Thursday, February 5, 2015

ANAK YANG BIJAK DAN CERDIK PERLU MENDALAMI AGAMA

ANAK YANG BIJAK DAN CERDIK PERLU MENDALAMI AGAMA.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Agama adalah tali Allah yang menghubung antara manusia dengan Allah. Tanpa tali, hilanglah arah manusia bak layang-layang keputusan tali. Agama adalah tali kukuh yang perlu dikawal oleh pemacu yang bijak. Tanpa pemacu yang bijak, agama hanya menjadi "candu, pelengkap ritual dan gagal mendekatkan manusia kepada Allah dalam erti kata sebenar." Pembimbing agama yang kurang cerdas turut menyuramkan fungsi agama.

Untuk itu, anak yang cerdik perlu dilengkapkan kebijaksanaan mereka dengan roh agama yang sebenar seperti para nabi AS. Lihat sahaja tokoh agama penggegar dunia dalam sejarah umat Islam seperti Imam al-Syafie, Imam al-Bukhari, Imam al-Suyuti, Prof. Yusuf al-Qaradawi dan sebagainya. Mereka ini adalah orang yang sangat cerdik. Kecerdikan mereka menjadikan agama ini terus segar dan releven.

Nabi Sulayman AS, adalah anak nabi Dawud AS yang sangat luar biasa cerdiknya. Keputusan penghakiman ayahnya diperkemaskan oleh baginda dengan penelitian yang lebih mendalam. Bukan saya ingin mengatakan nabi Dawud AS tersilap, tetapi keputusan baginda bukan yang terbaik. Oleh itu, Allah mengurniakan kefahaman yang lebih kepada nabi Sulayman AS untuk membantu ayahandanya mencapai keputusan terbaik:

وَدَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ (78) فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلًّا آَتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا وَسَخَّرْنَا مَعَ دَاوُودَ الْجِبَالَ يُسَبِّحْنَ وَالطَّيْرَ وَكُنَّا فَاعِلِينَ (79)

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu
(al-Anbiya’[21:78-79]).

Ketika pemilik kebun datang mengadu kebunnya musnah dimakan kambing yang tidak bertambat, nabi Dawud AS memutuskan agar kambing perosak diserahkan kepada pemilik kebun sebagai ganti. Nabi Sulayman AS menyarankan keputusan yang lebih adil, iaitu harta mereka bertukar tangan. Pemilik kambing perlu menanam kembali tanaman yang rosak sebagai hukuman kecuaiannya tidak menambat kambing. Pada waktu penanaman semula itu, pemilik kebun menyambung sara hidupnya dengan hasil dari kambing (susu, bulu dan sebagainya) (Tafsir Ibn Kathir).

Kecerdikan baginda AS turut dipamerkan dalam kes yang lain. Rasulullah menceritakan:

بَيْنَمَا امْرَأَتَانِ مَعَهُمَا ابْنَاهُمَا جَاءَ الذِّئْبُ فَذَهَبَ بِابْنِ إِحْدَاهُمَا فَقَالَتْ هَذِهِ لِصَاحِبَتِهَا إِنَّمَا ذَهَبَ بِابْنِكِ أَنْتِ وَقَالَتْ الْأُخْرَى إِنَّمَا ذَهَبَ بِابْنِكِ فَتَحَاكَمَتَا إِلَى دَاوُدَ فَقَضَى بِهِ لِلْكُبْرَى فَخَرَجَتَا عَلَى سُلَيْمَانَ بْنِ دَاوُدَ عَلَيْهِمَا السَّلَام فَأَخْبَرَتَاهُ فَقَالَ ائْتُونِي بِالسِّكِّينِ أَشُقُّهُ بَيْنَكُمَا فَقَالَتْ الصُّغْرَى لَا يَرْحَمُكَ اللَّهُ هُوَ ابْنُهَا فَقَضَى بِهِ لِلصُّغْرَى

(Pada zaman nabi Dawud AS) ada 2 wanita yang masing-masing mempunyai anak. Pada suatu hari anak wanita tua dibaham serigala. Wanita tua mendakwa anak wanita muda dibaham serigala dan bukan anaknya. Pertikaian mereka dibawa kepada nabi Dawud AS. Baginda kemudiannya memutuskan anak yang selamat menjadi milik wanita tua. Ketika keluar, kedua wanita itu bertemu dengan nabi Sulayman dan menceritakan perihal pertikaian mereka berdua. Nabi Sulayman berkata: “Berikan aku sebilah pisau agar aku boleh potong 2 anak ini untuk dibahagikan antara kamu berdua.” Wanita muda menegah dan sedia menyerahkan anak tersebut kepada wanita tua. Nabi Sulayman kemudiannya memutuskan anak itu adalah anak wanita muda (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Insya Allah, inilah antara isi kuliah "MANUSIA BIJAKSANA MENURUT AL-QURAN" saya malam ini di Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa. Ayuh sama-sama kita kenali KEBIJAKSANAAN YANG SEBENAR.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...