Tuesday, December 9, 2014

SIAPAKAH MUKHADRAMI DI KALANGAN PARA TABI'IN?

SIAPAKAH MUKHADRAMI DI KALANGAN PARA TABI’IN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:100]) pada 3 Disember 2014. Antara isunya adalah pujian Allah kepada generasi awal Islam iaitu para sahabat dan murid sahabat yang dipanggil Tabi’in. Dalam perbincangan Tabi’in pula para ulama Hadith mengistilahkan sesetengah murid sahabat sebagai AL-MUKHADHRAMIY – المخضرمي.

Bukan semua orang bertuah dapat melihat wajah suci Rasulullah SAW. Bukan semua orang juga beruntung dapat berjuang bersama baginda pada waktu tunas Islam baru memutik segar. Oleh itu, para ulama membezakan kedudukan darjat para sahabat yang memeluk Islam sebelum peristiwa Hudaybiyah dari sahabat yang mengenal Islam selepas itu. Apa tidaknya, gelora ombak perjuangan Islam sebelum peristiwa Hudaybiyah jauh lebih menggoncang iman berbanding selepasnya. Cukuplah ayat ini berbicara:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar (al-Tawbah[9:100]).

Juga firman Allah:

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Ertinya: Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? - Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan (al-Hadid[57:10]).

Bak dikata pada awalnya, bukan semua orang beruntung dapat hidup bersama Rasulullah. Mereka itu termasuklah para tabi’in yang memegang gelaran MUKHADRAMIYY. Siapakah mereka? Mereka adalah orang Islam yang pernah hidup pada zaman jahiliah, kemudiannya memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW. Malangnya mereka tidak berkesempatan bertemu Rasulullah SAW sehingga akhir hayat baginda. Perkataan MUKHADHRAM disempenakan maksud “terputus pandangannya” iaitu orang sezaman Rasulullah SAW yang tidak sempat melihat baginda (Muqaddimah Ibn al-Salah).

Ketika membicarakan perihal mereka, saya teringat hadith yang menyebut sesiapa melihat Rasulullah SAW dalam mimpi, akan melihat baginda secara jaga:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ أَوْ لَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ وَلَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي

Ertinya: Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, maka dia akan MELIHATKU KETIKA SEDAR, ATAU DIA SEAKAN-AKAN SUDAH MELIHATKU KETIKA SEDAR, SESEUNGGUHNYA SYAITAN TIDAK DAPAT MENJELMA DALAM RUPAKU (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud).

Antara ulasan ulama hadith tentang hadith ini adalah berkenaan nasib orang Islam di luar Madinah sezaman Rasulullah SAW yang belum berkesempatan melihat Rasulullah SAW SECARA JAGA.

أَوْ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَام وَلَمْ يَكُنْ يُهَاجِر يُوَفِّقهُ اللَّه لِلْهِجْرَةِ إِلَيَّ وَالتَّشَرُّف بِلِقَائِي وَيَكُون اللَّه تَعَالَى جَعَلَ رُؤْيَته فِي الْمَنَام عَلَمًا عَلَى رُؤْيَاهُ فِي الْيَقَظَة وَعَلَى الْقَوْل الْأَوَّل فَفِيهِ بِشَارَة لِرَائِيهِ بِأَنَّهُ يَمُوت عَلَى الْإِسْلَام

Ertinya: Atau (maksudnya)..sesiapa yang melihatku dalam tidur, tetapi belum lagi berhijrah (ke Madinah), Allah akan membantunya untuk berhijrah kepadaku dan mendapat kemuliaan bertemu denganku..Dan Allah Ta'ala menjadikan mimpinya itu sebagai petanda yang dia akan bertemu baginda secara jaga (di Madinah semasa hidup baginda)..ia juga menjadi khabar gembira bahawa dia akan meninggal dunia dalam Islam..(‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Dawud)

Yang pasti, para tabi’in Mukhadramiyy juga tidak tergolong dalam huraian hadith di atas kerana nama mereka kekal sebagai AL-MUKHADRAM dalam kitab Rijal Hadith. Pun begitu, mereka tetap sangat beruntung berbanding kita kerana dapat mencium haruman ilmu dan iman para sahabat RA.

Ya Allah! Walau aku tidak ditakdirkan hidup sezaman dengan mereka, jadikanlah aku orang yang menyintai mereka kerana agama yang aku warisi ini adalah hasil dari keringat iman mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...