Sunday, March 29, 2015

LEGASI MALANG DAN SAHAM DOSA BUAT QABIL

LEGASI MALANG DAN SAHAM DOSA BUAT QABIL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [5:27]) pada 26 Mac 2015. Antara isunya adalah kisah pembunuhan pertama yang berlaku dalam sejarah manusia.

Anda hebat? Anda pandai? Jika benar anda pandai dan hebat, sila cipta “NYAWA” supaya ciptaan itu menghilangkan kesedihan ramai orang. Jika benar nyawa boleh dicipta, ia pasti menjadi laris, jauh lebih laris dari produk jampi 30 juzuk. Penciptanya pasti kaya raya sehingga menghembus hingus pun menggunakan RM 1000. Nyawa bukan boleh dibeli di kedai. Ia adalah lambang Ketuhanan dan Kekuasaan Allah. Manusia yang membunuh sebenarnya cuba menyanggah Tuhan dalam tindakannya, seakan berkata “JIKA ALLAH MAMPU MENCIPTA NYAWA, MAKA AKU JUGA TUHAN KERANA MAMPU MENCABUTNYA.” Itulah dialog Namrudh yang sombong ketika berhadapan nabi Ibrahim AS:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آَتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "TUHANKU IALAH YANG MENGHIDUPKAN DAN YANG MEMATIKAN". IA MENJAWAB: "AKU JUGA BOLEH MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim (al-Baqarah [2:258]).

Membunuh adalah jenayah yang sangat besar impaknya. Kematian satu nyawa menjadi sebab “kematian banyak jiwa dan hati yang lain.” Satu jiwa yang terkubur pastinya akan ditangisi oleh seorang ayah, ibu, suami, isteri, anak-anak, saudara mara, sahabat handai, majikan dan pemimpin. Dosa inilah jenayah pertama yang berlaku di bumi:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آَدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآَخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ (27) ………… فَطَوَّعَتْ لَهُ نَفْسُهُ قَتْلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ فَأَصْبَحَ مِنَ الْخَاسِرِينَ (30)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). BERKATA (QABIL):" SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMBUNUHMU…………………..MAKA NAFSU JAHAT (QABIL) MENDORONGNYA (SEHINGGA IA TERGAMAK) MEMBUNUH SAUDARANYA, LALU IA MEMBUNUHNYA. OLEH ITU MENJADILAH DIA DARI GOLONGAN ORANG-ORANG YANG RUGI (al-Ma’idah[5:27 & 30]).

Malang tak terhingga menimpa anak lelaki nabi Adam AS yang membunuh adiknya. Hanya kerana runtunan nafsu amarah, hasad dengki dan rasa tidak puas hatinya Qabil telah terjerat menanggung “LEGASI SERTA SAHAM DOSA MEMBUNUH SEHINGGA KIAMAT.” Sabda Rasulullah SAW:

لَا تُقْتَلُ نَفْسٌ ظُلْمًا إِلَّا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الْأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْ دَمِهَا لِأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ

Ertinya: Mana-mana jiwa yang dibunuh secara zalim, maka dosa penumpahan darah itu akan tertanggung ke atas anak Adam yang pertama kerana dia adalah “ORANG PERTAMA YANG MEMULAKAN JENAYAH MEMBUNUH.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Aduh! Bayangkan sudah berapa ramai manusia terbunuh dalam sejarah manusia? Berapa banyak Perang Dunia yang sudah berlalu? Moralnya, usahlah berhasad dengki terhadap kelebihan orang lain kerana ia sangat bahaya dan menjadi sebab pertama kemurkaan Allah kepada makhluk langit (Iblis) dan menjadi sebab pertama tercetusnya dosa pertama di bumi.

Hati-hati dengan apa yang anda lakukan, bimbang ia menjadi legasi buruk yang membina ikutan busuk sampai kiamat. Sudah banyak banyak contohnya di Malaysia. Jika sebelum ini, rakyat Malaysia belum mengenal rancangan realiti nyanyian TV yang melalaikan banyak pihak, “PENCETUSNYA YANG PERTAMA” akan menanggung dosa atau “pahala [jika ada] dari legasi tersebut. Jika sebelum ini kaki tangan kerajaan tidak mengenal “set karaoke” di akhir majlis keraian rasmi kerajaan, orang pertama yang memperkenalkannya atau “memulakan Sunnah berkaraoke” yang tidak memberi impak positif kepada pembangunan Negara apatah lagi dengan menggunakan bajet kerajaan akan menanggung dosa atau “pahala [jika ada]” atas cetusannya itu. Awasi legasi anda dengan merenung hadith ini:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. “DAN SESIAPA YANG MERINTIS DALAM ISLAM SATU AMALAN YANG BURUK, LALU DIAMALKAN AMALAN TERSEBUT (SECARA MELUAS) SELEPASNYA, MAKA DITULIS BAGINYA “DOSA SEPERTI DOSA ORANG YANG MENGAMALKANNYA SELEPASNYA TANPA DIKURANGI SEDIKITPUN DOSA MEREKA ITU” (Sahih Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...