Saturday, June 13, 2015

KHADIJAH RA - CINTA YANG TIADA GANTI

KHADIJAH RA - CINTA YANG TIADA GANTI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Awak ni asyik membandingkan saya dengan arwah isteri awak dahulu saja! Mana nak sama. Dia lain, saya lain. Cubalah terima saya seadanya!”

Itulah dialog yang sering berlaku dalam sebuah rumah tangga yang terbina setelah kematian isteri pertama seseorang lelaki. Jika diteliti dalam sirah Rasulullah SAW, cinta baginda kepada Khadijah RA sangat mendalam dan tidak terhakis sama sekali sehingga mengundang “CEMBURU SAYANG” Aishah RA:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ

Ertinya: Aisyah RA berkata Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda SAW: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik darinya. Rasulullah SAW berkata: “SUNGGUH DIA ITU TIADA GANTI.” Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak (Musnad Ahmad).

Dalam hadith lain juga disebut:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ مَا غِرْتُ عَلَى نِسَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا عَلَى خَدِيجَةَ وَإِنِّي لَمْ أُدْرِكْهَا قَالَتْ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَبَحَ الشَّاةَ فَيَقُولُ أَرْسِلُوا بِهَا إِلَى أَصْدِقَاءِ خَدِيجَةَ قَالَتْ فَأَغْضَبْتُهُ يَوْمًا فَقُلْتُ خَدِيجَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا

Ertinya: Aisyah berkata: Aku tidak cemburu kepada mana-mana isteri Rasulullah melainkan Khadijah walaupun aku tidak sempat bertemu dengannya. Apabila baginda menyembelih kambing, baginda akan berkata: Hantar sedikit dagingnya kepada kawan-kawan Khadijah. Ia menyebabkan aku marah sehingga pada suatu hari aku berkata: (Asyik) Khadijah (diingatimu). Rasulullah SAW berkata: SESUNGGUHNYA AKU TELAH DIREZEKIKAN CINTANYA (Sahih Muslim).

Bahkan dalam sebuah hadith lain disebut, adik perempuan Khadijah yang bernama Halah binti Khuwaylid pernah meminta izin bertemu dengan Rasulullah SAW. Baginda sangat gembira dengan lawatan Halah sehingga mengundang cemburu Aishah RA (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Ketika menghuraikan hadith tentang kisah kunjungan Halah Binti Khuwaylid ini, Imam al-Nawawi menyatakan kegembiraan Rasulullah dengan ketibaan Halah adalah disebabkan ia mengingatkan kembali kenangan manis baginda bersama Khadijah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Dalam riwayat lain juga disebut, anak tiri Rasulullah (yang juga bernama Halah bin Abi Halah) iaitu anak lelaki Khadijah hasil perkahwinannya dengan Abu Halah sangat disayangi oleh Rasulullah. Pada suatu hari Halah masuk menemui Rasulullah yang sedang berbaring. “BAGINDA SEGERA BANGKIT DAN MEMELUK MESRA HALAH SAMBIL BERKATA: HALAH! HALAH! HALAH!” (Mu’jam al-Awsat Imam al-Tabrani & Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Aduhai! Manisnya cintamu itu wahai Rasulullah SAW. Entah mengapa, tanpa dapat ditahan, air mata saya jatuh berderai ketika menulis nota ini. Untuk kita semua wahai para suami dan isteri, hargailah pasangan kembar jiwa kita ini ketika mereka masih dipinjamkan Allah. Allah tahu manusia itu tidak sempurna. Suami banyak kekurangannya, isteri banyak pincangnya. Baikilah kekurangan diri secara bersama dan bantulah pasangan anda memperelokkan hidup mereka. Faedahnya kembali kepada kita juga:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Ertinya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (al-Nisa’[4:19]).
Kesabaran melayar bahtera rumah tangga dengan panduan agama akan mengumpulkan kita kembali di akhirat kelak dalam bahagia yang sebenar. Insya Allah!:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (24)

Ertinya: Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; - “IAITU SYURGA YANG KEKAL YANG MEREKA AKAN MEMASUKINYA BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG MENGERJAKAN AMAL SOLEH DARI IBU BAPA MEREKA DAN ISTERI-ISTERI MEREKA SERTA ANAK-ANAK MEREKA”; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (al-Ra’d[13:22-24]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...