Thursday, November 7, 2013

ISLAM TERFITNAH KERANA PENGANUTNYA

ISLAM TERFITNAH KERANA PENGANUTNYA


Malam tadi Surau kami (Surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B) dikunjungi Ustaz Bukhari Muhammad dari Gombak. Dalam kuliahnya beliau menceritakan kisah 2 pekerja yang berkerja di sebuah syarikat Cina terpaksa bergilir menunaikan solat Jumaat kerana ketuanya tidak memberikan izin mereka berdua keluar serentak. Atas saranan para ustaz mereka berdua berunding dengan ketua mereka agar mereka berdua diberikan kebenaran menunaikan solat Jumaat secara serentak pada setiap minggu. Mereka mengukuhkan alasan dengan mengatakan bahawa solat Jumaat adalah wajib bagi setiap orang Islam. Ketua mereka mempertikaikan alasan tersebut dengan katanya:

“Mengapa kamu berdua mengatakan ianya wajib? Kalau wajib kenapa hanya kamu berdua sahaja yang wajib? Kenapa saya biasa melihat orang MELAYU ISLAM selalu sahaja tidak pergi menunaikan solat Jumaat? Semasa solat Jumaat dilakukan mereka selalu saja berada di shopping complex, restoran dan sebaginya. Apa istimewanya kamu berdua sehingga diwajibkan solat Jumaat tetapi tidak mereka di luar sana yang tak pernah pun peduli solat Jumaat?”

Setelah mendengar kisah ini, segera saya teringat doa pengikut para nabi yang memohon agar mereka tidak menjadi fitnah terhadap agama Allah. Friman Allah ketika menceritakan kisah pengikut nabi Musa AS:


وَقَالَ مُوسَى يَا قَوْمِ إِنْ كُنْتُمْ آَمَنْتُمْ بِاللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُسْلِمِينَ (84) فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85) وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86)

Ertinya: Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)". Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. " Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir" (Yunus[10:84-86]).


Juga doa para pengikut nabi Ibrahim AS:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ لَنَا رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah (penindasan) orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Mumtahanah[60:5]).


Ketika mentafsirkan ayat di atas, para ulama Tafsir (Tafsir Jalalayn & Ibn Kathir) menjelaskan maksud: “Jangan jadikan kami sasaran fitnah kaum yang kafir” dengan maksud: “Janganlah kalahkan kami kepada mereka sehingga mereka menyangka mereka berada dalam golongan yang benar.” Fenomena ini agak logik pada penilaian manusia biasa kerana biasanya golongan yang menang akan dianggap benar dan golongan yang selalu ditindas adalah golongan yang salah. Kita juga tak mahu kejahilan sesetengah orang Islam akan menyebabkan orang bukan Islam mendapat salah faham atau membenci agama ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...