Thursday, May 14, 2015

BALQIS RATU YANG PINTAR, MAHIR SEJARAH DAN BIJAK POLITIK

BALQIS RATU YANG PINTAR, MAHIR SEJARAH DAN BIJAK POLITIK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:29-3516-17]) pada 12 Mei 2015. Antara isunya adalah bukti kebijaksanaan ratu Saba’ (Balqis) dalam pentadbirannya.

Selain para rasul dan nabi, bukan semua orang bertuah kisahnya disebut dalam al-Quran. Kisah mereka menjadi bacaan, pujian, “kutukan”, tauladan, kenangan dan “celaan” jutaan manusia sehingga kiamat. Jika kisah mereka disebut dalam al-Quran, bererti hidup mereka ada pengajaran besar untuk dipelajari manusia. Lihat sahaja Luqman al-Hakim, Allah mengajar kita cara terbaik mendidik anak. Begitu juga kisah Habib al-Najjar dalam surah Yasin dan pemuda bijaksana dalam surah al-Buruj yang sanggup berkorban nyawa demi agama. Tidak kurang juga kisah manusia jahat seperti Fir’awn, Qarun dan Namrudh, melalui kisah mereka Allah mengajar kita agar jangan angkuh sombong dengan sedikit pinjaman kuasa dan harta yang diberi. Tidak kurang juga kisah Maryam yang menjadi lambang kesucian sebenar seorang wanita yang wajib dijadikan ikutan oleh seluruh anak perempuan nabi Adam.

Antara wanita istimewa lagi bertuah yang disebut namanya dalam al-Quran adalah Ratu Saba’. Menurut riwayat Isra’iliyyat sang ratu ini bernama Balqis binti Syarahil bin Malik bin al-Rayyan (Tafsir Ibn Kathir). Kisahnya dalam al-Quran bukan hanya cerita pengulet tidur yang kosong tetapi mempunyai gambaran bahawa seorang pemimpin perlu berisi penuh dengan ilmu dan terbuka untuk berbincang. Kisah Balqis juga menunjukkan kepentingan “Syura” dalam mencapai sesuatu keputusan:

قَالَتْ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ إِنِّي أُلْقِيَ إِلَيَّ كِتَابٌ كَرِيمٌ (29) إِنَّهُ مِنْ سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (30) أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ (31) قَالَتْ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَفْتُونِي فِي أَمْرِي مَا كُنْتُ قَاطِعَةً أَمْرًا حَتَّى تَشْهَدُونِ (32) قَالُوا نَحْنُ أُولُو قُوَّةٍ وَأُولُو بَأْسٍ شَدِيدٍ وَالْأَمْرُ إِلَيْكِ فَانْظُرِي مَاذَا تَأْمُرِينَ (33) قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً وَكَذَلِكَ يَفْعَلُونَ (34) وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِمْ بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ (35)

Ertinya: Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya". Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan. RAJA PEREMPUAN ITU BERKATA: "SESUNGGUHNYA RAJA-RAJA, APABILA MASUK KE SEBUAH NEGERI, MEREKA MEROSAKKANNYA, DAN MEREKA MENJADIKAN PENDUDUKNYA YANG MULIA HINA-DINA; DAN SEDEMIKIAN ITULAH MEREKA AKAN LAKUKAN. "DAN BAHAWA AKU HENDAK MENGHANTARKAN HADIAH KEPADA MEREKA, KEMUDIAN AKU AKAN MENUNGGU, APAKAH BALASAN YANG AKAN DIBAWA BALIK OLEH UTUSAN-UTUSAN KITA" (al-‘Ankabut[27:32-35]).

Telahan sang ratu mengenai akibat buruk yang bakal ditanggung mangsa perang dan keputusannya menghantar umpan hadiah sebagai balasan kepada surat Sulayman jelas menunjukkan kualiti ilmu sejarah yang dimilikinya dan kepintarannya dalam diplomasi dan politik antarabangsa. Sangat sesuai kemakmuran Saba’ yang digambarkan Hud-hud dalam laporannya dengan pemimpin yang berilmu dan pintar seperti ini.

Lalu ada yang bertanya, bolehkah wanita menjadi pemimpin tertinggi? Sedangkan kebanyakan ulama menegah kepimpinan tertinggi dipegang wanita (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari). Tegahan itu disebut sebuah hadith:

لَمَّا بَلَغَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ أَهْلَ فَارِسَ قَدْ مَلَّكُوا عَلَيْهِمْ بِنْتَ كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً

Ertinya: Apabila baginda Rasulullah SAW mendapat berita bahawa orang Farsi melantik wanita sebagai raja mereka, baginda bersabda: SESUATU KAUM YANG MELANTIK WANITA SEBAGAI PEMIMPIN (TERTINGGI) TIDAK AKAN BERJAYA (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Tirmidhi).

Kisah pemerintahan Balqis dalam surah al-Naml mungkin tidak sesuai dengan syariat nabi Muhammad SAW sebagaimana hadith di atas, namun begitu prinsip “ilmu sebagai kelengkapan asasi seseorang pemimpin” tetap sama lagi releven sehingga kiamat. Inilah caranya melestarikan kisah al-Quran dalam kehidupan kita, hadam prinsipnya bukan sekadar kisah. Jika begini cara mata kita menelaah kisah al-Quran barulah ia menjadi panduan dan ubat kita sepanjang masa, Insya Allah!

Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...