Sunday, August 16, 2015

NABI MUSA AS MULAI PUASA PADA 1 ZULKAEDAH

NABI MUSA AS MULAI PUASA PADA 1 ZULKAEDAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Saya ingin mengucapkan Salam 1 Zulkaedah pada Ustaz!”

Tergamam dan terharu saya mendapat ucapan tersebut dari seorang pelajar dewasa saya. Ini kali pertama saya menerima ucapan sebegini. Mungkin kerana hari ini berakhirnya Syawwal 1436 Hijri. Sejurus ucapan itu hati saya terus terlintas kisah nabi Musa AS dalam ayat ini:

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لأخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

Ertinya: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) “SELAMA TIGA PULUH MALAM, SERTA KAMI GENAPKAN JUMLAHNYA DENGAN SEPULUH MALAM LAGI, LALU SEMPURNALAH WAKTU YANG TELAH DITENTUKAN OLEH TUHANNYA EMPAT PULUH MALAM.” Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan" (al-A’raf [7:142]).

Ketika mengulas ayat ini, kebanyakan ulama Tafsir menyebut nabi Musa AS mulai berpuasa di Gunung Tur Sinai pada 1 Zulkaedah. Setelah sempurna 30 hari, baginda menambah lagi 10 hari bagi menggenapkannya menjadi 40 hari. Akhirnya puasa baginda sempurna pada 10 Zulhijhah dan pada hari itulah syariat baginda disempurnakan dengan penurunan kitab Tawrat (Tafsir Ibn Kathir).

Bilakah pula tarikh sempurnanya Islam? Biarlah ayat ini menjawab soalan itu:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini (9 atau 10 Zulhijjah), “AKU TELAH SEMPURNAKAN BAGI KAMU UGAMA KAMU”, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. (al-Ma’idah[5:3]).

Seorang Yahudi pernah berkata jika ayat ini diturunkan kepada mereka, pasti hari penurunannya dijadikan hari raya kerana ia adalah hari penyempurnaan sebuah syariat. Umar ibn al-Khattab lalu menjawab:

إِنِّي لَأَعْلَمُ أَيَّ يَوْمٍ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ نَزَلَتْ يَوْمَ عَرَفَةَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ

Ertinya: Sesungguhnya aku memang memang tahu pada hari apakah ayat ini diturunkan. Ia diturunkan PADA HARI ARAFAH DAN PADA HARI JUMAAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Mungkin inilah juga sebabnya mengapa Allah (dalam al-Quran) banyak membandingkan isi kandungan al-Quran dengan Tawrat dan bukannya Zabur atau Injil. Al-Quran adalah kitab syariat yang sempurna lagi setara nilainya dengan Tawrat. Berbanding dengan Zabur dan Injil, keduanya cuma mengandungi nasihat dan pelajaran. Para nabi di kalangan Bani Isra’il semuanya terikat dengan syariat Tawrat.

Tambah indah, bukan setakat setara isinya, al-Quran dan Tawrat turut disempurnakan pada hari yang hampir sama iaitu pada 9 atau 10 Zulhijjah. Subhanallah!

Islam sudah sempurna, cuma tanyalah diri sendiri sejauh mana pula kita menyempurnakan tuntutan hidup kita dengan panduan Islam dan al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...