Saturday, March 21, 2015

"HATI JANTUNG" BUKAN HATI

"HATI JANTUNG" BUKAN HATI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Pagi ini (20 MAC 2015), UIAM bagai dilanggar garuda, sunyi sepi, tidak berpenghuni. Ini penangan Jumaat terakhir minggu cuti Sekolah. Pelajar pula mulai beransur meninggalkan kampus kerana cuti pertengahan semester baru bermula. Tenang sekali menaip di bilik...tiba-tiba mendapat panggilan dari pejabat bawah...

"Ustaz! Minta turun sekejap, tiada siapa di sini yang mampu melayan permintaan Pak Cik ni...jauh datangnya, dari Terengganu!"

Pak Cik ini bukan calang-calang orangnya, seorang Ustaz veteren lepasan al-Azhar. Ustaz Haji Jaafar bin Haji Hasan namanya. Bekas pengajar UNISZA Terengganu. Pada belakang buku yang diminta saya sampaikan kepada perpustakaan UIAM tertulis beliau adalah "Pemegang Sijil Kehormatan dan Pingat Emas" dari Presiden Mesir tahun 1962 kerana mencapai darjat tertinggi BA al-Azhar.

Cakapnya berlapik dalil al-Quran dan al-Sunnah. Isu utamanya, beliau mengatakan terjemahan perkataan QALBUN sudah  sekian lama "DISALAHTERJEMAH" oleh orang Malaysia. QALBUN adalah JANTUNG, manakala KIBDUN adalah HATI.

Sebagai orang tua (79 tahun), pergerakannya terbatas. Dia redah datang ke UIAM bersama cucunya mahu bertanya saluran ke mana harus TEGURAN TENTANG KESALAHAN TERJEMAHAN INI BOLEH DISAMPAIKAN.

Ujar saya: "Mufti Terengganu lah Pak Cik!"

Jawabnya: " Saya dah jumpa tapi tiada apa-apa tindakan."

Untuk memudahkan urusan saya terus mencari nombor Unit Penyelidikan JAKIM. Ceria wajah Pak Cik ini. Mungkin setengah orang malas melayan kerenah beliau yang dirasa "REMEH." Tapi pada saya, perkataanlah yang mewujudkan ayat dan memberi kefahaman. Salah terjemah, salah lah maknanya. Lagipun Ustaz ini pernah berjasa kepada umat Islam Malaysia dahulu dan sudah banyak mendapat ni'mat dan rahmat Allah sebelum saya. Sewajarnya orang yang lebih lama mendapat rahmat Allah dihormati.

Semoga kegigihan dan usaha Pak Cik ini dikira sebagai amal soleh di sisi Allah.

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آَذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

Ertinya; Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada "HATI" yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada (al-Hajj[22:46]).

Terjemahan Pimpinan al-Rahman di atas pun menggunakan HATI - BUKAN - JANTUNG. Jalan tengahnya kata Pak Cik itu adalah "HATI JANTUNG"...bukan HATI kerana HATI ADALAH KIBDUN....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...