Saturday, August 15, 2015

JANGAN ROSAKKAN LAFAZ IN SHAA ALLAH

JANGAN ROSAKKAN LAFAZ INSYA-ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Saya tak mahu INSYA-ALLAH! Saya nak betul-betul punya janji.” Arniza tergamam apabila seorang Cina (Belum Islam) menegaskan pendiriannya tentang lafaz Insya-Allah yang baru diucapnya sebagai tanda janji bakal dikota.

Pada situasi lain, seorang Datuk berpesan pada cucu kesayangannya: “Nanti untuk peperiksaan akhir, Atuk mahu kamu belajar sungguh-sungguh biar berjaya dengan cemerlang.”

Si cucu yang “BELAJAR DI SEKOLAH AGAMA” pun menjawab: “Insya-Allah Atuk!”

Atuknya yang “SUDAH LAMA TERBUDAYA DENGAN ADAT MELAYU” segera menyanggah: “Atuk tak mahu Insya-Allah! Atuk nak betul-betul punya study.”

Si cucu tergamam tak terkata sambil menggaru-garu kepalanya. Tingkah datuknya sangat berbeza dengan apa yang dipelajarinya di sekolah agama.

Itulah antara beberapa situasi atau dilemma yang biasa dialami oleh Muslim Melayu di Malaysia. Lafaz Insya-Allah adalah lafaz mulia yang menunjukkan pengucapnya berazam penuh melaksanakan apa yang dijanji. Sepatutnya lafaz Insya-Allah yang bermaksud “IA AKAN BERLAKU HANYA DENGAN IZIN ALLAH” adalah lafaz Tawhid yang tidak boleh dipermainkan. Tiada sesuatu apa pun akan terjadi tanpa izin Allah selaku Tuhan Semesta Alam. Malangnya sikap mungkir sesetengah Melayu Muslim di Malaysia yang berlapikkan lafaz Insya-Allah mengakibatkan lafaz mulia ini menjadi lambang ketidakpastian atau lesen rasmi untuk mungkir janji.

Wahyu kepada Rasulullah SAW pernah terputus selama beberapa ketika kerana baginda lupa menyebut Insya-Allah dalam satu peristiwa. Berikutan itu, Allah mengingatkan baginda dan semua Muslim agar menyebut Insya-Allah:

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا (23) إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا (24)

Ertinya: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini" (al-Kahf[18:23-24]).

A-Quran merekodkan bahawa lafaz Insya-Allah biasa bermain di bibir para nabi. Lihat apa kata nabi Yusuf AS kepada bapanya setelah mereka kembali bersatu:

فَلَمَّا دَخَلُوا عَلَى يُوسُفَ آَوَى إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ادْخُلُوا مِصْرَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آَمِنِينَ

Ertinya: Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman (Yusuf[12:99]).

Nabi Musa AS juga berjanji untuk sabar (dalam memenuhi syarat berguru yang diletakkan Khidir) dengan lafaz Insya-Allah:

قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا (66) قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (67) وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا (68) قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا (69)

Ertinya: Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?" Dia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.  Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu" (al-Kahf[18:66-69]).

Lelaki tua di Madyan yang meminang nabi Musa AS untuk anak perempuannya turut mengikat tawaran pilihan mahar kepada Musa dengan lafaz yang sama:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِنْدِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya" (al-Qasas[28:27]).

Nabi Ismail AS turut menyebut Insya-Allah ketika akur menuruti arahan Allah yang mengarahkan nabi Ibrahim AS menyembelihnya:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Ertinya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar" (al-Saffat[37:102]).

Lafaz Insya-Allah memang sangat pendek, namun impaknya sangat besar. Lihat sahaja bagaimana Allah memusnahkan sebuah kebun hanya dalam satu malam sahaja sebagai teguran kepada pemiliknya yang yakin mampu memetik hasilnya pada hari yang ditetapkan tanpa menyebut Insya Allah:

إِنَّا بَلَوْنَاهُمْ كَمَا بَلَوْنَا أَصْحَابَ الْجَنَّةِ إِذْ أَقْسَمُوا لَيَصْرِمُنَّهَا مُصْبِحِينَ (17) وَلَا يَسْتَثْنُونَ (18) فَطَافَ عَلَيْهَا طَائِفٌ مِنْ رَبِّكَ وَهُمْ نَائِمُونَ (19) فَأَصْبَحَتْ كَالصَّرِيمِ (20)

Ertinya: Sesungguhnya Kami telah timpakan mereka dengan bala bencana, sebagaimana Kami timpakan tuan-tuan punya kebun (dari kaum yang telah lalu), ketika orang-orang itu bersumpah (bahawa) mereka akan memetik buah-buah kebun itu pada esok pagi; - Sedang mereka tidak menyebut pengecualian (Insya-Allah atau melainkan jika diizinkan Allah). (Akibat kesombongan tidak menyebut Insya-Allah) Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur. Lalu jadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya (al-Qalam [68:17-20]).

Marilah kita menjaga hak Allah dalam lafaz Insya-Allah. Lafaz Insya-Allah wajib beriring usaha dan keazaman yang penuh mahu mengotakan janji yang dibuat. Selepas ini jika benar berazam mahu melaksanakan sesuatu janji, ucapkan dengan penuh keazaman lafaz Insya-Allah. Jika masih ragu tidak mampu melaksanakan apa yang dijanji, ucaplah “SAYA TAK JANJI, TENGOKLAH DAHULU.” Jangan rosakkan lafaz mulia ini dengan tabiat buruk kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...