Wednesday, April 15, 2015

ALLAH MEMANGGIL MANUSIA PULANG DENGAN MUSIBAH

ALLAH MEMANGGIL MANUSIA PULANG DENGAN MUSIBAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Sajdah [32:21]) pada 14 April 2015. Antara isunya adalah kesatuan antara syariat nabi Muhammad SAW dan Musa AS.

Manusia banyak jenis. Ada yang lembut hatinya bak air, sekali sentuh terus berkocak. Ada yang liat, disiram berkali-kali baru lembut. Ada juga yang keras membatu. Kalau setakat sentuhan manja atau siraman air panas pun masih belum terjejas kerasnya. Hanya tukul besi sahaja mampu memecahkan egonya. Kadang kala bagi manusia jenis batu, hatinya hanya akan bergetar setelah dilanda taufan musibah atau menerima tamparan hebat dari Allah:

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), SUPAYA MEREKA RUJUK KEMBALI BERTAUBAT (al-Sajdah [32:21]).

Asalnya ayat ini bertujuan menyedarkan Musyrikin Mekah yang degil menolak Islam bawaan Rasulullah SAW. Berbagai azab menimpa mereka seperti kemarau, kesusahan dan kekalahan dalam perang Badar (Tafsir al-Jalalayn). Benar! Ramai yang tersentak sedar akibat musibah tersebut lalu menerima Islam seperti Khalid bin al-Walid, ‘Amru bin al-‘As, Ikrimah bin Abu Jahal, ‘Abbas bin Abdul Mutalib, Abu Sufyan, Mu’awiyah dan beberapa yang lain.

Dalam ayat lain juga Allah berfirman dengan nada yang sama:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Ertinya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, SUPAYA MEREKA KEMBALI (INSAF DAN BERTAUBAT) (al-Rum [30:41]).

Kedua ayat bersatu pada lafaz hujungnya yang datang dalam “Adat al-Tarajjiy” atau perkataan yang membawa maksud harapan – لعل  - mudah-mudahan. Sebarang ayat yang disebut dengan lafaz ini mampu dicapai oleh manusia yang berusaha. Ringkasnya keinsafan dan kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan MEMANG TERBUKA DAN MAMPU DICAPAI MANUSIA DERHAKA apabila menerima musibah dan azab duniawi.

Allah tidak zalim kerana menjentik manusia degil dengan kasar. Allah sebenarnya sangat sayang hambaNya kerana masih memberi peluang dengan teguran musibah. Ia samalah seperti sayang ibu bapa terhadap anaknya yang degil. Rotan si ayah bukan kerana benci tapi demi untuk mendidik dan menyedarkan anak yang sangat degil melawan agar tidak memudaratkan diri. Selepas ini, apabila berlaku musibah, bersyukurlah kerana ia satu manifestasi teguran dan kecaknaan Allah pada kita. Sabda Rasulullah SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Ertinya: Tiadalah menimpa seorang Islam sesuatu kepayahan, kesakitan, kesedihan, kedukaan, penindasan, sehinggalah sepotong duri yang nenikamnya melainkan Allah akan menghapuskan dengannya(kesusahan itu) dosa-dosanya (Sahih al-Bukhari).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...