Saturday, February 21, 2015

3 ZAMAN LALUAN MANUSIA

3 ZAMAN LALUAN MANUSIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Rum [30:54]) pada 17 Februari 2015. Antara isunya adalah 3 tahap kejadian manusia semenjak kecil sehingga dewasa.

Bagaikan sebatang pokok, mulanya bertunas halus, lemah dan mudah sahaja dipangkas, kemudian si pokok menjadi gagah perkasa. Kalau bukan parang atau kapak yang tajam sukar sekali mahu menjatuhkan keteguhan si pokok. Setelah lama masa berlalu, daunnya mulai gugur, buahnya pun sudah jarang berhasil, batangnya kian rapuh senang dipatahkan. Di kala itu, ia menjadi tanda si pokok sudah hampir menemui ajalnya.

Begitulah juga hakikat seorang manusia. Mulanya lemah sehingga tak mampu mengurus kencing berak sendiri, kemudian setelah meningkat remaja dan dewasa dia berdiri megah dengan fizikal perkasa. Setelah usia melebihi angka 50, badan mulai lemah dan rambut putih mulai menakluki kepala. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, 3 peringkat (lemah-kuat-lemah beruban) ini adalah pakej kejadian manusia jika mereka dipanjangkan umur. Firman Allah:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ

Ertinya: Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa (al-Rum[30:54]).

Pada sudut ilmu Qira’at, menurut Riwayat Hafs ‘An ‘Asim, aliran Syatibiyyah iaitu aliran bacaan al-Quran rakyat Malaysia 3 perkataan ضَعف   dalam ayat di atas boleh dibaca dengan baris ATAS atau baris HADAPAN ضُعف. Walaupun yang tertulis adalah baris atas, riwayat membenarkan ia dibaca dengan baris hadapan dan ia perlu diseragamkan dengan satu baris sahaja pada ketiga-tiga perkataan ضعف   tersebut. Iaitu: ضَعف – َضَغف – ضَعفا   atau ضُعف – ضُغف – ضُعفا.

Dalam surah kegemaran sesetengah orang Melayu juga Allah menegaskan perkara yang sama:

وَمَنْ نُعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Ertinya: Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yasin[36:68]).

Kejadian manusia yang melalui 3 tahap itu bukan berlaku secara “semula jadi” tanpa “kuasa mutlak” yang bernama Allah. Perkembangan itu juga menjadi bukti bahawa manusia sebenarnya sangat lemah dan hidup ini tidak kekal. Ayat tersebut sepatutnya menjadi khat hiasan dinding di rumah umat Islam bagi senantiasa mengingatkan mereka bahawa hidup di dunia ini adalah persinggahan ke alam akhirat yang lebih kekal abadi. Jika manusia senantiasa sedar dengan ayat ini, pastinya penjual “produk kosmetik anti penuaan” terpaksa bungkus perniagaan mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...