Monday, November 24, 2014

DI SINI KAMU BERCINTA TAPI DI SANA NANTI KAMU BERMUSUH

DI SINI KAMU BERCINTA TAPI DI SANA NANTI KAMU BERMUSUH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:24-25]) pada 18 November 2014. Antara isunya adalah teguran Nabi Ibrahim AS kepada kaumnya selepas baginda keluar dari api.

Sejurus keluar dari api, nabi Ibrahim AS diarahkan berhijrah meninggalkan kaumnya. Tiada gunanya menagih kasih keluarga dan teman sekampung yang sanggup membakarnya kerana membela patung kaku tak bernyawa. Sebelum meninggalkan kaumnya, nabi Ibrahim AS menempelak tajam:

وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (25)

Ertinya: Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, HANYALAH KERANA MENJAGA HUBUNGAN KASIH MESRA DI ANTARA KAMU MASING-MASING DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI; KEMUDIAN PADA HARI KIAMAT KELAK SETENGAH KAMU AKAN MEMBANTAH SETENGAHNYA YANG LAIN, DAN SETENGAH KAMU PULA AKAN MELAKNATKAN SETENGAHNYA YANG LAIN; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (al-‘Ankabut [29:25]).

Malang sekali jika teman setia yang dikasihi di dunia kelak menjadi musuh yang saling laknat melaknati di akhirat kelak. Inilah contoh “UNHAPPY ENDING” dalam kehidupan manusia. Lihat sahaja bagaimana sang kekasih di dunia boleh  menjadi musuh di akhirat:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Ertinya: Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh) (al-Zukhruf [43:67]).

Allah juga berfirman:

قَالَ ادْخُلُوا فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ فِي النَّارِ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا حَتَّى إِذَا ادَّارَكُوا فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لِأُولَاهُمْ رَبَّنَا هَؤُلَاءِ أَضَلُّونَا فَآَتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِنَ النَّارِ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِنْ لَا تَعْلَمُونَ (38) وَقَالَتْ أُولَاهُمْ لِأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِنْ فَضْلٍ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ (39)

Ertinya: Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui". Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan" (al-A’raf[7:38-39]).

Oleh itu, pilihlah teman atau cinta yang sejati, iaitu cinta yang akan membahagiakan kita di dunia dan di akhirat. Tidak syak lagi, cinta itu adalah cinta Allah dan Rasulullah SAW.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...