Monday, April 20, 2015

FAHAM HUDUD DARI SUDUT MANGSA BUKAN PEMANGSA

FAHAM HUDUD DARI SUDUT MANGSA BUKAN PEMANGSA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:38-39]) pada 16 April 2015. Antara isunya adalah keadilan hudud akan terserlah setelah dilihat dalam kaca mata trauma si mangsa.

Kerugiannya cuma RM 300 tapi traumanya menyucuk jiwa selama berbulan-bulan. Masih segar dalam ingatan pada hari Khamis 15 Mac 2010 rumah saya dimasuki pencuri dek kerana kecuaian saya terlupa mengunci pintu dapur. Mujur si pencuri masuk seketika tanpa menyentuh saya, isteri dan anak-anak. Pun begitu, anak sulung saya yang pada waktu itu berusia 10 tahun diacu pisau oleh si pencuri, namun Mujtaba buat-buat tidur sambil hatinya membaca segala macam doa yang dihafaz. Si pencuri kemudiannya melompat ke rumah jiran sebelah dan beliau kerugian lebih RM 20 ribu.

Selepas peristiwa itu trauma isteri saya cukup dahsyat. Hampir berbulan beliau tidak lena tidur. Bayangkan, itu baru trauma rumah dimasuki pencuri. Bagaimana jika pencuri bertindak melampaui batas mencederakan tuan rumah? Impak trauma pasti kekal seumur hidup. Setelah melihat trauma mangsa curi, pasti kita akan bangun segera menyokong pelaksanaan Hudud sebagaimana disebut Allah:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (38) فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (39)

Ertinya: “DAN PENCURI LELAKI SERTA PENCURI PEREMPUAN MAKA (HUKUMNYA) POTONGLAH TANGAN MEREKA SEBAGAI SATU BALASAN DENGAN SEBAB APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN, (JUGA SEBAGAI) SUATU HUKUMAN PENCEGAH DARI ALLAH.” Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Ma’idah [5:38-39]).

Sama juga, bukan Islam yang begitu takut dengan pelaksanaan Hudud akan bangun mempertahankan Hudud apabila mereka menjadi mangsa. Saya sendiri menyaksikan fitrah bukan Islam berbicara. Pada suatu hari, saya melihat sendiri “keberangan tauke cina” di pasar borong Selayang setelah paket besar minyak masaknya dicuri di depan mata.

Kisahnya, seorang pekerjanya meninggalkan bekalan minyak masak yang baru sampai dengan boot van terbuka tanpa kawalan. Sejurus itu sebuah motosikal datang menyambar bungkusan paket minyak masak dan melarikannya. Si tauke sangat marah lalu berkata: “Bodoh punya orang! Minyak masak dahlah mahal sekarang, susah mahu cari! Sekarang ada orang bodoh pula kasi curi. Kalau dapat tangkap nanti GUA KASI PATAH DIA PUNYA TANGAN!”

Saya menyampuk: “Itulah sebabnya Islam cakap kalau curi hukumannya kena potong tangan!”

Peniaga Cina itu pun menambah: “Ya betul! Kalau dapat tangkap kasi potong dia punya tangan, biar padan muka!”

Sesetengah manusia sombong yang busuk mulutnya menentang Hudud seperti potong tangan dan sebat dengan berbagai label negative pasti akan menukar mazhabnya setelah dia sendiri menjadi mangsa. Inilah kehebatan Allah, bicaranya benar walau tampak buruk pada mata manusia.

Sama juga pada hukum Hudud yang lain seperti Zina, Qazaf, minum arak dan sebagainya. Bayangkan penzina itu adalah isteri atau suami kita? Bayangkan mangsa tuduhan palsu pada qazaf yang mencemar maruahnya satu dunia adalah diri kita sendiri atau keluarga terdekat? Bayangkan mangsa langgar mati si mabuk arak adalah anak kita? Adakah kita masih sanggup mengatakan hukum Allah ini lapuk? Primitif dan barbaric? Mulut boleh menolak, namun fitrah kemanusiaan anda sebagai manusia pasti tunduk kepada kebenaran hukum Allah. Inilah sudut keadilan Islam yang sepatutnya dipamerkan.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...