Wednesday, August 12, 2015

BUKTI KARAMAH MAKNAWI PROF WAHBAH AL-ZUHAYLI

BUKTI KARAMAH MAKNAWI PROF WAHBAH AL-ZUHAYLI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Dahulu saya kagum melopong apabila mendengar cerita para wali yang “DIKISAHKAN” mampu berjalan di atas air, mampu melipat bumi menempuh perjalanan jauh dalam masa yang singkat, mampu makan buah-buahan bukan pada musimnya dan sebagainya. Setelah lama mendalami ilmu, barulah saya faham bahawa KARAMAH (KEMULIAAN) para wali rupanya bercabang 2. Ada karamah kelas pertama dan karamah kelas kedua. Tanpa sedar ramai yang cuma nampak karamah kelas kedua. Mengapa? Ia kembali juga kepada penghayatan ilmu. Ramai yang mengabaikan pintu kerana menyangka tingkap lebih utama berbanding pintu.

Karamah yang biasa dicanang tentang kelebihan ajaib para wali rupanya berada pada kelas kedua atau dipanggil KARAMAH HISSI (KEAJAIBAN YANG MAMPU DILIHAT PANCA INDERA DAN TIDAK KEKAL). Nun di sana, ada karamah kelas pertama yang jauh lebih hebat dan kekal manafaatnya untuk umat Islam sejagat. Ia disebut KARAMAH MAKNAWI (KEAJAIBAN YANG KEKAL DAN MELUAS MANAFAATNYA UNTUK SELURUH UMAT ISLAM).

Para ulama ummah yang meninggalkan karya agung membimbing umat Islam dengan KHAZANAH ILMU sebenarnya tergolong dalam kalangan para wali Allah yang besar jasanya kepada umat Islam. Jika seorang wali mampu berjalan di atas air, terbang di udara dan sebagainya, apakah manafaat yang anda perolehi selain sedap telinga mendengar?

Sebaliknya, seorang ulama yang menghasilkan KHAZANAH ILMU yang mampu MENDEKATKAN MUSLIM KEPADA ALLAH jauh lebih besar manafaatnya kepada umat Islam. Dengan premis ini, saya menobatkan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli yang baru dijemput Allah pada minggu lepas sebagai salah seorang WALI ALLAH ZAMAN INI.

Saya berjinak dan mengajar Tafsir al-Quran bermula pada tahun 2005. Mabuk Tafsir al-Quran yang saya alami berterusan sehingga sekarang. Saya sudah mengajar sehingga juzuk 23, surah ke 36 iaitu surah Yasin. Aktiviti mingguan mengajar Tafsir al-Quran adalah sebanyak 6 kelas dan rujukan utama saya dalam pengajaran adalah Tafsir al-Munir karya si Wali Allah yang saya nobatkan di atas.

Karya beliau menjadi pilihan kerana ia mudah, semasa dan mengumpulkan berbagai mutiara dari berbagai kitab Tafsir Muktabar. Seolah beliau mengumpulkan bahan mentah dari berbagai kitab Tafsir Muktabar lalu mengadunnya menjadi sebutir berlian untuk dihidangkan kepada umat Islam moden. Ternyata usahanya bertahun-tahun mengorbankan masa menulis Tafsir al-Munir memang membuahkan hasil.

Menarik untuk dikongsi, moto utama Prof Wahbah al-Zuhayli dalam karya Tafsir al-Munir adalah firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Ertinya: WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, SAHUT DAN SAMBUTLAH SERUAN ALLAH DAN SERUAN RASULNYA APABILA IA MENYERU KAMU KEPADA PERKARA-PERKARA YANG MENJADIKAN KAMU HIDUP SEMPURNA; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (al-Anfal [8:24]).

Subhanallah! Beliau memang seorang Wali Allah kerana mampu melihat dengan suluhan mata hati akan pedoman ayat ini. Lalu beliau menjadikan ayat ini sebagai moto utama Tafsirnya. Setelah lama bergelumang dengan Tafsir al-Quran, memang al-Quran adalah SUATU SERUAN DARI ALLAH YANG BENAR-BENAR MENGHIDUPKAN JIWA MUSLIM.

Saya bersyukur kerana diizinkan menumpang tuah Prof Wahbah al-Zuhayli dan diperjodohkan dengan kitab Tafsir beliau. Nilai RM 450 membeli kitab ini pada tahun 1997 ternyata berbaloi. Semoga jodoh saya ini berterusan bersama beliau di akhirat kelak. Amin!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...