Thursday, March 5, 2015

MENGAPA TIDAK DIBACA SAHAJA 30 JUZUK DI EMPANGAN

MENGAPA TIDAK DIBACA SAHAJA 30 JUZUK DI EMPANGAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Semalam (3 Mac 2015), dalam kelas Tafsir al-Quran Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa,Kuala Lumpur timbul perbincangan hakikat "air dan produk yang didakwa sudah dibacakan 30 juzuk  al-Quran." Saya tegaskan bahawa ayat suci al-Quran memang mukjizat, namun ia tetap bergantung kepada "KUALITI IMAN,IKHLAS, TAQWA DAN SOLEH PEMBACA."

Bayangkan, sahabat nabi SAW hanya membaca al-Fatihah pada air, lalu diberi kepada mangsa sengatan binatang berbisa, mangsa pulih dan sembuh (Sahih al-Bukhari). Jika al-Fatihah dibaca oleh orang lain yang kualiti iman, ikhlas, taqwa dan solehnya sangat nipis, kesannya pasti berbeza.

Apa yang saya faham dari kisah ini, KUALITI IMAN PEMBACA mungkin mempengaruhi hampir 90% kesan kemujaraban air tersebut. Betulkan saya jika saya tersilap dalam pemahaman ini (Sura Madu ).

Al-Quran seumpama sebilah pedang di tangan pendekar. Pendekar yang tinggi kualiti ilmu kependekarannya mampu menggunakan pedang itu untuk mengalahkan walau seramai mana musuh yang datang. Jika yang berlagak pendekar pula yang memegang pedang, silap hari bulan, pedang bakal menikam diri, jauh sekali mahu mengalahkan musuh.

Oleh itu, si pendekar perlu "selalu berlatih dan yakin dengan kemampuan pedangnya, barulah pedang menjadi senjata berguna pada tangannya".

Walaupun begitu, kenyataan salah seorang murid saya begitu "MENYENTAP PERASAAN", katanya:

"Ustaz! Kalau penjual air 30 juzuk betul nak membantu orang dengan jampiannya, MENGAPA TIDAK HANTAR PELAJAR TAHFIZ BACAKAN 30 JUZUK TERUS DI EMPANGAN SELURUH SELANGOR?"

Saya senyap tak terkata. Minda saya juga terfikir, KUALITI AIR TASIK DARUL QURAN, KUALA KUBU BARU pasti sangat tinggi kerana ia saban hari mendengar bacaan al-Quran oleh pelajar Tahfiz Darul Quran. Semoga tiada pula yang berkerumun mengambil air Tasik Darul Quran pula.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...