Thursday, April 30, 2015

WARISAN DATUK NENEK DAN KUASA INI PERLU DIJAGA

WARISAN DATUK NENEK DAN KUASA INI PERLU DIJAGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:20]) pada 6 Mei 2015. Antara isunya 2 alasan yang diberi Fir’awn untuk menolak seruan nabi Musa AS. 

Musa AS ikhlas menegur kerana melihat akhlak dan akidah Fir’awn sudah terlalu kronik. Perlu segera diselamatkan, jika tidak pasti nerakalah tempatnya. Lain pula pandangan Fir’awn;  Musa sedang mengatur helah mahu merampas kuasa, melanggar tradisi dan mengubah agama warisan datuk nenek moyang. Oleh itu, dia perlu disekat walau apa sahaja caranya.  Ini masalah mata manusia yang sudah dikaburi kuasa, teguran dianggap ancaman:

قَالُوا أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آَبَاءَنَا وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاءُ فِي الْأَرْضِ وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Mereka pula berkata: "Adakah engkau datang (wahai Musa) (1) UNTUK MEMESONGKAN KAMI DARI PENYEMBAHAN BERHALA YANG KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MELAKUKANNYA, DAN (2) UNTUK MEMBOLEHKAN KAMU BERDUA BERLAKU SOMBONG SEWENANG-WENANG (MEMBOLOT KEKUASAAN) DI BUMI (MESIR)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua" (Yunus[10:78]).

Menarik sekali lafaz yang diguna Fir’awn dalam ayat ini iaitu - وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاءُ - DAN UNTUK MEMBOLEHKAN KAMU BERDUA BERLAKU SOMBONG SEWENANG-WENANG (MEMBOLOT KEKUASAAN). Para raja dan pembesar sesebuah negara mudah berlaku sombong dan bertindak wewenang kerana kuasa yang mereka miliki. Dengan kuasa di tangan dalam sebuah empayar atau negara, yang haram menjadi halal, yang jahat nampak mulia dan yang rakus nampak berhemah. Jarang sekali kita berjumpa orang bawahan berkasta rendah berlaku sombong dan wewenang secara terbuka kerana mudah sekali kerakusan si miskin dipangkas. Bimbang sungguh Fir’awn, kehadiran Musa bakal meragut peluangnya sebagai “Tuhan” di bumi Mesir. 

Rupanya kebimbangan yang menjadi sebab penentangan seperti ini bukan hanya berlaku pada nabi Musa, tetapi turut menjadi lumrah perjuangan para Rasul lain. Saksikan hukum alam ini:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَنْ نَتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا أَوْ أَنْ نَفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ

Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu atau agamamu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud[11:87]).

Juga jawapan pembesar kaum nabi Nuh:

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آَبَائِنَا الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu (al-Mu’minun[23:24]).

Rasulullah SAW pun dianggap biadab kerana berani mengubah tradisi warisan penduduk Mekah:

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آَيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالُوا مَا هَذَا إِلَّا رَجُلٌ يُرِيدُ أَنْ يَصُدَّكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آَبَاؤُكُمْ وَقَالُوا مَا هَذَا إِلَّا إِفْكٌ مُفْتَرًى وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ إِنْ هَذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ

Ertinya: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata" (Saba’[34:43]).

Kesimpulannya, walau di posisi mana pun anda berada, bukalah minda dan hati untuk menerima teguran kerana sesetengah teguran adalah ubat berguna walau pahit. Teguran sangat berguna untuk membaiki cacat kita. Umpamanya sedang kita berjalan, mata ramai tertumpu pada kita secara luar biasa. Kita pun berasa megah dan kembang dada tanpa tahu sebenarnya mata ramai jijik melihat najis yang melekat pada belakang kita. Mata kita pula tak mampu melihat kecacatan itu. Jika ada yang bermurah hati menegur tentang tempelan najis itu janganlah pula kita menganggapnya suatu ancaman yang berhasrat merampas tumpuan mata ramai kepada kita. Ya Allah! Berikan kami kekuatan mendengar dan menerima teguran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...