Friday, June 5, 2015

JANGAN DAKWA MAMPU "MENGGODAM RAHSIA GHAIB ALLAH"

JANGAN DAKWA MAMPU “MENGGODAM RAHSIA GHAIB ALLAH”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [26:65]) pada 2 Jun 2015. Antara isunya adalah pengetahuan Allah yang mutlak tentang perkara ghaib.

“RAHSIA TARIKH LAHIR, RAHSIA TAHI LALAT, RAHSIA GARIS URAT TAPAK TANGAN, RAHSIA ANGKA DAN NOMBOR.” Itu antara beberapa “LABEL PROMOSI” yang sering diguna oleh “NUJUM MODEN” dalam pakaian pakar motivasi atau Ustaz.

Tindakan sesetengah mereka ini seolah-olah cubaan untuk menanggap rahsia ilmu Allah di LUH MAHFUZ iaitu “PUSAT MAKLUMAT DAN TAQDIR MAKHLUK YANG TERJAGA DARI SEBARANG PENCEROBOHAN.” Manusia biadab dengan berbagai dakwaannya seakan berkata kami mampu “MENGGODAM RAHSIA ALLAH dengan “kata laluan” atau “cerapan” nombor, angka, tarikh lahir, tahi lalat, urat tapak tangan dan sebagainya.

Astaghfirullah! Orang yang terlibat dengan aktiviti sebegini wajib segera bertaubat kepada Allah kerana ia adalah hak mutlak Allah sebagaimana firmanNya:

قُل لا يَعلَمُ مَن فِى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ الغَيبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَما يَشعُرونَ أَيّانَ يُبعَثونَ

Ertinya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml[27:65]).

Ketika menjelaskan ayat ini Aishah RA berkata:

وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ

Ertinya: Sesiapa menyangka bahawa (Rasulullah SAW) mampu memberitahu apa ayang akan berlaku pada keesokan harinya, “MAKA DIA TELAH BERBUAT PENDUSTAAN YANG SANGAT BESAR ATAS NAMA ALLAH.” Aisyah RA kemudiannya membaca ayat 65 surah al-Naml (Sahih Muslim).

Ayat surah al-Naml di atas turut disokong oleh ayat lain:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Ertinya: “DAN PADA SISI ALLAH JUALAH ANAK KUNCI PERBENDAHARAAN SEGALA YANG GHAIB, TIADA SESIAPA YANG MENGETAHUINYA MELAINKAN DIA LAH SAHAJA;” dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata (al-An’am [6:59]).

Rasulullah SAW juga melarang perbuatan nujum moden sebegini dengan sabdanya:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Ertinya: Sesiapa yang berjumpa dengan tukang nujum (orang yang mendakwa tahu sesuatu perkara) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu perkar, tidak akan diterima (tiada pahala) solatnya selama 40 malam (Sahih Muslim).

Ia tergolong dalam “ILMU ASTROLOGI” yang dilarang agama. Kepercayaan seperti ini adalah peninggalan ajaran sesat yang diamalkan oleh kaum nabi Ibrahim AS yang disebut dalam surah al-An’am ayat 76-78. Usahkan para pakar motivasi atau nujum moden ini, para rasul yang saban hari didampingi Jibril AS pun tidak mengetahui perkara ghaib kecuali setelah ianya didedahkan oleh Allah dengan tujuan tertentu. Firman Allah:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)

Ertinya: "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, - "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn[72:26-27]).

Juga firmanNya:

قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am[6:50]).

Juga firmanNya:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman" (al-A’raf[7:188]).

Barangkali ada pula si fanatik yang mendakwa ia bukan nujum tetapi sejenis sains. Jawablah: “SAINS ATAU SUNNATULLAH ITU BERDASARKAN BUKTI KAJIAN YANG KONSISTEN KEPUTUSANNYA. JIKA HIDROGEN DAN OKSIGEN DICAMPUR DI MANA SAHAJA DI BUMI INI PASTI KEPUTUSAN AKHIRNYA ADALAH AIR. ITULAH SAINS. SEGALA NUJUMAN MEREKA ITU PULA SEKADAR DAKWAAN KOSONG SEMATA.”

Selepas ini jika ada yang membuat berbagai promosi “GHAIB” lagi ajaib sebegitu, janganlah terlalu mudah percaya. Kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah. Jangan sampai kita dibodohkan oleh manusia jahil ini kerana Allah mengajar kita agar senantiasa cerdik. Cerdik dalam neraca Islam adalah mengetahui mana batasan yang boleh dan tidak boleh dicerobohi. Ya Allah! Selamatkan umat Islam dari musibah nujum moden.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...