Wednesday, May 6, 2015

DOA SYUKUR NABI SULAYMAN AS YANG SARAT HIKMAH

DOA SYUKUR NABI SULAYMAN AS YANG SARAT HIKMAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:19]) pada 5 Mei 2015. Antara isunya adalah kisah doa syukur nabi Sulayman AS berikutan ni’mat Allah yang berganda padanya.

Nabi Sulayman AS pasti akan mengungguli carta dunia, sekiranya nama baginda dimasukkan dalam senarai jutawan yang pernah wujud di dunia. Qarun, Fir’awn, Bill Gates, Robert Kuok atau Ananda Krishnan pasti jauh tercicir di belakang jika mahu dibandingkan dengan kuasa dan harta nabi Sulayman AS. Lautan kuasa dan harta tidak langsung memabukkan baginda, bahkan semakin menenggelamkan nabi Sulayman AS dalam lautan syukur kepada Allah. Martabat syukur baginda yang sangat tinggi ini diabadikan dalam al-Quran untuk menjadi tatapan dan ikutan kita:

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" WAHAI TUHANKU, ILHAMKANLAH DAKU SUPAYA TETAP BERSYUKUR AKAN NIKMATMU YANG ENGKAU KURNIAKAN KEPADAKU DAN KEPADA IBU BAPAKU, DAN SUPAYA AKU TETAP MENGERJAKAN AMAL SOLEH YANG ENGKAU REDAI; DAN MASUKKANLAH DAKU - DENGAN LIMPAH RAHMATMU - DALAM KUMPULAN HAMBA-HAMBAMU YANG SOLEH" (al-Naml [27:19]).

Doa baginda AS nampak mudah dan ringkas, namun sarat dengan hikmah agung. Antaranya:

1) Manusia tak mampu bersyukur melainkan dengan bantuan Allah kerana Allah yang memegang hati jantung dan jiwa nurani manusia:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; DAN KETAHUILAH BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENGUBAH ATAU MENYEKAT DI ANTARA SESEORANG ITU DENGAN (PEKERJAAN) HATINYA, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (al-Anfal [8:24]).

2) Baginda AS adalah manusia yang mengenang budi Allah dan budi kedua ibu bapanya. Siapalah kita tanpa rahmat Allah yang menempatkan kita di dunia. Juga siapalah kita tanpa ibu bapa kita.  Pengorbanan ibu bapa membesar dan mendidik kita tak mampu ditebus walau dengan emas sebesar bumi sekalipun. Teguran Rasulullah SAW kepada seorang lelaki yang terlalu berkira dengan ayahnya sangat benar dan menginsafkan:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ
أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي فَقَالَ أَنْتَ وَمَالُكَ لِأَبِيكَ

Ertinya: Jabir bin Abdullah RA menceritakan seorang lelaki mengadu: Wahai Rasulullah, aku memiliki harta dan anak. Ayahku pula mahu mengambilnya (untuk urusannya). Baginda SAW menegaskan: KAMU DAN HARTAMU ITU ADALAH MILIK AYAHMU (Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

3) Baginda juga sangat merendah diri apabila memohon agar dibantu beribadat kepada Allah kerana baginda tahu Allah yang memudahkan laluan ibadat hambaNya. Boleh sahaja rasa lazat ibadat dicabut dari mana-mana hambaNya. Tercabutnya kelazatan dan kerajinan ibadat adalah musibah agama yang perlu ditangisi.

4) Baginda juga sangat berharap agar MEMPEROLEHI RAHMAT ALLAH dengan kurniaan syurga bersama orang yang soleh. Ini bukti bahawa seseorang manusia hanya akan ke syurga dengan rahmat Allah dan Rahmat Allah itu menjadi mudah alirannya apabila kita rajin beribadat.

Subhanallah! Walaupun doa ini sangat pendek, isi dan hikmahnya melaut luas. Rugi sekali mana-mana manusia yang tenggelam dalam ni’mat Allah tapi tidak tahu bersyukur. Ada juga manusia dangkal yang terlalu berkira untuk bersyukur. Mereka bertangguh untuk bersyukur kerana mendakwa belum dikurniakan kekayaan sebagaimana kehendak hatinya. Masya Allah! Usahlah bicara panjang, sedutan oksigen yang percuma itu sudah cukup mewajibkan kita bersyukur kepada Allah seumur hidup kita. Belum lagi ni’mat mata, hidung, telinga, akal dan sebagainya. Jika mahu dihitung segala ni’mat Allah kepada kita di dunia ini, pastinya kita wajib memaku langsung kepala kita ke lantai bersujud syukur kepada Allah seumur hidup kita. Ya Allah! Bantulah kami agar senantiasa bersykur padamu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...