Tuesday, April 14, 2015

LUASKAN SKOP ULAMA

LUASKAN SKOP ULAMAy
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (Fatir [35:18]) pada 10 April 2015. Antara isunya adalah keluasan skop ulama menurut bicara al-Quran serta pujian Allah kepada mereka.
Bagi seorang bayi berusia setahun, ular tedung selar yang tegak mengembangkan kepalanya kelihatan sangat indah dan menarik. Mahu sahaja disambar kepala sang ular dibuat permainan atau dimasukkan ke dalam mulut. Berbeza pula dengan si ibu, ular tersebut sangat digeruninya. Usahkan memegang, mendekatinya pun sudah HARAM. Itulah perbezaan persepsi antara si bayi dan si ibu. Apa yang pasti, pandangan si bayi sangat salah dan bahaya, manakala pandangan si ibu sangat tepat dan selamat.
Bukanlah saya mahu samakan Allah dengan ular. Maha suci Allah dari segala kekurangan dan keburukan, cuma itulah analogi pandangan antara manusia jahil dan para ilmuan. Manusia jahil tidak nampak salahnya melanggar larangan atau mencuaikan suruhan Allah kerana mereka tidak kenal siapa Allah dan apakah impaknya di akhirat kelak. Lain halnya orang berilmu, mereka gentar takut dan harap pada Allah. Amaran tentang kehebatanNya dijelaskan ayat ini:
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِنْ سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Ertinya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. DAN ALLAH PERINTAHKAN SUPAYA KAMU BERINGAT-INGAT TERHADAP KEKUASAAN DIRINYA (MENYEKSA KAMU). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya (Ali ‘Imran[3:30]).
Dalam al-Quran, Allah memang memuji para ilmuan, pakar dan saintis sebagai manusia yang paling takutkanNya. Jika dilihat pada keseluruhan ayat yang membicarakan perihal kualiti takut atau gentar orang berilmu, Allah menyebut berbagai bidang ilmu dan bukan hanya terbatas pada ilmu agama:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ (27) وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (28)
Ertinya: Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun (Fatir [35:27-28]).
Dalam ayat ini Allah menyebut beberapa bidang ilmu seperti ilmu kaji cuaca (meterologi), ilmu tumbuhan (botani), ilmu kaji bumi (geologi), ilmu kemanusiaan (sosiologi) dan ilmu kaji haiwan (zoology). Apa signifikannya di sebalik penyataan berbagai bidang ilmu berkaitan dalam ayat tersebut? Sefaham saya, Allah ingin menyatakan apa sahaja ilmu yang dikembalikan kehebatannya kepada Allah akan membuahkan  "حشية"atau gentar kepadaNya. Pakar dalam berbagai bidang ilmu yang dinyatakan ayat tersebut juga selayaknya digelar “ULAMA” dan bukan hanya terhenti pada ilmuan agama. Inilah juga yang disebut oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam Fatwa al-Azhar. Bahkan bicara ilmuan agama akan bertambah kukuh jika diganding segala ilmu moden.

Sungguh, semua ilmu berasal dari LUBUK YANG SATU iaitu ALLAH TUHAN YANG MAHA MENGETAHUI. Sepatutnyan tiada lagi persepsi “ini ilmu Islam yang wajib dipelajari dan itu ilmu sekular yang tidak perlu didalami.” Mana mungkin mengira harta Faraidh tanpa ilmu matematik? Mana mungkin membina Masjid tanpa ilmu kejuruteraan. Mana mungkin mengira waktu solat, saat mula Puasa dan Haji tanpa ilmu Falak serta Astronomi. Mana mungkin merawat badan yang sakit menggangu ibadah tanpa ilmu perubatan. Mana mungkin hidup maju bercucuk tanam membekal makanan kepada manusia tanpa ilmu Botani. Mana mungkin? Mana mungkin dan memang tidak mungkin.
Semoga bicara ini mengalakkan semua Muslim agar berterusan mendalami segala ilmu Allah yang terbentang di alam semesta tanpa pemisahan. Dengan roh ilmu sebegini, kegemilangan umat Islam lampau yang menerajui dunia sebagai “PENCIPTA” akan berulang. Insya Allah.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...