Monday, March 30, 2015

"10 COMMANDMENTS TAWRAT" DALAM AL-QURAN

“10 COMMANDMENTS TAWRAT” DALAM AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:151-152]) pada 27 Mac 2015. Antara isunya adalah 10 perkara yang diulang sebut dalam kitab Tawrat dan al-Quran.

Pernah orang bertanya:

“Ustaz! Mengapakah nabi Musa AS sangat banyak kisahnya dalam al-Quran? Sirah hidupnya pun sungguh lengkap bermula dari awal lahirnya, membunuh lelaki Qibti secara tak sengaja pada usia remaja, melarikan diri ke Madyan, berkahwin, dilantik sebagai Rasul, bersatu dengan Harun AS, berjuang menentang Fir’awn, membawa Bani Isra’il menuju Palestin dan sebagainya.”

Dengan ilmu yang terbatas dan sangat sedikit saya menjelaskan:

“Sefaham saya, syariat baginda adalah antara yang paling mirip kepada syariat Rasulullah SAW. Para rasul selepas nabi Musa AS dari kalangan Bani Isra’il seperti Dawud dan Isa AS tetap wajib mengikut syariat Tawrat. Zabur dan Injil bukanlah kitab lengkap mengandungi syariat seperti Tawrat tetapi lebih kepada kitab nasihat dan panduan rohani. Syariat mereka kembali kepada Tawrat. Selain itu, “ 10 ISI PENTING TAWRAT ATAU YANG DISEBUT 10 COMMANDMENTS” juga diulang sebut dalam al-Quran”:

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ (151)  وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (152)

Ertinya: Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu (1) janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) (2) berbuat baik kepada ibu bapa; dan (3) janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan (4) janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan (5) janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

"Dan (6) janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan (7) sempurnakanlah segala sukatan dan (8) (sempurnakanlah) timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan (9) apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan (10) perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)" (al-An’am[6:151-152]).

Ketika mengulas ayat ini, seorang Tabi’in juga bekas alim Yahudi iaitu Ka’ab al-Ahbar berkata dengan yakin:

والذي نفس كعب بيده، إنّ هذا لأوَّل شيء في التوراة: "بسم الله الرحمن الرحيم"، قل تعالوا أتل ما حرم ربكم عليكم

Ertinya: Demi yang jiwa Ka’ab berada dalam tanganNya (kuasaNya), sesungguhnya inilah perkara pertama yang tertulis dalam kitab Tawrat” Dengan nama Allah….lalu dibacakan ayat 151 dan 152 surah al-An’am (Tafsir al-Tabari).

Para Rasul walaupun berbeza zaman mereka, sumber syariat mereka tetap satu. Inilah yang disebut oleh al-Najasyi setelah keseduan menangis kerana mendengar Ja’afar bin Abi Talib RA selaku ketua Muhajirin ke Habsyah membacakan surah Maryam kepadanya:

هَلْ مَعَكَ مِمَّا جَاءَ بِهِ عَنْ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ قَالَتْ فَقَالَ لَهُ جَعْفَرٌ نَعَمْ فَقَالَ لَهُ النَّجَاشِيُّ فَاقْرَأْهُ عَلَيَّ فَقَرَأَ عَلَيْهِ صَدْرًا مِنْ كهيعص قَالَتْ فَبَكَى وَاللَّهِ النَّجَاشِيُّ حَتَّى أَخْضَلَ لِحْيَتَهُ وَبَكَتْ أَسَاقِفَتُهُ حَتَّى أَخْضَلُوا مَصَاحِفَهُمْ حِينَ سَمِعُوا مَا تَلَا عَلَيْهِمْ ثُمَّ قَالَ النَّجَاشِيُّ إِنَّ هَذَا وَاللَّهِ وَالَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَى لَيَخْرُجُ مِنْ مِشْكَاةٍ وَاحِدَةٍ

Ertinya:  Berkata al-Najasyi kepada Ja’afar: Adakah kamu memiliki (ayat) yang diterima oleh (rasulmu Muhammad SAW) dari Allah?....... Ja’afar kemudiannya membacakan kepada al-Najasyi ayat dari surah Maryam…..al-Najasyi menangis sehingga basah janggutnya, begitu juga para pendeta bersamanya….al-Najasyi kemudiannya berkata: DEMI ALLAH, BACAAN KAMU INI (AL-QURAN) DAN APA YANG DIBAWA OLEH MUSA BENAR-BENAR KELUARNYA (ASALNYA) DARI PELITA (SUMBER) YANG SATU (ALLAH SWT) (Musnad Ahmad).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...