Wednesday, February 4, 2015

BAYANGKAN DUNIA TANPA ANGIN

BAYANGKAN DUNIA TANPA ANGIN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Rum [30:46]) pada 27 Januari 2015. Angin adalah tentera Allah yang sangat hebat dan banyak fungsinya kepada manusia.

Gembira, nyaman, syukur, gentar, gerun dan takut. Itulah kerencaman reaksi hati manusia di kala angin bertiup. Ketika nyamannya angin, tubuh berasa segar dan tenang. Tatkala kemarau panjang, tiupan kencang si angin membawa awan tebal menimbulkan harapan yang hujan bakal turun setelah bumi lama gersang menagih air. Apabila angin berpusar seakan menggetus amarahnya, hati manusia kecut gentar. Angin yang awalnya menjadi sahabat bertukar menjadi pemusnah yang tidak mengenal belas kasihan. Itulahlah hakikat makhluk ciptaan Allah yang sangat unik bernama angin. Padanya terkandung suka dan duka. Firman Allah:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ يُرْسِلَ الرِّيَاحَ مُبَشِّرَاتٍ وَلِيُذِيقَكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَلِتَجْرِيَ الْفُلْكُ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur (al-Rum [30:46]).

Selain membawa awan, angin juga berfungsi mewarnai bumi dengan pembenihan tumbuhan. Warna bumi menjadi indah dengan peranan angin memindahkan benih, spora dan bunga. Ya Allah! Sungguh Allah sangat Pemurah dan Penyayang kerana  tidak membiarkan kita kesusahan mewarnai serta menyuburkan alam, sebaliknya dihantarnya angin untuk membantu kita. Firman Allah:

وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنْتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ

Ertinya: Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya (al-Hijr[15:22]).

Bukan sekali, Allah menyebut fungsi angin kepada kita. Jasa angin juga sangat besar menggerakkan layar bahtera yang besar seperti gunung. Firman Allah:

وَمِنْ آَيَاتِهِ الْجَوَارِ فِي الْبَحْرِ كَالْأَعْلَامِ (32) إِنْ يَشَأْ يُسْكِنِ الرِّيحَ فَيَظْلَلْنَ رَوَاكِدَ عَلَى ظَهْرِهِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ (33)

Ertinya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan. Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur (al-Syura[42:32-33]).

Tamadun manusia silam tak mungkin berkembang maju dengan pembukaan wilayah baru tanpa makhluk bernama angin ini. Lihat juga bagaimana manusia moden mengeksploitasi tiupan angin untuk menjadi tenaga dengan mekanisme kincir angin dan sebagainya. Maha suci Allah yang mencipta makhlukNya dengan segala manafaat yang menjangkau pemikiran manusia. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Ubay bin Ka’ab RA dengan sabdanya:

لَا تَسُبُّوا الرِّيحَ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مَا تَكْرَهُونَ فَقُولُوا اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ وَخَيْرِ مَا فِيهَا وَخَيْرِ مَا أُمِرَتْ بِهِ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ هَذِهِ الرِّيحِ وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُمِرَتْ بِهِ

Ertinya: Janganlah kamu mencaci angin (kerana ia adalah hamba suruhan Allah). Apabila kamu melihat sesuatu yang tidak kamu sukai (pada angin) ucaplah: Ya Allah! Kami mohon padaMu kebaikan angin ini, juga kebaikan apa yang ada padanya dan kebaikan dalam suruhanMu padanya. Dan kami mohon perlindungan dari kejahatan angin ini, juga kejahatan apa yang terdapat padanya dan kejahatan arahanMu padanya (Sunan al-Tirmidhi).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...