Sunday, July 7, 2013

TEGURAN ABDULLAH IBN MAS’UD TENTANG NAS JEREBU

TEGURAN ABDULLAH IBN MAS’UD TENTANG NAS JEREBU

Sepanjang jerebu melanda Malaysia, sesetengah orang mengaitkan jerebu ini dengan 10 tanda akhir kiamat sebagaimana yang disebut oleh sebuah hadith riwayat Sunan Abu Dawud dan Musnad Ahmad. Tanbah bercelaru apabila isu jerebu dikaitkan juga dengan surah al-Dukhan (asap). Sebenarnya amat penting bagi orang yang hendak berinteraksi dengan al-Quran memahami konteks sebenar sesuatu ayat. Kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya ini amat sesuai untuk merujuk kenyataan di atas.

Pada suatu hari Masruq masuk ke masjid Kufah melalui salah satu pintu Kandah. Beliau kemudiannya mendengar seorang lelaki sedang bercerita kepada kawannya tentang tafsiran ayat al-Dukhan (asap) yang berbunyi:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10) يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ (11)

Ertinya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan" (al-Dukhan[44:10]).

Lelaki tersebut lalu berkata: “ Asap itu adalah yang bakal datang pada hari kiamat, lalu merosakkan pendengaran serta penglihatan orang munafik. Asap itu hanya memberikan kesan kepada orang beriman sekadar seakan-akan selsema”.

Masruq lalu berjumpa Abdullah ibn Mas’ud dan menceritakan perihal lelaki tersebut. Abdullah yang sedang berbaring tersentak dan lantas duduk mendengar berita tersebut. Beliau lalu berkata: “ Allah berfirman kepada nabimu SAW”:

قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada " (Sad[38:86]).

“Sesungguhnya antara tanda berilmunya seseorang itu adalah dia berkata pada perkara yang tidak diketahuinya “Allahu A’lam (Allah yang lebih mengetahui)”.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa ayat tersebut diturunkan menceritakan akibat yang menimpa Quraysh kerana kedegilan mereka dari menerima dakwah baginda Rasulullah SAW.

Nabi SAW berdoa agar mereka ditimpa kemarau seperti kemarau yang pernah berlaku di Mesir pada zaman nabi Yusuf AS (Sahih al-Bukhari). Kemarau tersebut memaksa mereka memakan tulang dan bangkai. Setiap kali mereka memandang ke langit (mengharapkan hujan), yang kelihatan hanyalah asap kemarau. Itulah maksud sebenar ayat tersebut dan bukannya asap yang bakal keluar pada akhir zaman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...