Sunday, May 17, 2015

KISAH ORANG ANTAKIYAH DALAM SURAH YASIN

KISAH ORANG ANTAKIYAH DALAM SURAH YASIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:13-17]) pada 15 Mei 2015. Antara isunya adalah kisah kedegilan penduduk Antakiyah dalam surah Yasin.

“Antakiyah?Apa tu?”

Sudah lama surah Yasin dibaca, tapi ramai juga yang kebingungan apabila nama Antakiyah dibangkitkan. Apa kaitan Antakiyah dengan Yasin? Tambah kehairanan apabila disusulkan pula soalan siapa 3 utusan Allah yang dihantar kepada penduduk Antakiyah. Jika kebingungan dan kehairanan itu turut sama menyelubungi anda pada saat awal membaca nota ini, bermakna anda perlu melakukan “over-haul” menyeluruh dengan cara interaksi anda dengan al-Quran, “LEBIH-LEBIH LAGI SURAH YASIN YANG SUDAH SEKIAN LAMA DIBACA.” Jangan hanya kekal menjadi burung “kakak tua” dari muda sampai ke tua. Bacalah Tafsir surah Yasin dan kenalilah isinya kerana itulah matlamat asal al-Quran diturunkan.

Surah Yasin turunnya di Mekah untuk menegur orang Mekah yang degil menolak dakwah Rasulullah SAW. Kadangkala manusia degil hanya faham bahasa amaran. Oleh itu Allah membawakan kisah malang kemusnahan penduduk sebuah negeri yang sekapal akidahnya dengan penduduk Mekah.

Para ulama Tafsir menamakan negeri ini sebagai ANTAKIYAH. Tiga utusan Allah itu pula diperselisihkan oleh para ulama, namun yang paling masyhur menyatakan mereka bertiga adalah wakil nabi Isa AS yang bernama Sadiq, Masduq dan Salum (Tafsir al-Tabari). Nama Antakiyah juga seakan mirip sebuah tempat di Turki yang bernama Antakya. Ia pernah menjadi tempat perkembangan agama Kristian. Yang pasti perincian nama kisah mereka dikategorikan sebagai Isra’iliyyat kategori ketiga (kisah bersumber dari periwayatan Ahli Kitab yang tak dapat dipastikan kesahihannya). Boleh sahaja perincian nama mereka disebut atau diabaikan kerana ia bukan matlamat asal yang mahu diutarakan Allah:

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ (13) إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُمْ مُرْسَلُونَ (14) قَالُوا مَا أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا وَمَا أَنْزَلَ الرَّحْمَنُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ (15) قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّا إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ (16) وَمَا عَلَيْنَا إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ (17)

Ertinya: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang dikatakan ANTAKIYAH) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami), Ketika Kami mengutus kepada mereka “DUA ORANG RASUL” lalu mereka mendustakannya; kemudian “KAMI KUATKAN (KEDUA RASUL ITU) DENGAN RASUL YANG KETIGA”, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '. Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu, "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata" (Yasin [36:13-17]).

Kedegilan mereka sangat dahsyat sehingga terpaksa diutus sampai 3 utusan mengetuk minda syirik mereka. Apa pengajaran kisah ini untuk manusia moden seperti kita? Mudah sahaja, “JANGAN SEKALI-KALI KITA MENJADI DEGIL SEPERTI PENDUDUK ANTAKIYAH ATAU MEKAH.” Sungguh pada zaman ini bukan lagi “3 ORANG WAKIL ALLAH” diutus untuk membimbing kita, tetapi sudah beribu ulama’ dalam beribu medium. Tidak cukup dengan itu, segala bagai teknologi moden tambah memudahkan kita mengenal dan mematuhi arahan Allah.

Marilah kita dengan membaca al-Quran bersama tadabbur dan penghayatan. Sungguh malang jika sudah lama bergelar “HAFIZ YASIN” tapi gagal menghadam isinya sebagaimana yang dikehendaki Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...