Monday, February 16, 2015

5 KUNCI PENGHAPUS DOSA DAN PEMBUKA JALAN KE SYURGA

5 KUNCI PENGHAPUS DOSA DAN PEMBUKA JALAN KE SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Khamis (al-Ma’idah [9:12]) pada 11 Februari 2015 di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Antara isunya fungsi solat dan zakat bagi rohani manusia.

Ramai manusia yang sombong, tak sedar diri tapi perasan mahu ke syurga. Seakan syurga itu hanyalah sebuah mahligai yang mampu dimasuki dengan “tiket khayalan.”

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ وَلَا يَجِدْ لَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Ertinya: (Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya (al-Nisa’ [4:123]).

Tidak benar! Syurga sangat mahal dan bukan semudah itu untuk dicapai. Harga syurga sungguh besar dan tiada harta yang mampu diguna untuk membelinya walau dinilai emas sebesar alam semesta. Pun begitu, ia masih mampu dicapai dengan usaha dan bimbingan rahmat Allah. Kunci ke syurga banyak tak terkira, antara 5 kuncinya yang utama adalah firman Allah ini:

وَلَقَدْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا وَقَالَ اللَّهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ وَآَتَيْتُمُ الزَّكَاةَ وَآَمَنْتُمْ بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ فَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). “ (1) DEMI SESUNGGUHNYA JIKA KAMU DIRIKAN SEMBAHYANG, (2) SERTA KAMU TUNAIKAN ZAKAT, (3) DAN KAMU BERIMAN DENGAN SEGALA RASUL (UTUSANKU) SERTA (4) MENOLONG BANTU MEREKA (DALAM MENEGAKKAN UGAMA ALLAH), (5) DAN KAMU PINJAMKAN ALLAH (DENGAN SEDEKAH DAN BERBUAT BAIK PADA JALANNYA) SECARA PINJAMAN YANG BAIK (BUKAN KERANA RIAK DAN MENCARI KEUNTUNGAN DUNIA), SUDAH TENTU AKU AKAN AMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU, DAN AKU AKAN MASUKKAN KAMU KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI.” Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul" (al-Ma’idah [5:12]).

Islam mengajar kita bertindak seiring hasrat hati. Masakan sebuah mahligai indah terbina kukuh andai ia hanya muncul dalam khayalan atau mimpi sahaja. Islam adalah ikrar hati dan pembuktian tindakan. Jika benar anda mahu ke syurga, penuhi 5 syarat dalam ayat itu:

1) MENDIRIKAN SOLAT kerana ia adalah tiang agama dan tali utama menghubung antara  manusia dengan Allah. Ia juga rukun pertama diaudit di akhirat kelak:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمْ الصَّلَاةُ

Ertinya: Amalan pertama seorang manusia yang diaudit di akhirat kelak adalah solatnya (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

2) MENUNAIKAN ZAKAT. Jika solat adalah tali penghubung untuk individu dengan Allah, zakat adalah tali penghubung sesama manusia. Ia menyedarkan kita bahawa harta adalah pinjaman dan orang lain juga memiliki bahagian mereka sebanyak 2.5 % pada harta kita.

3) & 4) BERIMAN DAN MENYOKONG PERJUANGAN SEMUA RASUL. Ayat ini sebenarnya menegur Yahudi sezaman Rasulullah yang perasan solat dan zakat mereka sudah mencukupi untuk mencapai redha dan syurga Allah tanpa perlu beriman kepada Rasulullah SAW. Seakan Allah berkata: “Apalah gunanya solat dan zakatmu wahai Yahudi andai kekasih (Rasulullah SAW) kepada TUAN PUNYA SYARIAT (ALLAH S.W.T) kamu musuhi.

5) BERSEDEKAH SETULUS HATI pada jalan Allah.

Ketahuilah, solat, zakat, iman sejati dan sedekah mampu menghapuskan dosa jika dilakukan seikhlas hati bertetapan dengan panduan agama. Apabila dosa sudah terhapus dengan izin Allah, jarak syurga semakin dekat dengan kita. Ya Allah! Tempatkan kami semua ke dalam syurgaMU.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...