Friday, April 17, 2015

AL-QURAN ADALAH PENAWAR -BETUL KE?

AL-QURAN ADALAH PENAWAR - BETUL KE?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:57-58]) pada 15 April 2015. Antara isunya adalah fungsi al-Quran sebagai penawar penyakit hati dan rahmat bagi orang beriman.

“Ada Ustaz menyebut Al-Quran itu penawar kepada semua sakit! Tapi kenapa bila saya baca ayat Syifa’ untuk sakit gout di kaki saya, tetap tidak sembuh? Masih berdenyut-denyut? Kenapa ini berlaku sedangkan al-Quran itu mukjizat. Sama ada Ustaz berbohong atau al-Quran itu bukan penawar sakit saya?”

Itu antara soalan “maut” yang selalu didengar dari orang awam. Sesetengah Ustaz yang berkata demikian tidak bercakap kosong tetapi merujuk kepada ayat ini:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Ertinya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur “DARI AL-QURAN AYAT-AYAT SUCI YANG MENJADI UBAT PENAWAR DAN RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADANYA;” dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua: (al-Isra’ [17:82]).

Dalam ayat lain juga Allah mengulang maksud yang sama:

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآَنًا أَعْجَمِيًّا لَقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ آَيَاتُهُ أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آَذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ

Ertinya: Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" “KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): "AL-QURAN ITU, MENJADI (CAHAYA) PETUNJUK SERTA PENAWAR BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN;” dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)" (Fussilat [41:44]).

Al-Quran itu benar dan pasti. Tapi kenapa sakitnya tidak sembuh? Pasti ada sesuatu yang tak kena. Inilah pentingnya alat dalam memperoses sesuatu perkara. Mekanik terbaik pastinya duduk melangut ternganga tidak mampu membaiki sebuah kereta yang rosak tanpa peralatan secukupnya, begitulah juga halnya dengan al-Quran. Ilmu Tafsir seumpama alat atau kunci untuk membuka gedung al-Quran. Sebarang ayat yang mengatakan al-Quran sebagai penawar “PERLU DIBACA BERSAMA” ayat ini:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58)

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu “AL-QURAN YANG MENJADI NASIHAT PENGAJARAN DARI TUHAN KAMU, DAN YANG MENJADI PENAWAR BAGI PENYAKIT-PENYAKIT BATIN YANG ADA DALAM DADA (HATI) KAMU,” dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)" (Yunus [10:57-58]).

Rupanya maksud PENAWAR AL-QURAN BUKAN MERUJUK KEPADA SAKIT FIZIKAL TETAPI SAKIT BATIN ATAU JIWA. Imam ibn Kathir menegaskan maksud al-Quran sebagai penawar:

يذهب ما في القلوب من أمراض، من شك ونفاق، وشرك وزيغ وميل، فالقرآن يشفي من ذلك كله

Ertinya: (al-Quran itu) menghilangkan segala macam penyakit dalam hati, yang terdiri dari syak wasangka, kemunafikan, syirik, sesat dan bengkok (dari kebenaran). Maka al-Quran (merawat dan) menyembuhkan dari semua (penyakit hati itu) keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir).

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana al-Quran boleh menjadi “ubat atau penawar” manusia yang sakit jiwanya:

1) Pengumpat tegar serta manusia bermulut jahat yang memerhati ancaman azab bagi dosa lidah akan berasa gerun dan berfikir panjang sebelum mengumpat. Kegerunan itu mendorongnya berhenti dari aktiviti mengumpat serta mengeji, maka hatinya yang kotor dengan najis mengumpat lama kelamaan akan “DIRAWAT OLEH PEMBACAAN DAN PENGHAYATAN AL-QURAN.”

2) Manusia engkar kiamat yang hidup bermaharajalela tanpa halangan boleh berhenti dari kejahatannya setelah membaca ayat azab dan logic kebangkitan semula dalam al-Quran. Kegerunannya kepada azab akhirat dan pemerhatiannya kepada logic al-Quran “AKAN MERAWAT JIWANYA YANG SAKIT.”

3) Manusia yang menyembah berbagai berhala dan tangkal akan berhenti dari penyembahan mereka setelah memahami logik Allah dalam al-Quran betapa segala macam makhluk selain Allah tak mampu membawa manafaat atau mudarat kepada penyembahnya. Dengan logik itu, hatinya yang bergelumang dengan najis syirik “AKAN DIRAWAT OLEH PEMBACAAN DAN PENGHAYATAN AL-QURAN.”

Dan banyak lagi contoh lain bagaimana al-Quran mampu menusuk hati manusia dengan segala logiknya. Apabila hati manusia bersih, sihat dan tidak sakit maka amanlah masyarakat dan tenanglah Negara.

Pada masa sama, ketiga ayat di atas mengulang “SATU MESEJ YANG SAMA” iaitu “AL-QURAN BERMANAFAAT HANYA KEPADA ORANG YANG BERIMAN.” Al-Quran itu seumpama baja langit yang menyuburkan iman mereka kepada Allah. Bila iman mereka teguh dan subur, apa sahaja perintah Allah mampu dilakukan dan apa sahaja larangan Allah mampu ditinggalkan.

Ada pula yang berkata, bukankah ada riwayat menyebut AL-QURAN JUGA PENAWAR KEPADA SAKIT FIZIKAL seperti kisah jampian seorang sahabat Rasulullah SAW hanya dengan menggunakan surah al-Fatihah sahaja (Sahih al-Bukhari). Benar! Al-Quran mampu menjadi ubat fizikal apabila diganding dengan KUALITI IMAN SI PEMBACA DAN KEIZINAN DARI ALLAH.

Al-Quran seumpama sebilah pedang di tangan pendekar. Pendekar yang “HANDAL BERKUALITI DENGAN PEDANGNYA” mampu mengalahkan seramai mana pun musuh yang datang. Jika yang berlagak pendekar pula yang memegang pedang, mungkin pedangnya bakal menikam diri, jauh sekali mahu mengalahkan musuh. Oleh itu, si pendekar perlu "selalu berlatih dan yakin dengan kemampuan pedangnya, barulah pedang menjadi senjata berguna pada tangannya".

Berimanlah kepada al-Quran secara menyeluruh, bukan hanya pada keindahan khatnya, bukan hanya pada dengung Tajwidnya, bukan hanya pada lenggok merdu Tarannumnya dan bukan juga hanya pada khasiat ayatnya buat menghalau jin syaitan. Berimanlah kepada segala isi kandungannya. Jika begitu iman kita kepada al-Quran, barulah ia benar-benar menjadi ubat kepada jiwa walaupun kita diberitahu Doktor bakal bertemu ajal dalam tempoh sebulan lagi kerana menghidap kanser. Iman kita kepada sabar, usaha ikhtiar, doa, Qada’ dan Qadar Allah yang diulang sebut berkali-kali dalam al-Quran akan menjadikan kita senantiasa tenang. Inilah penawarnya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...