Friday, April 10, 2015

AL-QURAN BUKAN TANDINGAN SYAITAN

AL-QURAN BUKAN TANDINGAN SYAITAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota kelas Tafsir Selasa (al-Syu'ara'[26:210-212]). Antara isunya jawapan Allah terhadap tuduhan musyrikin Mekah yang mendakwa Rasulullah SAW mencipta al-Quran dengan seliaan syaitan.

Usahkan membawa atau mencipta satu patah ayatnya, mendekatinya pun sudah terbakar. Jika syaitan itu "kuman", al-Quran adalah "antibiotik berkuasa" yang mampu membunuhnya tanpa bekas. Mana mungkin kuman yang jahat bersahabat dengan ubat yang pasti membunuhnya. Allah menegaskan:

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ (210) وَمَا يَنْبَغِي لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ (211) إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ (212)

Ertinya: Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan. Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya. Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat ([26:210-212]).

Bersungguh benar Musyrikin Mekah menyanggah dakwah Rasulullah SAW. Setelah banyak hujah mereka dipatahkan, mereka beralih kepada tuduhan Rasulullah bersekongkol dengan syaitan mencipta al-Quran. Imam Ibn Kathir menolak tuduhan mereka dengan 3 hujah (Tafsir Ibn Kathir):

1) Al-Quran isinya “putih dan positif” sahaja, manakala syaitan sifatnya hanya “hitam dan negatif” sahaja. Menyatukan keduanya seumpama mengatakan si bakhil adalah pemurah atau orang soleh adalah kaki maksiat. Syaitan adalah perosak yang kotor lagi jahat, sedang al-Quran adalah penyelamat manusia. Malahan Rasulullah menyebut maki hamun kita kepada syaitan akan menguatkan mereka kerana ia adalah."MAKANAN RUJI DAN VITAMIN MEREKA." Sabda Rasulullah:

عَنْ رَجُلٍ قَالَ كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَثَرَتْ دَابَّةٌ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَقَالَ لَا تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Ertinya: Seorang berkata. Aku menaiki kenderaan di belakang Rasulullah SAW. Kenderaanku (unta) tiba-tiba mengamuk, lalu aku berkata “CELAKALAH SYAITAN.”
Rasulullah SAW pun bersabda, “Janganlah kamu menyebut “Celakalah syaitan,” kerana jika kamu berkata demikian, dia akan (angkuh) membesar sehingga sebesar sebuah rumah dan dia berkata, “Demi kekuatanku, saya (akan menjatuhkan orang itu), tetapi jika kamu menyebut “DENGAN NAMA ALLAH” syaitan akan mengecil sampai menjadi sekecil lalat (Sunan Abu Dawud, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim).

2) Mereka tak mampu menanggung kehebatan isi al-Quran. Usahkan syaitan, gunung yang kukuh pun dimetaforakan bakal runtuh dek hebatnya “kuasa al-Quran.”

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآَنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya (al-Hasyr [59:21]).

3) Syaitan langsung tidak akan mampu menghampiri pusat al-Quran di langit. Sebarang cubaan mengintai berita langit pasti bakal berakhir dengan “tarikh mati” bagi mereka kerana bakal dikejar oleh panah berapi. Perlu dingat, sebelum pengutusan Rasulullah SAW, jin dan syaitan mampu mendaki ke langit mencuri berita langit:

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا (8) وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ
فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا (9)

Ertinya: `Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. `Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); MAKA SEKARANG SESIAPA YANG CUBA MENDENGAR, AKAN MENDAPATI API YANG MENYALA YANG MENUNGGU MEREJAMNYA (al-Jinn[72:8]).

Rupanya tuduhan ini diambil dari kebiasaan Arab Jahiliah. Para pawang pada zaman jahiliah memiliki kemampuan meramal secara tepat kerana mereka berdamping dengan jin dan syaitan. Bahkan manusia keji yang mengaku Rasul seperti Musaylamah al-Kazzab juga disebut sebagai seorang pawang (Tafsir al-Munir).

Ayat di atas juga menjadi hujah yang sangat kuat menolak dakwaan Rasulullah SAW pernah terpedaya menambah dua patah ayat memuji berhala dalam kisah al-Gharaniq. Al-Gharaniq adalah 3 berhala utama Mekah iaitu al-Lata, al-‘Uzza dan Manat. Menurut kisah karut itu, ketika Rasulullah membaca surah al-Najm kepada Musyrikin Mekah, syaitan membisikkan 2 patah tambahan yang bukan dari ayat al-Quran:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّى (19) وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَى (20)”
تلك الغَرَانيق العلى. وإن شفاعتهن  ترتجى”

Ertinya: (Setelah kamu - wahai kaum musyrik Makkah - mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza" - Serta "Manaat" yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)? (al-Najm [53:19-20]).

Dalam makna tambahan yang kononnya diresapi oleh bisikan syaitan kepada Rasulullah, berlaku penambahan 2 ayat syirik “ ITULAH 3 BERHALA YANG TINGGI, DAN SYAFAAT MEREKA SANGAT DIHARAPKAN”(Tafsir Ibn Kathir).

Dengan berpandukan ayat a-Syu’ara’ di atas serta 3 hujah Imam Ibn Kathir, kisah al-Gharaniq ini dipastikan “palsu.” Perincian lanjut mengenai kisah al-Gharaniq boleh dirujuk pada tafsiran surah (al-Hajj[22:52]). Semoga al-Quran yang dianugerahkan Allah kepada kita bakal menguatkan antibodi iman kita bagi menangkis serangan kuman syaitan dan virus nafsu. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...