Monday, June 8, 2015

DENDAM KESUMAT DAN KEBENCIAN AHLI SYURGA

DENDAM KESUMAT DAN KEBENCIAN AHLI SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:43]) pada 6 Jun 2015. Antara isunya adalah dendam kesumat dan kebencian ahli syurga dihapus sama sekali sebelum mereka melangkah ke syurga.

Mereka itu bukan calang-calang orangnya. Mereka adalah Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaydillah, al-Zubayr bin al-‘Awwam, Aishah isteri Rasulullah SAW dan Mu’awiyah Radiyallahu ‘Anhum. Mereka adalah para sahabat utama Rasulullah SAW yang dijamin syurga. Pun begitu, mereka tetap berselisih pendapat yang membawa kepada permusuhan dan kebencian. Akhirnya yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Itulah nasib mereka dalam perang Jamal dan perang Siffin (perang antara pihak Ali dan Mu’awiyah).

Sungguh! Dendam kesumat, hasad dengki, permusuhan dan kebencian adalah penyakit yang berbahaya. Ia bukannya ni’mat yang perlu disimpan dalam hati. Walau sedap pada rasa dek kerana “perencah syaitan”, ia seumpama barah yang memakan hati saban hari. Sifat ini kadang kala bertapak juga di hati orang beriman sesama mereka. Jika tidak masakan manusia pilihan Allah seperti para sahabat turut berselisih panas sehingga ke medan perang. Sifat ini tidak sesuai dengan kesucian syurga. Ahli syurga suci fizikalnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

لَا يَبُولُونَ وَلَا يَتَغَوَّطُونَ وَلَا يَتْفِلُونَ وَلَا يَمْتَخِطُونَ أَمْشَاطُهُمْ الذَّهَبُ وَرَشْحُهُمْ الْمِسْكُ….. عَلَى صُورَةِ أَبِيهِمْ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا فِي السَّمَاءِ

Ertinya: (Ahli syurga) tidak kencing, tidak buang air besar, tidak meludah, tidak berhingus, sikat mereka dari emas, peluh mereka seharum kasturi….fizikal mereka seperti fizikal ayah mereka Adam setinggi 60 hasta ke langit (Sahih al-Bukhari dan Muslim). 

Ahli syurga juga wajib suci hatinya. Oleh itu, antara ni’mat awal yang dikurniakan Allah kepada mereka sebelum melangkah masuk ke dalam syurga adalah hilangnya rasa benci dan dendam dari hati mereka:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: “DAN KAMI CABUTKAN SEGALA DENDAM DAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) DARI HATI MEREKA, (DI DALAM SYURGA)” yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan" (al-A’raf[7:43]).

Ketika mengulas ayat ini, Rasulullah SAW bersabda:

يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنْ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ

Ertinya:  Selepas orang beriman bebas dari neraka (selepas melalui titian sirat yang merentas neraka), mereka ditahan di hujung titian sirat (jambatan) antara syurga dan neraka. Lalu diselesaikan antara sesama mereka segala kezaliman (kesilapan) yang pernah berlaku di dunia dahulu. Setelah segalanya bersih dan suci barulah mereka dibenarkan melangkah masuk ke dalam syurga (Sahih al-Bukhari).

Paling tepat bagi menggambarkan maksud ayat ini adalah kisah perang Jamal. Perang ini berlaku selepas kewafatan Uthman RA. Ia adalah perang yang tercetus antara pihak Aishah, Talhah serta al-Zubayr dengan pihak Ali. Ia berlaku atas banyak factor antaranya salah faham dan hasutan musuh dalam selimut. Dalam perang ini Talhah dan al-Zubayr mati dibunuh oleh pihak Ali. Selepas perang itu anak Talhah iaitu ‘Imran bin Talhah masuk bertemu Ali. Ali kemudiannya berkata:

“Aku sangat berharap agar hubunganku dengan ayahmu (Talhah) seperti apa yang disebut oleh firman Allah ini (Tafsir al-Tabari):

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (45) ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ (46) وَنزعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ (47)

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". “DAN KAMI CABUT AKAN APA YANG ADA DIHATI MEREKA DARI PERASAAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) SEHINGGA MENJADILAH MEREKA BERSAUDARA (DALAM SUASANA KASIH MESRA), SERTA MEREKA DUDUK BERHADAP-HADAPAN DI ATAS PELAMIN MASING-MASING” (al-Hijr[15:47]).

Pelik juga jika mahu difikir, bagaimana segala kebencian boleh bertukar menjadi kasih sayang? Lihat ayat ini:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِنْ فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Ertinya: Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; “DAN MEREKA DIBERI MINUM OLEH TUHAN MEREKA DENGAN SEJENIS MINUMAN (YANG LAIN) YANG BERSIH SUCI” (al-Insan[76:21]).

Tidak lain kerana ahli syurga minum dari air yang sangat bersih lagi suci. Air suci itu menjadikan fizikal ahli syurga tidak lagi memerlukan perkumuhan atau bernajis seperti hadith di atas (Tafsir al-Tabari). Dan sangat tidak mustahil, air suci ini juga turut menyucikan jiwa mereka bersih dari segala macam rasa dendam, hasad, marah dan benci.

Selepas ini jika rasa dendam, marah dan benci terhadap teman kita mulai membenih, segeralah memohon keampunan dari Allah. Jangan sampai rasa itu menyukarkan laluan kita ke syurga. Tambahan pula darjat iman, pengorbanan dan sabar kita masih terlalu jauh berbanding para sahabat yang sudah dijamin syurga. Benci dan dendam juga bukanlah koleksi penyakit hati yang perlu disimpan. Makin dibela makin kita merana. Sucikan hati kita, Insya-Allah mudah laluan kita ke syurga.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...