Wednesday, April 1, 2015

JANGAN SAMPAI KITA MENJADI SEBAB ORANG LAIN TERUJI

JANGAN SAMPAI KITA MENJADI SEBAB ORANG LAIN TERUJI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sekali lahir ke dunia, tiada lagi mimpi indah semuanya akan baik dan sempurna sahaja. Tidak lain kerana Allah sendiri mewartakan hidup di dunia ini adalah pentas UJIAN:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آَتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani(al-An’am [6:165]).

Selain itu, Allah juga menyatakan bahawa KEPELBAGAIAN serta KERENCAMAN PERANGAI MANUSIA bakal menjadi ujian antara mereka. FirmanNya:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ الطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِي الْأَسْوَاقِ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا

Ertinya: Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, DAN KAMI JADIKAN SEBAHAGIAN DARI KAMU SEBAGAI UJIAN DAN CUBAAN BAGI SEBAHAGIAN YANG LAIN, SUPAYA TERNYATA ADAKAH KAMU DAPAT BERSABAR (MENGHADAPI UJIAN ITU)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya) (al-Furqan [25:20]).

Bagaimana ujian itu? Si sakit menjadi ujian kepada si sihat yang terpaksa menjaganya. Si miskin menjadi ujian kepada si kaya yang perlu membantu si miskin. Si miskin teruji rasa hasad dengkinya dengan kemewahan si kaya. Si jahil menjadi ujian kepada si alim. Si alim teruji kesabarannya menegur dan mendidik si jahil yang degil.

Yang lebih utama dan penting adalah janganlah pula kebebalan dan akhlak buruk kita menjadi sebab orang lain teruji. Berapa banyak kita lihat, masyarakat menanggung susah kerana ada segelintir si bodoh dalam masyarakat yang menghembuskan racun dari asap rokok mereka di tempat awam. Lalu orang di sekeliling dipaksa menyedut asap yang langsung bertukar menjadi penyakit.

Berapa ramai juga manusia tak bersalah merana terkurung dalam rumah atau hospital menghidap denggi kerana ada segelintir pengotor dalam masyarakat yang menjadi penternak nyamuk jaya tanpa tauliah.

Berapa banyak juga Muslim yang tak berakhlak memburukkan imej Islam. Lalu orang bukan Islam menjadikan Islam sebagai musuh mereka atau agama terakhir yang mahu didekati. Kata mereka: “Islam adalah agama buruk, ganas dan serba tak kena kerana saya sering sakit hati melihat perangai buruk orang Islam.” Dialog ini sangat mendalam parutnya sehingga turut menyukarkan para pendakwah menyebarkan keindahan Islam.

Jika mahu membuat pilihan, pilihlah untuk berjaya dalam ujian hidup dan BUKANNYA MENJADI SEBAB ORANG LAIN TERUJI ATAU MERANA kerana kerenah kita. Mohon dijauhkan Allah sejauh mungkin. Sejauh langit dan bumi. Sejauh syurga dan neraka. Sejauh Fir’awn dan Musa. Amin.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...