Sunday, June 7, 2015

MASIH DEGIL WALAU DIBERI BERBELAS HUJAH

MASIH DEGIL WALAU DIBERI BERBELAS HUJAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [26:60-64]) pada  2 Jun 2015. Antara isunya adalah cara al-Quran mengutarakan hujah bagi menyedarkan kesilapan Musyrikin Quraysh yang bodoh bertuhankan berhala yang tak bernyawa.

“Hantu berhala” yang meresap ke dalam jiwa Musyrikin Mekah sangat bahaya. Mata hati mereka langsung buta dari berfikir atau melihat kebenaran al-Quran. Hujah berjela tidak dapat menembus minda mereka yang sudah mabuk dirasuk taksub berhala. Hujah? Tiada lain: “Ini adalah warisan datuk nenek yang perlu kami pertahankan. Biar salah sekalipun, asal jangan biadab dengan warisan ini.”

Salah satu cara Allah mengubah akidah dan kepercayaan manusia adalah dengan mengajak mereka berdebat secara sopan. Debat itu mampu menjadi ubat merawat akal yang sakit. Setelah yang sakit itu pulih, barulah senang iman masuk ke dalam jiwa. Bahkan menurut Syah Waliyullah al-Dihlawi, Al-Quran mengutarakan 5 pokok penting dalam bicaranya, salah satunya adalah ilmu berkaitan debat dengan golongan bukan Islam (al-Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir).

Ayat al-Quran memang sangat banyak membicarakan perihal debat dengan golongan bukan Islam. Ayat sebegini menjadi bukti al-Quran adalah kitab yang sarat ilmu dan bukannya “pembawa berkat atau penghalau hantu” semata. Perhatikan “BELASAN” hujah yang Allah gunakan dalam ayat ini bagi meruntuhkan akidah Musyrikin Quraysh:

أَمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنْبَتْنَا بِهِ حَدَائِقَ ذَاتَ بَهْجَةٍ مَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُنْبِتُوا شَجَرَهَا أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ هُمْ قَوْمٌ يَعْدِلُونَ (60) أَمْ مَنْ جَعَلَ الْأَرْضَ قَرَارًا وَجَعَلَ خِلَالَهَا أَنْهَارًا وَجَعَلَ لَهَا رَوَاسِيَ وَجَعَلَ بَيْنَ الْبَحْرَيْنِ حَاجِزًا أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (61) أَمْ مَنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ (62) أَمْ مَنْ يَهْدِيكُمْ فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَنْ يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ تَعَالَى اللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ (63) أَمْ مَنْ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَمَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (64)

Ertinya: Bahkan (1) siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan (2) menurunkan hujan dari langit untuk kamu? (3) Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. ADAKAH SEBARANG TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH? (TIDAK!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).

Atau (4) siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan (5) telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan (6) telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan (7) juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? ADAKAH SEBARANG TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH? (TIDAK!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui.

Atau (8) siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan (9) yang menghapuskan kesusahan, serta (10) menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? ADAKAH SEBARANG TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).

Atau (11) siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan (12) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya? ADAKAH SEBARANG TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

Atau (13) siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian (14) dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya). Dan (15) siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? ADAKAH SEBARANG TUHAN YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH? KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): "BAWALAH KEMARI HUJAH-HUJAH KAMU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR " (al-Naml[27:60-64]).

Penghujung ayat ini - قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ - “BAWALAH KEMARI HUJAH-HUJAH KAMU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR " sangat menarik. Ia membuktikan Allah sangat “GENTLEMAN.” Walau Allah tahu Dia senantiasa benar, tetap diberikan peluang kepada pihak menentang berhujah.

“LIMA BELAS (15) HUJAH” melawan cuma “SATU HUJAH TAQLID BUTA” warisan datuk nenek penduduk Mekah! Sepatutnya manusia cerdik akan segera tunduk kepada Allah sebagai Tuhan dan membuang jauh segala macam berhala yang mereka sendiri cipta. Jika semua berhala mereka mampu berbicara, sudah pasti mereka akan menyembah orang Mekah kerana memberikan mereka kedudukan. Tapi dunia sudah terbalik, yang mencipta menyembah yang dicipta. Inilah bahananya jika akal disimpan sebagai perhiasan. 

Inilah antara contoh bagaimana debat secara sopan mampu memacu kenderaan Islam yang berteraskan ilmu. Ia perlu digalakkan agar umat Islam tidak menikus dalam menyampaikan mesej Islam. Ia juga perlu dilatih dengan penubuhan “AKADEMI DEBAT” agar lebih ramai “Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik” muncul membela Islam. Insya Allah! Sungguh debat secara sopan adalah budaya Islam!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...