Friday, February 13, 2015

PESAN AL-MARHUM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ KEPADA PARA PENGHAFAZ AL-QURAN

PESAN AL-MARHUM TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ KEPADA PARA PENGHAFAZ AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Masih segar dalam ingatan sekitar tahun 1997 ketika abang kedua saya berkahwin dengan orang Kota Jembal (nama Baru Kedai Lalat) yang juga saudara dekat dengan al-Marhum Tuan Guru. Ketika itu saya baru habis belajar di Darul Quran, JAKIM dan akan menyambung pelajaran di UM. Hari itu hari khamis, selepas menjadi wakil akad perkahwinan tersebut, Tuan Guru duduk bersila di celah kerusi ruang tamu menunggu pemandunya Cik Lah menjamu selera selepas majlis akad. Bila ditanya mengapa tak makan, Tuan Guru memohon maaf kerana dia berpuasa.

Saya pula pada hari tersebut menjadi jurugambar perkahwinan. Melihat peluang itu, saya menghampiri Tuan Guru dan bertanya: “Ayah Zik (panggilan mesra orang tempatan kepada beliau), ambo ni menghafaz al-Quran. Nak buat macam mana supaya tak lupa al-Quran yang dihafaz. Ramai yang gagal jaga al-Quran yang dihafaz kerana selepas keluar Tahfiz, tiada suasana menghafaz.”

Tuan Guru menjawab panjang, antara isi penting yang saya gigit dengan geraham sekuat hati sampai sekarang adalah:

“KITA MENGHAFAZ AL-QURAN KENA CIPTA SUASANA MENGHAFAZ DI MANA SAHAJA KITA BERADA. JANGAN PULA KITA HANYUT IKUT SUASANA. AYAH ZIK DULU MASA MENGHAFAZ PUN SENANTIASA GAGAHKAN DIRI MENGULANG HAFAZAN.”

Almarhum Tuan Guru memang menghafaz al-Quran, cuma saya tak pasti adakah beliau habis 30 juzuk atau tidak. Tapi sepanjang berguru dengan beliau, ayat suci al-Quran senang sahaja keluar dari lidahnya semacam air. Ayat yang keluar pula bukan calang-calang ayatnya tetapi sesuai dengan konteks dan dari surah yang berbagai.

Pesan beliau ini saya pegang sehingga sekarang. Setiap patah ayat yang saya pegang, ulang kaji dan baca sekarang pasti akan turut mengalir pahalanya kepada beliau. Ya Allah! Berikan kekuatan kepada kami untuk mencontohi Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...