Thursday, June 4, 2015

BERILAH HAK EMOSIMU KERANA IA SELARI DENGAN ISLAM

BERILAH HAK EMOSIMU KERANA IA SELARI DENGAN ISLAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf[7:32]) pada  30 Mei 2015. Antara isunya adalah keharusan bagi manusia memenuhi keperluan emosi mereka.

Cantik sekali lenggok si ikan kelisa dalam akuariumnya. Merdu sekali kicauan si murai dalam sangkarnya. Indah sekali kembangan mawar dalam pasunya. Namun hati selalu tertanya, apakah salah si ikan, si murai dan sang mawar sehingga terkurung dalam sangkar yang begitu kecil. Alangkah baiknya jika sirip si kelisa dibiar bebas menguak air meredah sungai. Alangkah baiknya jika kepak si murai dibebaskan membelah angkasa. Alangkah baiknya jika akar sang mawar dibiar bebas menjalar ke dalam bumi.

Alhamdulillah! Allah tahu keperluan makhluk ciptaanNya. Manusia dibentuk dalam 3 komponen unik iaitu badan halus (emosi), badan kasar (jasmani) dan rohani. Semua komponen ini perlu seimbang dengan makanannya. Badan halus (emosi) makanannya hiburan, hobi atau kegembiraan. Badan kasar makanannya vitamin dan riadhah. Rohani pula makanannya amal ibadat dan ilmu agama. Semuanya perlu seimbang. Jika hanya tertumpu pada aspek jasmani tapi rohaninya kosong, apa bezanya kita dengan bukan Islam? Rohani tanpa jasmani pula seumpama si musafir yang hilang kenderaan ke tempat tujuan. Sudahnya ibadat menjadi sukar apabila kaki dipotong kerana kencing manis atau penyakit kronik lain. Jika tubuh dan rohaninya sihat, tapi emosi selalu terganggu dek tekanan hidup, silap haribulan produktiviti kerja dan ibadat pun boleh merosot. Orang beriman terbaik mengambil kira kesihatan semua komponen tubuhnya itu.

Bolehkah memelihara ikan dan burung sebagai hobi? Apa hukumnya mengurung akar sang bunga dari menjalar membelah bumi? Jawabnya, semua makhluk ciptaan Allah ditundukkan untuk kegunaan manusia asal ditunaikan haknya:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui (al-A’raf[7:32]).

Ia juga boleh difaham dari teguran Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang terkenal warak (Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As) yang menyebut tentang penunaian hak kepada diri sendiri dan isterinya. Antara hak yang diperlukan manusia adalah makanan emosi:

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَمْ أُخْبَرْ أَنَّكَ تَصُومُ النَّهَارَ وَتَقُومُ اللَّيْلَ قُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَلَا تَفْعَلْ صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Ertinya:  Abdullah bin 'Amru bin al-‘As berkata Nabi SAW bersabda kepadanya: "Wahai Abdullah, diceritakan orang kepadaku, bahawa engkau berpuasa terus setiap hari dan selalu bangun solat malam." Jawabku, "Benar, Wahai Rasulullah! Aku melakukannya." Rasulullah menyambung: "Janganlah begitu, sebaliknya berpuasa dan berbukalah, bangunlah solat dan tidurlah juga kerana SESUNGGUHNYA DIRIMU MEMPUNYAI HAKNYA, matamu juga mempunyai haknya dan isterimu juga mempunyai haknya (Sahih al-Bukhari).

Keperluan emosi yang mahu bercantik dan berhias turut disebut dalam ayat lain:

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan UNTUK MENJADI PERHIASAN; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Nahl [16:8]).

Nabi Sulayman AS sendiri pun menyapu mesra kuda perangnya. Dalam bicara emosi, sapu adalah satu terapi yang boleh menggembirakan jiwa:

وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ (30) إِذْ عُرِضَ عَلَيْهِ بِالْعَشِيِّ الصَّافِنَاتُ الْجِيَادُ (31) فَقَالَ إِنِّي أَحْبَبْتُ حُبَّ الْخَيْرِ عَنْ ذِكْرِ رَبِّي حَتَّى تَوَارَتْ بِالْحِجَابِ (32) رُدُّوهَا عَلَيَّ فَطَفِقَ مَسْحًا بِالسُّوقِ وَالْأَعْنَاقِ (33)

Ertinya: Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari. (Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: " Sesungguhnya aku mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan kerana mengingati Tuhanku (janji Allah tentang kepentingan jihad dan kemuliaan kuda sebagai alat berjihad), sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam". (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): " Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka baginda pun “TAMPIL MENYAPU BETIS DAN LEHER KUDA ITU (SEEKOR DEMI SEEKOR)” (Sad[38:30-33]).
 
Al-Quran adalah Kalam Allah yang maha sempurna. Islam pula sebuah agama sempurna yang selari dengan fitrah manusia. Jika manusia memerlukan makanan untuk ketiga komponen tubuhnya, Islam membentuknya dalam acuan yang betul dan tepat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...