Monday, June 1, 2015

PRINSIP ILMU PERUBATAN DALAM SEPARUH AYAT SAHAJA

PRINSIP ILMU PERUBATAN DALAM SEPARUH AYAT SAHAJA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf[7:31]) pada  30 Mei 2015. Antara isunya adalah keajaiban al-Quran yang menyebut prinsip ilmu perubatan dalam separuh ayat sahaja.

Encik K berasa lesu. Badannya gempal gebu. Jantungnya kerap berdebar-debar kencang. Matanya semakin rabun. Nafasnya senang tercungap walau bergerak sedikit sahaja. Bibirnya biru gelap dek terlalu lama menghirup “najis rokok.” Alat penimbang menunjukkan berat badannya mencecah 120 kg, sedang tingginya cuma 163 cm. Kiraan “Body Mass Index atau BMI” Encik K sangat tidak sihat. Risaukan kualiti hidupnya yang semakin merosot, Encik K bertemu doctor. Doktor yang melihat laporan darahnya segera bersuara:

“Laporan kolestrol, gula dan tekanan darah awak menunjukkan awak sangat tidak sihat. Awak wajib segera mengubah gaya hidup. Jika tidak, penyakit kronik 3 beradik iaitu kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung akan memberikan awak borang masuk ke kelab keahliannya. “AWAK PERLU MENJAGA TABIAT PEMAKANAN. AWAK BOLEH MAKAN, BOLEH MINUM TETAPI JANGAN BERLEBIHAN.”

Dialog sang doktor itu sangat Islamik dan sama dengan firman Allah di hujung ayat ini:

يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), “DAN MAKANLAH SERTA MINUMLAH, DAN JANGAN PULA KAMU MELAMPAU; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA AKAN ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS” (al-A’raf [7:31]).

Tersebut al-Kisah, khalifah Harun al-Rashid mempunyai seorang doktor beragama Nasrani. Beliau berkata kepada Ali bin al-Husayn: Kitab kamu (al-Quran) tidak mempunyai asas kepada ilmu perubatan, sedangkan ilmu itu ada 2 jenis iaitu ilmu agama dan ilmu badan. Ali menjawab: Ada! Allah menyebutnya dalam hanya separuh ayatNya (Tafsir al-Qurtubi). Ali kemudiannya membaca ayat ini:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

Ertinya: “DAN MAKANLAH SERTA MINUMLAH, DAN JANGAN PULA KAMU MELAMPAU” (al-A’raf [7:31]).

Benar sekali firman Allah ini, PERUT ADALAH LUBUK SEGALA PENYAKIT. Perut bukan tong sampah yang menjadi sarang segala kuman dan penyakit. Hayati dan amalkanlah sabda Rasulullah SAW ini:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Ertinya: Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan (Sunan al-Tirmidhi).

Berlebihan dalam mengisi tembolok perut bukan sahaja mengundang penyakit tetapi bukan sifat orang beriman sebagaimana kisah hadith ini:

عَنْ نَافِعٍ قَالَ كَانَ ابْنُ عُمَرَ  لَا يَأْكُلُ حَتَّى يُؤْتَى بِمِسْكِينٍ يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَدْخَلْتُ رَجُلًا يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَكَلَ كَثِيرًا فَقَالَ يَا نَافِعُ لَا تُدْخِلْ هَذَا عَلَيَّ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ

Ertinya: Nafi’ menceritakan bahawa Abdullah ibn ‘Umar RA tidak akan makan melainkan jika ada seorang miskin yang boleh menjadi temannya makan. Pada suatu hari aku (Nafi’) menjemput seorang lelaki (miskin) masuk makan bersamanya (Abdullah bin ‘Umar) lalu lelaki tersebut makan dengan banyak sekali. Melihat (buruknya sifat) lelaki tersebut, Abdullah berkata: Wahai Nafi’ janganlah dijemput dia ini makan bersamaku lagi (pada kali yang lain) kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ORANG BERIMAN MAKAN DALAM SATU HIDANGAN, MANAKALA ORANG KAFIR PULA MAKAN DALAM 7 (BANYAK) HIDANGAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Al-Quran adalah Kalam Allah yang maha sempurna. Segala panduan dan keperluan manusia disebut secara ringkas padat dalam ayatnya yang berjumlah 6236. Tinggal lagi bagaimana kita menghargai mukjizat Kalam Allah ini dengan penerokaan isi dan ilmunya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...