah [5:82]).

Antara sebab utama mengapa mereka ini memiliki jiwa yang halus lagi murni adalah kewujudan para pendeta dan rahib di kalangan mereka. Ia disebut Allah dalam ayat berikutnya dari surah al-Ma’idah (ayat 83-85). Allah juga memang memuji hati penganut agama Nasrani yang terisi penuh dengan lembah lembut, kasih sayang dan kehidupan secara rahib:

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آَثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآَتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآَتَيْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ

Ertinya: Kemudian Kami iringi sesudah - mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan “(PERBUATAN MEREKA BERIBADAT SECARA) "RAHBANIYYAH" - merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka (al-Hadid[57:27]).

Kehidupan secara rahib yang menolak dunia, kekal beribadat sepanjang masa, tidak berkahwin dan sebagainya kelihatan bagus, namun ia bercanggah dengan naluri manusia yang memerlukan pasangan, rehat, tidur dan kegembiraan. Islam menolak cara ini, namun begitu ada segelintir sahabat Rasulullah SAW terkesan dengan pujian Allah kepada penganut agama Nasrani. Lalu ada yang mahu solat sepanjang malam, ada yang menolak perkahwinan dan ada yang mahu berpuasa sepanjang tahun (Tafsir al-Tabari). Berikutan sikap mereka itu Allah segera memberi amaran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (87) وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ (88)

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman (al-Ma’idah[5:87-88]).

Setelah mengetahui sikap MERAHIBKAN hidup segelintir sahabatnya, Rasulullah SAW naik ke mimbar lalu bersabda:

أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Ertinya: Kamukah yang mengucapkan apa yang kamu ucap (mahu hidup secara rahib)? Adapun demi Allah! Aku adalah orang yang paling takutkan Allah dan paling bertaqwa kepadaNya. Akan tetapi aku berpuasa dan aku juga berbuka (tidak puasa sepanjang masa). Aku bersolat dan aku juga tidur. Aku juga berkahwin dengan wanita. Sesiapa yang tidak mahu mengikut sunnahku (caraku dalam beragama) maka dia bukanlah tergolong dari golongan (ummatku)(Sahih al-Bukhari).

Kesimpulannya, Islam sudah sempurna. Usahlah terlebih lajak dari Rasulullah SAW, dibimbangi amalan kita bakal hangus terbakar. Jangan juga terlalu jauh ketinggalan di belakang Rasululllah SAW, dibimbangi lambat sampai ke destinasi syurga. Pilihlah jalan seiring bersama baginda dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Hidup kita pasti akan bahagia di dunia dan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...