Thursday, March 5, 2015

HANYA YANG SUCI LAYAK KE SYURGA

HANYA YANG SUCI LAYAK KE SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:87-89]) pada 24 Februari 2015. Antara isunya adalah kenyataan nabi Ibrahim AS bahawa hanya manusia berhati suci layak ke syurga.

Apa pilihan anda? “YANG BERSIH ATAU YANG KOTOR?” Tanpa perlu dijawab, sudah pasti manusia yang sihat akal fikirannya akan memilih yang bersih dan suci. Fitrah manusia memang sukakan pakaian dan persekitaran yang suci lagi bersih, tetapi tidak ramai pula yang cakna tentang kesucian rohani atau ketulusan hatinya. Mungkin kerana busuknya hati tidak meninggalkan bau hanyir di badan seperti busuknya fizikal. Jika Allah mentakdirkan dosa dan kebusukan hati pendosa meninggalkan bau seperti busuknya fizikal, sudah pasti kita sukar melihat jenayah berlaku di dunia ini. Kesucian hati tidak boleh dipandang enteng kerana ia adalah antara syarat utama kemasukan ke syurga:

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ (87) يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)

Ertinya: "Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula - "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "KECUALI (HARTA BENDA DAN ANAK-PINAK) ORANG-ORANG YANG DATANG MENGADAP ALLAH DENGAN HATI YANG SUCI (selamat sejahtera dari syirik dan penyakit munafik); (al-Syu’ara’ [26:87-89])

Nabi Ibrahim AS adalah manusia pilihan Allah yang sudah pasti “LOT ISTANANYA” dalam syurga. Kelayakan baginda ini berasal dari hatinya yang suci sebagaimana firman Allah:

وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ (83) إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (84)

Ertinya: Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.  KETIKA IA MEMATUHI PERINTAH TUHANNYA DENGAN HATI YANG SUCI MURNI (al-Saffat [37:83-84]).

Itulah aturannya, Allah menghantar kita ke dunia dengan hati yang suci bak kain putih. Setelah puluhan tahun menumpang bumi Allah, hati kita mulai tercemar dengan berbagai karat dosa. Oleh itu, kotoron dosa yang mencemar hati perlu selalu “DISENTAL DENGAN IBADAT DAN TAUBAT.” Tanpa sentalan ibadat dan taubat, selaput dosa pada hati menjadi semakin tebal berkarat dan akan mengundang berbagai penyakit rohani yang kronik. Jika masih dibiarkan, penyakit rohani yang kronik akan menjadi semakin kritikal dan akhirnya menyebabkan hati menjadi lebih keras dari batu:

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً

Ertinya: Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi (al-Baqarah[2:74]).

Di kala hati sudah keras membatu, sukar sekali air hidayah menyerap masuk. Padahnya si pemilik hati menjadi “haiwan dalam tubuh manusia.” Jika si pemilik hati batu ini mati, hanya selaran dan bakaran api neraka mampu memecahkan segala karat dosa tersebut. Bakaran dalam neraka pula bukan sehari dua, tetapi selama jutaan tahun. Jika pemilik hati ini seorang Muslim dan tidak pernah menyekutukan Allah semasa di dunia dahulu, peluangnya ke syurga masih ada. Itupun setelah selaput karat dosa itu benar-benar bersih dan kembali suci.

Pesan saya untuk diri sendiri dan anda semua “Segeralah menyental karat dosa pada hati kita semasa di dunia ini kerana neraka bukanlah satu tempat yang elok untuk disinggah walaupun sesaat.”

Apabila hati sudah suci dan bersih, jiwa kebinatangan manusia akan tunduk jinak dan tenang. Hanya jiwa yang tenang mendapat kemuliaan untuk kembali kepada Allah secara terhormat di syurga. FirmanNya:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي (30

Ertinya: (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !  "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " (al-Fajr [89:27-30]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...